Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) akan melakukan yang terbaik agar anggota tentera Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang semalam, ditemukan.
Beliau berkata perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dipantau rapat dan berharap operasi itu dipermudah.
Katanya operasi SAR TDM turut dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam dan Panglima Tentera Darat (Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain) turut berada di lokasi kejadian.
“Tiada harapan yang lebih besar selain mahu Lans Koperal Mohamad Azrin, 27, daripada 10 Briged (Para) ditemukan dalam keadaan selamat,” menurut beliau dalam ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini.
Bernama hari ini melaporkan seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di Kampung Batu Bor, Bera dikhuatiri lemas.
Mohamad Azrin, 27, anggota tinjau Kompeni PANDURA dipercayai hilang pada 4.40 petang semalam semasa melaksanakan fasa latihan taktikal menyeberangi sungai itu.