75,000 bakal graduan dijangka terkesan COVID-19 - pakdin.my

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjangkakan 75,000 bakal graduan negara ini, akan terkesan daripada kemelesetan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata jangkaan dikukuhkan lagi dengan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan kadar pengangguran negara ini mengalami peningkatan mendadak daripada 3.3 peratus pada Februari kepada 3.9 peratus pada Mac lalu.

Justeru itu, katanya kerajaan mahu agenda keusahawanan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diperkasa serta diberi pengisian baharu bagi melahirkan graduan memiliki ketahanan minda untuk mengharungi dunia kerjaya yang semakin mencabar.

“Antara ikhtiar menyelesaikan masalah ini adalah IPT perlu menyemak semula kurikulum dan program akademik masing-masing supaya dimensi keusahawanan dapat di arus perdanakan.

“Selain itu, saya juga mengharapkan kementerian dapat mengambil inisiatif menggandakan fasilitasi kepada graduan supaya mereka mendapat kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia.

“IPT juga perlu menumpukan usaha membuat padanan dengan kekosongan jawatan dalam industri. Usaha ini boleh dijayakan melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi atau mana-mana badan berkaitan,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Kementeriannya, di sini hari ini.

Perhimpunan bulanan yang pertama kali diadakan sejak Noraini menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi itu, disiarkan secara langsung menerusi Facebook KPT.

Noraini berkata, ketika Malaysia kini beransur pulih daripada wabak COVID-19, kementeriannya berusaha mengukuhkan ekosistem pengajian tinggi bagi memastikan masa hadapan negara lebih bermakna.

“Kita sedang menyusun satu anjakan baru kementerian yang diharap dapat membina sebuah generasi yang lebih cemerlang dan berdaya saing supaya Malaysia yang kita cintai ini, gemilang dengan produk pengajian tinggi yang hebat dan graduan yang berkualiti,” katanya.

Dalam ucapannya, Noraini turut menyenaraikan beberapa kejayaan beliau bersama pasukannya selepas 100 hari menjadi Menteri Pengajian Tinggi.

“Satu inisiatif besar yang dilakukan ialah misi hantar pulang pelajar ke kampung masing-masing. Mungkin ada yang bertanya, apa masalahnya dalam menghantar pelajar IPT pulang?

“Saya ingin nyatakan di sini bahawa cadangan menghantar pelajar pulang ini dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berkuat kuasa.

“Ketika aktiviti merentas negeri masih dilarang dan pergerakan keluar dari kampus tidak dibenarkan. Jumlah pelajar yang terbabit pula adalah besar, hampir mencecah 60,000 orang.

“Destinasi penghantaran mereka pulang meliputi segenap pelosok tanah air dan sebahagian besarnya perlu menyeberangi Laut Cina Selatan,” katanya.

Noraini berkata, urusan itu tentunya memerlukan perancangan yang teliti, peruntukan kewangan yang mencukupi, penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif, pemantauan yang rapi dan pembabitan strategik pelbagai agensi kerajaan.

Katanya, di sebalik segala kepayahan itu, sehingga 4 Jun lalu pihaknya berjaya menghantar 57,565 pelajar menggunakan 1,860 bas dan 137 penerbangan.

Selain kejayaan menghantar pulang pelajar, KPT turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan melalui perkongsian kepakaran dan fasiliti dalam melaksanakan ujian saringan dan rawatan COVID-19.

“Sehingga 17 Jun lalu, Hospital Pengajar Universiti (HPU) berjaya membantu KKM dengan membuat 49,542 ujian saringan serta mengendalikan seramai 2,780 pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan 508 pesakit yang positif COVID-19.

“KPT turut menawarkan kemudahan dan fasiliti bersesuaian seperti Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk digunakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai pusat kuarantin yang menempatkan seramai 661 individu sepanjang PKP,” katanya.

UTAMABERITA75,000 bakal graduan dijangka terkesan COVID-19

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium