Kluster Sivagangga: Pemilik kedai nasi kandar didenda, penjara - pakdin.my

PEMILIK kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan di Alor Setar selepas didapati bersalah ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lalu.

Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada jam 3.58 petang, 14 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didapati berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dalam proses pertuduhan yang dilakukan di Wad I, Hospital Alor Setar.

Mohd Hadi kemudian mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan dan didenda RM3,000 dan penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

UTAMABERITAKluster Sivagangga: Pemilik kedai nasi kandar didenda, penjara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium