Anggota Orang Asli miliki kelebihan tersendiri dalam JBPM - pakdin.my

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dalam hutan adalah satu tugas mencabar buat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) namun ia adalah satu kelebihan buat anggota Orang Asli dalam pasukan itu.

Seorang pegawai bomba Muhammad Yusri Bahpat, 42, dari suku Semai yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah berkata beliau mempunyai minat mendalam dalam kebombaan dan berusaha memasuki pasukan dengan menyertai rekrut di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu pada 2010.

“Saya minat skop kerja untuk menyelamat dan membantu orang. Selepas enam bulan menyertai rekrut, saya ditugaskan ke BBP Nilai, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke balai ini sejak 2013,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Muhammad Yusri berkata antara tugas paling disukainya termasuklah operasi SAR dalam hutan kerana beliau tahu selok belok dan teknik mengesan pergerakan yang mana kemahiran itu tidak asing dalam masyarakat Orang Asli.

Berkongsi lebih lanjut, katanya antara teknik digunakan ialah menjejaki tapak kaki bagi mengesan arah dituju oleh mangsa dicari dalam hutan dan mengesan pergerakan seperti terdapatnya peninggalan unggun api yang menandakan lokasi itu dijadikan tempat berehat dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau yang berasal dari Kampung Batu 16, Jalan Pahang di sini berkata setiap anggota termasuk dalam kalangan Orang Asli perlu mempunyai kemahiran pelbagai operasi seperti kemalangan, lemas, memasuki gaung dan operasi menyelamat lain.

Ditanya mengenai pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang perkhidmatan, bapa kepada lima anak itu berkata perasaannya menjadi terlalu sayu apabila terpaksa berdepan dengan kemalangan ngeri yang mengorbankan nyawa kanak-kanak.

“Operasi ketika kemalangan agak mencabar…saya berasa sayu apabila ada kanak-kanak terlibat dalam kemalangan kerana saya juga mempunyai anak-anak,” katanya.

Raihan Anak Lelaki Bah Kapak @ Ramli, 36, Orang Asli suku Semai dari Kampung Batu 14, Jalan Pahang pula adalah anggota yang memiliki kepakaran menangkap binatang liar dan berbahaya.

Beliau menyertai rekrut pada 10 tahun lepas dan ditempatkan di BBP Kajang selama tiga tahun sebelum dipindahkan ke BBP Tapah yang berdekatan dengan beberapa perkampungan Orang Asli termasuk tempat asalnya.

“Saya paling kerap dihantar untuk terlibat dengan operasi menangkap pelbagai jenis ular dan binatang lain seperti babi sebelum ia diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Raihan berkata Orang Asli yang menceburkan diri dalam pasukan bomba mempunyai kelebihan tersendiri kerana boleh menyesuaikan suasana hutan ketika menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa sesat dan kes mangsa yang tidak dapat turun dari bukit kerana mengalami kecederaan selain mempunyai kemahiran memanjat pokok.

Sementara itu, Khuruf Anak Lelaki Atai, 36, dari suku Jahut pula menyertai JBPM selepas mengikuti latihan rekrut di akademi sama dan kini berkhidmat bersama Muhammad Yusri dan Raihan.

Khuruf yang pernah ditugaskan di BBP Pantai di ibu negara selama lima tahun dan kini diletakkan dalam Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) tidak menyangka sudah lebih 10 tahun menjadi anggota bomba.

“Antara pengalaman tidak dilupakan dalam pasukan ini adalah saya terlibat dengan operasi mencari lelaki dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai acara larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Gopeng pada 23 Mac 2019 yang pernah menarik perhatian masyarakat.

“Bagaimanapun tiada kesan pergerakan dan petunjuk dijumpai walaupun pelbagai usaha telah dijalankan ketika itu,” katanya yang berasal dari Kampung Seboi, Kuala Krau, Temerloh, Pahang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman berkata empat anggota Orang Asli yang terdapat di Perak setakat ini dan beliau menggalakkan masyarakat itu menyertai pasukan bomba berdasarkan kriteria ditetapkan supaya berdaya saing dan memajukan diri dalam jabatan itu.

Azmi berkata penglibatan Orang Asli dalam JBPM memberi peluang untuk mereka berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira etnik dan kaum selain mengubah diri menjadi lebih berdisplin setelah menceburi badan beruniform.

“Orang Asal sentiasa mematuhi peraturan dalam melaksanakan tugas dan tiada yang dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja setakat ini kerana mereka memberi komitmen tinggi.

“Kekuatan tenaga fizikal yang kuat serta sifat keberanian dalam tugas menghadapi bencana dalam diri mereka cukup sebagai asas dalam pasukan beruniform malah tidak gentar ketika berlaku insiden dan mereka bertindak berlunaskan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, mereka juga memainkan peranan besar dalam menarik minat penduduk apabila kempen keselamatan kebakaran dijalankan di perkampungan Orang Asli kerana mengenali budaya dan adat masyarakat itu selain mahir bertutur mengikut suku masing-masing.

 

UTAMABERITAAMAnggota Orang Asli miliki kelebihan tersendiri dalam JBPM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium