PRN Melaka: Kedudukan empat bekas ADUN Melaka dibincang petang ini- Anwar - pakdin.my

Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu termasuk ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 Nov ini.

“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat ADUN berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR pada Isnin lepas di Melaka, Anwar berkata ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

Pada 10 Mac tahun lepas, DAP memecat Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada  kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.

Norhizam, bekas ADUN Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt selain Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

UTAMAPILIHAN RAYAPRN Melaka: Kedudukan empat bekas ADUN Melaka dibincang petang ini- Anwar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium