MTUC bantah pengeluaran i-Sinar - pakdin.my

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar bagi membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan berkata, kerajaan perlu mencari alternatif lain bagi membantu golongan tersebut.

“Langkah itu bakal memberi implikasi besar kepada pesara yang berkemungkinan tidak mempunyai wang simpanan mencukupi pada masa akan datang.

“MTUC tidak mahu kejadian pesara terpaksa duduk di bawah jambatan atau tiada tempat tinggal berulang lagi. Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar daripada kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Baharin berkata, kerajaan sebaliknya disaran memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M20) sebanyak RM1,200 sebulan dengan mencari sumber lain bagi tujuan tersebut.

“Tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk mencari dana bagi tujuan membantu pekerja.

“Jangan usik duit simpanan pekerja bagi menunjukkan bahawa bantuan telah diberikan. Kerajaan mengambil kredit ke atas simpanan pekerja sedangkan itu adalah simpanan hari tua pekerja,” katanya.

Tambahnya, MTUC juga membantah cadangan tersebut kerana tidak dibincangkan dengan pihak yang berkepentingan seperti MTUC dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dalam isu yang melibatkan simpanan pekerja.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC turut mendesak agar moratorium automatik selama enam bulan diberikan kepada seluruh rakyat. – K! ONLINE

UTAMABERITAMTUC bantah pengeluaran i-Sinar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium