LTTE: Kenyataan peguam negara mengejutkan dan berbahaya - pakdin.my

PEGUAM Haniff Khatri Abdulla terkejut dan menyifatkan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung LTTE sebagai merbahaya.

Menurut Haniff, peguam negara memutuskan kes membabitkan 12 individu tidak wajar dibawa ke muka pengadilan kerana kesalahan dilakukan enam tahun lalu.

Sedangkan kata beliau, para pemimpin politik yang menghadapi pelbagai tuduhan pada masa ini melakukan kesalahan untuk tempoh yang lampau.

“Had waktu tidak wajar dijadikan ukuran kewajaran sesuatu kes itu perlu dibawa ke pengadilan atau tidak.

“Kenyataan ini adalah merbahayakan Malaysia untuk masa hadapan dan ia seharusnya dilihat semula,” katanya dalam kenyataan.

Kata Haniff, ahli Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didapati cuba melancarkan serangan bom terhadap kedutaan Sri Lanka di Malaysia enam tahun lalu.

Beliau juga menyifatkan tindakan Tommy juga tidak adil kepada pegawai pendakwa yang telah mendapati terdapat kes dan perlu dituduh di mahkamah.

Selain itu merujuk bahawa LTTE tidak lagi dikategori sebagai organisasi pengganas di Eropah dan Sri Lanka adalah tidak betul kerana di Malaysia pertubuhan berkenaan masih disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas.

Katanya, jika peguam negara mendapati perlu menggugurkan LTTE dari senarai pengganas, beliau harus menasihatkan menteri dalam negeri.

Tambah Haniff, walaupun senarai pertubuhan pengganas perlu dikaji setiap enam bulan, tetapi ia tertakluk kepada keputusan menteri berkenaan dan bukannya hak peguam negara untuk membatalkan kesemua pertuduhan.

Katanya, apabila kematian Velupillai Prabhakaran sebagai pemimpin LTTE dia telah digantikan oleh Selvarasa Pathmanathan dan Selvarasa telah ditangkap di Kota Damansara, Malaysia pada Ogos 2009.

Ini bermakna beliau tidak berhenti melakukan keganasan dan Selvarasa telah dihantar pulang ke Sri Lanka untuk tindakan kerajaan berkenaan.

Selain itu Haniff juga berkata, peguam negara juga tidak wajar memutuskan sedemikian kerana walaupun pertubuhan terbabit telah dimansuhkan, tetapi masih terdapat pihak yang mahu menghidupkan falsafah perjuangannya.

“Begitu juga dengan isu fahaman Nazi. Lambang Swastika dan pemimpin Adolf Hitler masih lagi menjadi kebimbangan dunia kerana ada pihak yang masih mahu menghidup falsafah perjuangan yang disifatkan sebagai anti-semitik,” katanya.

UTAMABERITALTTE: Kenyataan peguam negara mengejutkan dan berbahaya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium