#PRNJohor : ‘Pindah kerusi, ibarat PAS bunuh karier politik saya’, kata bekas ADUN Bukit Pasir - pakdin.my

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir Najib Lep berkata, keputusan PAS memindahkan beliau ke kerusi lain seolah-olah mahu membunuh karier politiknya walaupun setelah mempamerkan khidmat cemerlang sebagai wakil rakyat tunggal parti itu sepanjang empat tahun lalu.

Bercakap kepada Sinar Harian, beliau yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Bukit Pasir berkata, keputusan parti meletakkan beliau bertanding di kerusi baharu, iaitu DUN Simpang Jeram hanya diketahui pada 23 Feb, iaitu sehari sebelum Perikatan Nasional (PN) mengumumkan senarai nama keseluruhan 56 calon gabungan itu.

Bagaimanapun Najib berkata, beliau terpaksa menolaknya kerana perlu berdepan penyandang kerusi itu, iaitu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

“Secara jelasnya, saya diminta bertanding menentang Salahuddin Ayub yang menyandang kerusi itu.

“Kalau betul ada kajian dibuat, sepatutnya hasil kajian itu diberikan kepada saya. Mana hasil kajian itu? Saya tidak tahu. Namun berdasarkan kajian yang saya buat, kalau saya bertukar kerusi ke DUN Simpang Jeram, saya seumpama ‘menggantung diri’,” katanya.

“Kalau guna bahasa kasar, keputusan itu seolah-olah hendak membunuh karier politik saya.”

Jelasnya, kepimpinan PAS menghubungi beliau semula dan cuba memujuk agar menerima keputusan itu, namun beliau berkata, “akan memikirkannya”.

“Pada pagi Rabu (23 Feb) itu, saya menghubungi pucuk kepimpinan PAS untuk bertanyakan kerusi mana yang bakal saya tandingi pada PRN Johor kali ini. Apabila mereka menyatakan saya perlu bertanding di DUN Simpang Jeram, saya terus menolak cadangan itu.

“Pucuk kepimpinan PAS kemudiannya menghubungi saya semula dan cuba memujuk saya supaya menerima keputusan itu. Namun saya hanya menjawab akan memikirkannya,” katanya.

Pada 27 Feb, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin menjelaskan bahawa keputusan memindahkan Najib ke tempat lain bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor disebabkan beliau menghadapi masalah komunikasi dengan jentera pilihan raya.

Beliau berkata, jika tindakan menukar kawasan DUN itu tidak diambil, dibimbangi ia akan menjejaskan peluang beliau untuk terus memenangi kerusi berkenaan.

Katanya, pucuk pimpinan PAS bagaimanapun tidak pernah menyisihkan Najib sebaliknya menawarkan DUN lain yang lebih berpotensi untuk menang berdasarkan kajian yang dibuat.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa keahlian Najib yang bertanding sebagai calon Bebas gugur secara automatik disebabkan tindakannya sendiri melanggar keputusan parti.

Mengulas lanjut, Najib mendakwa berdasarkan kajian yang dijalankannya menunjukkan 89.4% penduduk di kawasan Bukit Pasir tidak bersetuju beliau berpindah ke DUN lain dan terdapat segelintir pemimpin PAS negeri tidak bersetuju beliau tidak dicalonkan semula di DUN Bukit Pasir.

“Lagipun bila saya dipindahkan ke DUN lain, saya perlu ‘membersihkan kawasan itu yang semak-samun dan berhutan’ sebagaimana usaha dilakukan sewaktu pertama kali bertanding di DUN Bukit Pasir.

“Awak bayangkan saya masuk (bertanding) DUN Bukit Pasir, asalnya ‘hutan’. Kemudiannya, saya bersihkan kawasan itu sehingga wujud taman perumahan dan sebagainya.

“Setelah penat saya membangunkan struktur penduduk di situ yang sudi bersama-sama untuk memajukannya, tiba-tiba saya diminta untuk membersihkan ‘hutan’ lain pada PRN Johor,” katanya.

Beliau mendakwa calon baharu di kawasan DUN Bukit Pasir, ibarat hanya “mencuci kaki” kerana beliau sudah pun membina pelbagai prasarana untuk penduduk tempatan.

“Jadi, orang lain (calon lain) yang masuk (bertanding) di tempat saya itu, seolah-olah ‘cuci kaki’ kerana segalanya sudah siap.

“Saya pula kena cari paku, bersihkan tanah dan terpaksa membina bangunan baharu yang sebenarnya bukan memakan sedikit masa, mungkin terpaksa ‘dibina semula’ sehingga lima tahun,” katanya.

UTAMAPILIHAN RAYA#PRNJohor : ‘Pindah kerusi, ibarat PAS bunuh karier politik saya’, kata bekas...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium