PKR akan mengheret 12 wakil rakyatnya yang melompat parti baru-baru ini ke mahkamah dan menuntut mereka membayar RM10 juta setiap seorang, kata bendahari parti itu, Lee Chean Chung.
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata saman oleh PKR itu berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada pilihan raya umum 2018.
“Kami akan menghantar kepada mereka surat tuntutan minggu depan. Mereka perlu menjawab tentang bagaimana untuk membayar RM10 juta itu,” kata Lee, yang juga Adun Semambu.
“Kegagalan berbuat demikian, kami akan dakwa mereka di mahkamah. Kami akan mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkannya selepas menghantar surat kepada mereka,” katanya.
Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, setiap wakil rakyat terbabit perlu membayar PKR sebanyak RM10 juta jika dipecat sebagai ahli, melompat ke parti lain atau meninggalkan parti tetapi kekal sebagai calon bebas.
Pembayaran itu perlu dilakukan dalam masa tujuh hari selepas seseorang wakil rakyat keluar atau dipecat daripada parti.
Beliau berkata PKR sedang berbincang dengan peguam untuk mengumpul semua maklumat yang relevan mengenai wakil rakyat yang berpaling tadah.
Seramai 12 wakil rakyat terbabit terdiri daripada sembilan anggota parlimen dan tiga Adun.
Anggota Parlimen terbabit adalah Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat) , Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).
Tiga Adun berkenaan pula ialah Adun Gombak Setia, Hilman Idham, Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dari Melaka dan Adun Pemanis Chong Fat Full dari Johor.