Bekalan Elektrik Percuma Tiga Bulan Untuk 4 Juta Pengguna Domestik - pakdin.my

Seramai empat juta pengguna domestik dengan bil RM77 ke bawah, atau penggunaan bawah 300kWj sebulan, bakal menerima bekalan elektrik percuma selama tiga bulan iaitu April, Mei dan Jun 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara itu diperuntukkan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang diumumkan hari ini.

Menurutnya, seramai 7.66 juta pengguna akan mendapat manfaat daripada bantuan tersebut yang pada keseluruhannya berjumlah RM942 juta.

“Bantuan ini merupakan bayaran tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang dilaksanakan sejak 1 April lepas,” katanya pada satu sidang media khas di sini hari ini.

Bagaimanapun, bagi pengguna yang telah membuat bayaran bagi tempoh tiga bulan tersebut, nilai itu akan dikreditkan semula pada bil bagi bulan Julai 2020.

Dalam pada itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini.

Shamsul berkata, ia antara usaha kerajaan meringankan beban pengguna yang menghadapi kesukaran kewangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan krisis COVID-19 ketika ini.

Sementara itu, TNB pada sidang media sama turut mengulas mengenai bacaan meter bagi tempoh tiga bulan tersebut yang banyak menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya akur pembaca meter TNB tidak dapat bertugas seperti biasa dalam tempoh itu selaras dengan arahan kerajaan.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kajian dibuat Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati sebahagian besar pengguna elektrik yang terkesan semasa tempoh PKP adalah dalam blok tarif 301-600kWj dengan kadar tarif 51.6 sen/kWj.

Disebabkan penggunaan elektrik yang tinggi semasa PKP, kumpulan ini, katanya, telah terkeluar daripada blok tarif yang sebelumnya dan memasuki blok tarif yang seterusnya iaitu dengan kadar 54.60 sen/kWj.

Ini menyebabkan bil elektrik mereka melonjak naik, sekali gus menyaksikan pengurangan diskaun daripada 15 peratus kepada hanya dua peratus.

“Bagi membantu pengguna yang termasuk dalam kategori itu, kerajaan telah memperkenalkan diskaun tambahan kepada pengguna elektrik dalam blok tarif 601-900 kWj dengan bil elektrik antara RM232.35 hingga RM395.60.

“Mereka akan menikmati diskaun tambahan lapan peratus menjadikan 10 peratus sebulan bagi bil elektrik bulan April hingga September, berbanding hanya dua peratus yang dinikmati sejak April lepas.

“Jumlah pengguna yang terlibat adalah seramai 916,000 orang atau 12 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik,” katanya.

Shamsul Anuar berkata, dengan tambahan bantuan ini, jumlah keseluruhan diskaun di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang diberikan kepada pengguna bagi tempoh 1 April hingga 30 Sept depan adalah sebanyak RM2.2 bilion.

Menurutnya, Dana Bantuan Prihatin Elektrik ini dibiayai kerajaan menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik, Kementerian Kewangan dan TNB.

UTAMABERITABekalan Elektrik Percuma Tiga Bulan Untuk 4 Juta Pengguna Domestik

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium