6 perkara PLUS dan Touch n Go patut buat untuk pelaksanaan RFID lebih lancar - pakdin.my

PLUS telah memulakan operasivRFID di semua plaza tol mulai hari Sabtu, 15 Januari yang lepas. Tetapi masalah besar bermula pada hari Isnin, 17 Januari apabila kesesakan luar biasa berlaku di beberapa plaza tol PLUS.

Orang ramai meluahkan rasa marah dan meninggalkan komen kerana kecewa dengan masalah yang timbul berkaitan RFID, mengakibatkan pihak PLUS terpaksa mematikan fungsi komen di Facebook rasmi PLUS Malaysia.

 

Ruangan komen dimatikan di Facebook PLUS Malaysia

Sebenarnya, RFID telah pun digunakan dengan meluas di lebuhraya sekitar Lembah Klang, dengan 1.5 juta pengguna RFID telah berdaftar. Jadi apa silapnya pada sistem RFID di PLUS sehingga mengakibatkan kesesakan trafik?

Ini cadangan yang boleh PLUS dan Touch n Go pertimbangkan untuk meningkatkan perkhidmatan dan kelancaran proses RFID di plaza tol.

 

1. Papan tanda laluan RFID yang jelas

Pelaksanaan RFID di lebuhraya PLUS bukan perkara kecil kerana ia adalah lebuhraya terpanjang di Malaysia, dengan 83 plaza tol dari Juru, Pulau Pinang sehingga Skudai, Johor. PLUS telah mempromosikan kesediaan RFID selama sebulan tetapi masih ada pengguna yang tidak sedar tentangnya.

Kerana itu, waktu sibuk pertama pada pagi hari Isnin menyaksikan kesesakan luar biasa terjadi, akibat kekeliruan orang ramai tentang laluan yang ada. Lebih parah lagi, laluan RFID tidak diseragamkan kedudukannya di plaza tol. Ada yang melaporkan bahawa pengguna SmartTAG memasuki laluan RFID tanpa menyedari ia telah ditukar. Satu silap membawa kepada puluhan kesilapan, sekaligus menyumbang kepada kesesakan luar biasa.

Untuk mengelakkan masalah ini berlaku, salah satu perkara yang boleh dibuat adalah meletakkan papan tanda yang besar dan jelas untuk menunjukkan laluan di plaza tol. Untuk beberapa minggu awal ini, jika laluan RFID ditempatkan di hujung kanan, kon penghadang boleh diletakkan lebih awal untuk memberi petunjuk ia adalah laluan yang berbeza dari yang lain.

Jika ada masalah di laluan RFID, kesesakan yang terjadi tidak akan memberi kesan teruk kepada pengguna Touch n Go dan SmartTAG yang lain. Sama juga, pengguna RFID tidak akan terganggu dengan masalah di laluan lain. Barulah orang ramai akan nampak kelebiha RFID.

2. Kakitangan sokongan sentiasa bersedia

Masalah akan sentiasa terjadi. Apa yang penting adalah sokongan untuk menyelesaikannya. Memandangkan ini adalah kali pertama PLUS menggunakan RFID, kakitangan yang sedia membantu harus bersedia di plaza tol. Palang penghadang RFID tidak akan terangkat jika baki tidak mencukupi atau tag RFID tidak dapat diimbas.

Berdasarkan pengalaman menggunakan RFID sejak ia diperkenal beberapa tahun lepas, kebanyakan masalah berlaku akibat masalah pengimbas dan boleh diselesaikan semudah berundur sedikit. Pengguna yang tersangkut buat kali pertama, mungkin tidak tahu tentang perkara ini dan ia boleh diselesaikan segera dengan adanya kakitangan yang bersedia dengan pengimbas RFID mudah alih.

3. Mengekalkan sekurang-kurangnya satu laluan SmartTAG di semua plaza tol

Plaza tol DUKE

Walaupun telah memberi jaminan akan mengekalkan laluan Touch n Go dan SmartTAG, beberapa pengguna SmartTAG meluahkan rasa kecewa kerana ada laluan SmartTAG telah diubah kepada RFID di beberapa plaza tol kecil. Akibatnya, mereka terpaksa beratur di laluan Touch n Go yang perlahan, dan ini menyumbang kepada kesesakan.

Adalah lebih rasional mengekalkan satu laluan SmartTAG di semua plaza tol. Ada yang memberi cadangan, PLUS sepatutnya menukar lorong Touch n Go kepada RFID, bukannya SmatTAG. Atau, sediakan laluan hibrid SmartTAG + RFID jika kekurangan laluan di plaza tol yang kecil.

4. Mengaktifkan PayDirect secepat mungkin

Plaza tol LDP

Walaupun telah mula mengoperasikan RFID, PLUS masih belum menyokong pembayaran PayDirect buat masa ini. Dengan PayDirect, pengguna boleh menghubungkan kad Touch n Go yang juga terdapat di dalam kad pengenalan, kepada eWallet Touch n Go. Ini memudahkan tambah nilai dibuat secara dalam talian menggunakan kad debit, kredit atau perbankan terus. Ia juga banyak membantu kerana tidak perlu lagi beratur atau mencari tempat untuk menambah nilai kad fizikal Touch n Go, sambil dikenakan caj 50 sen.

Pengguna PayDirect juga boleh menikmati kemudahan tambah nilai automatik dan mengurangkan lagi masalah tidak cukup baki di plaza tol. Perlu dijelaskan, PayDirect tidak menggunakan baki di kad fizikal Touch n Go, dan hanya berfungsi di lebuhraya terpilih. Di laluan RFID, baki akan ditolak daripada eWallet, bukannya kad fizikal.

PLUS pernah menyatakan bahawa RFID akan menyokong lebih banyak jenis pembayaran, termasuk PayDirect, kad debit dan kad kredit menerusi sistem pembayaran terbuka. Ia telah dimaklumkan sejak 2019 tetapi masih tidak diketahui bila akan dilaksanakan.

5. Uji RFID dan memastikan ia berfungsi

Kepada pengguna yang membeli kit pemasangan sendiri RFID, anda tidak ada cara untuk mengetahui sama ada tag yang dipasang berfungsi atau tidak. Tidak seperti di pusat pemasangan berdaftar, pengguna tidak boleh menguji TAG RFID yang dipasang sendiri melainkan pergi ke plaza tol sebenar. Jika bernasib baik, anda hanya perlu berundur sedikit dan tag tersebut berfungsi kali kedua.

Walaupun cara pemasangan RFID nampak mudah, pasti ada beberapa orang yang melakukan kesilapan memasang atau merosakkannya ketika memasang. Mungkin juga tag tersebut rosak semasa dihantar.

Untuk memberi kelegaan dan jaminan kepada pengguna, Touch n Go dan operator lebuhraya boleh menyediakan laluan ujian RFID di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau tempat yang mudah dikunjungi untuk pengguna menguji tag RFID mereka. Jika ia gagal dan tidak berfungsi, Touch n Go boleh terus menawarkan penggantian secara percuma.

Jika anda tidak tahu, Touch n Go ada menyediakan satu kali penggantian percuma untuk tag RFID dan ia boleh dimohon dengan menghubungi Touch n Go. Jika anda memasangnya di pusat pemasangan berdaftar, anda boleh kunjungi mereka semula untuk penggantian. Tetapi penggantian percuma ini hanya untuk pengguna yang membeli tag RFID selepas 15 Februari 2020. Pengguna rintis RFID yang mendapat tag secara percuma, tidak layak dan perlu membayar RM35 untuk mendapatkan tag yang baru.

6. Lebih ganjaran bertukar kepada RFID

Touch n Go kini menawarkan RM5 pulangan tunai dan penghantaran percuma jika membuat tempahan tag RFID menerusi eWallet. Jika Touch n Go dan operator lebuhraya mahu lebih ramai orang menggunakan RFID, mereka patut menyediakan lebih banyak insentif untuk memacu penggunaan RFID.

Ada yang mengadu, apa yang mereka perlu buat dengan SmartTAG yang dibeli berharga RM100+ selepas bertukar kepada RFID? Touch n Go boleh menawarkan program tukar beli SmartTag kepada RFID dan memberi bonus dalam bentuk kredit eWallet. Selain itu, Touch n Go juga boleh bekerjasama dengan pengeluar kenderaan untuk menyediakan tag RFID siap bersama kenderaan mereka yang dijual bermula tahun ini.

Pengguna lebuhraya pasti dapat melihat kelebihan RFID dan sedia berhadapan masalah kecil di awal pelaksanaan RFID, jika ia ditawarkan dengan pulangan tunai, diskaun atau hadiah menarik setiap kali transaksi RFID di plaza tol. Pastinya pengkritik tidak akan terlalu marah jika ada penjimatan untuk mereka setiap kali melalui tol di lebuhraya.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, RFID adalah langkah pertama Malaysia menuju Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Berbilang Laluan (MLFF) yang disasarkan pada tahun 2026, di mana tiada lagi laluan khas dan palang diletakkan untuk pembayaran tol. Sebelum mencapai MLFF, laluan RFID tanpa palang perlu disediakan menerusi Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Laluan Tunggal (SLFF).

Perubahan kepada SLFF memerlukan lebih banyak persediaan dari segi undang-undang, untuk mengelakkan penipuan dan situasi salah bayar. PLUS telah melaksanakan Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) tetapi perlu ada undang-undang yang jelas untuk memastikan tiada penipuan pembayar tol dan penguatkuasaan lebih ketat tentang rekaan nombor pendaftaran kenderaan.

Adakah anda berhadapan saat manis atau muram dengan RFID sekarang? Jika anda ada cadangan lain, boleh lontarkannya di ruangan komen di bawah.

BACA juga:

Original Article

UTAMAGAYA HIDUPTEKNOLOGI6 perkara PLUS dan Touch n Go patut buat untuk pelaksanaan RFID...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium