[Video] Long Tiger ditahan lagi, kes peras ugut pula - pakdin.my

Lelaki Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana dipercayai memfitnah pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, ditahan semula oleh polis di Muar, petang semalam. 

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penahanan itu dibuat di IPD Muar kira-kira 5.45 petang sejurus selepas Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 34, dibebaskan daripada tahanan reman yang membabitkan siasatan kes fitnah.

“Long Tiger telah ditangkap semula bersabit satu lagi kes baharu yang dilaporkan di daerah Tangkak melibatkan elemen pemerasan.

“Permohonan reman terhadapnya dibuat mengikut peruntukan Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah dan majistret telah membenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa (5 Mei),” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ayob Khan menambah kes baharu itu akan disiasat di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.

Beliau menegaskan tindakan diambil pihak polis itu adalah mengikut peruntukan undang-undang dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam peringkat siasatan.

Semalam, permohonan pihak polis untuk menyambung reman terhadap Long Tiger bagi membantu siasatan lanjut kes fitnah ditolak oleh Majistret Zuraidah Abu Bakar kerana mendapati tiada justifikasi kukuh dikemukakan bagi menyambung tempoh tahanan reman selama lima hari yang bermula Selasa lepas berakhir semalam.

Terdahulu, Abdul Hamim ditahan di rumahnya di Muar pada 30 April lepas bagi membantu siasatan memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Dia menjadi bualan netizen akhir-akhir ini kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi termasuk menfitnah pegawai polis melalui sesi siaran langsung di Facebook. — Bernama

UTAMABERITA Long Tiger ditahan lagi, kes peras ugut pula

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium