Kerana Terlalu Banyak Mengkritik… DAP Tergigit Lidah - pakdin.my

CARA DAP mengendali isu kritikan Naib Presidennya, Tunku Abdul Aziz Ibrahim terhadap demontrasi Bersih 3.0 tidak langsung memperlihatkan semangat demokratik yang sepatutnya menjadi simbol kepada parti tersebut.

Apatah lagi nama parti tersebut bermula dengan huruf ‘Demokratik’. Malangnya ia belum benar-benar demokratik.

Ini semua terjadi pada pandangan peribadi saya adalah kerana, untuk sekian lamanya, DAP adalah sebuah parti politik yang hanya asyik mengkritik sahaja.

Ia tidak ada sejarah memerintah sebuah negara mahupun negeri. Tetapi tiba-tiba selepas pilihan raya ke-12 empat tahun yang lalu, parti ini menjadi parti yang memerintah di sekurang-kurangnya sebuah negeri iaitu Pulau Pinang.

Di beberapa negeri yang lain seperti Selangor dan buat seketika, Perak, DAP turut sempat merasa perkongsian kuasa.

Untuk menjadi sebuah parti yang orang kata “walk the talk”, DAP mestilah berada di kehadapan dalam memperkenalkan pembaharuan.

Lebih-lebih lagi, ia adalah parti yang ingin menjuarai demokrasi tulen dan juga politik baru.

Legitimasi kewujudan DAP dan juga rakan-rakan kongsinya yang lain dalam arena politik Malaysia seperti PAS dan PKR adalah kerana mereka mahu menawarkan sesuatu yang lain daripada kerajaan yang ada sekarang.

Mereka mahu memperkenalkan budaya politik baru. Mereka mahu menegakkan kebebasan bersuara. Mereka mahu memastikan kebebasan mengkritik.

Tetapi jika satu pandangan yang berbeza dari naib presiden pun tidak dilayan secara demokratik, maka tidak ada gunanya DAP mahu menegakkan itu semua.

Ini semua terjadi sepertimana yang saya tegaskan diawal tadi adalah kerana sejak berkurun-kurun lamanya DAP hanya tahu mengkritik sahaja.

Mereka nampaknya masih belum sedar bahawa situasi mereka sudah berubah. Mereka adalah sebuah parti yang telah pun diberi mandat untuk berkuasa dan memerintah – sekurang-kurangnya di sebuah negeri.

Maka mereka perlu harus belajar menerima kritikan pula dan bukannya asyik menjadi defensif malah menghukum seorang pemimpin yang dihormati dan berdiri atas dasar prinsip sepertimana Tunku Abdul Aziz dengan tidak menyambung tempoh perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.

Itu bukan caranya untuk sebuah parti yang telah memerintah menunjukkan kuasa.

Sebaliknya DAP patut meraikan kepelbagaian pendapat sepertimana yang diperjuangkannya. Bukan menghukum seseorang yang bertentangan pendapatan dengan kepimpinan.

Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh DAP, bagaimanakah kami rakyat Malaysia yang juga pengundi mahu memberikan mandat dan kepercayaan kepada parti itu untuk memimpin Malaysia.

Apakah jaminan yang boleh diberikan oleh DAP, seandainya mereka memperolehi kuasa, mereka tidak akan menghukum orang yang berprinsip tetapi tidak selari dengan pandangan dan aliran semasa mereka?

Apa yang telah terjadi ke atas Tunku Abdul Aziz tidak sedikit pun membantu DAP mempertahankan imejnya sebagai sebuah parti yang mahu menegakkan kebebasan bersuara malah ia kini boleh dianggap sebagai parti yang tidak meraikan kepelbagaian suara.

MUHD HISHAM ABD MANAF
Pengundi Atas Pagar
Selangor Darul Ehsan

UTAMAKerana Terlalu Banyak Mengkritik... DAP Tergigit Lidah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium