KKM lihat kesesuaian PRU-15 selepas Aidilfitri - pakdin.my

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tempoh beberapa bulan ini sekurang-kurangnya selepas selesai sambutan Aidilfitri bagi menentukan waktu paling sesuai negara mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata KKM mahu melihat implikasi daripada keputusan kerajaan membuka sempadan negara bermula 1 April ini.

“Kita akan mula buka sempadan pada 1 April. Kita mahu melihat kesannya kerana jangkaan kita pembukaan ini akan berjalan dengan selamat dan tiada tekanan terhadap sistem kesihatan awam.

“Apa yang paling kita tak tahu adalah kemunculan varian baru, ini mungkin boleh muncul. Negara Eropah sebelum ini jangkitannya turun tapi sekarang naik balik.

“Saya mahu lihat selepas 1 April apabila lebih banyak kelonggaran diberi. Solat tarawih, hari raya, kes melonjak naik atau tak.

“Kes naik tak mengapa tetapi kemasukan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) dan hospital, itu perkiraan kita. Saya mahu lihat dalam beberapa bulan lagi, keadaan ini stabil atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya penentuan tarikh PRU ke-15 dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Itu perkara yang perlu terus dibincang sebab dari segi ‘timing’, pemilihan parti sebelum akhir tahun ini. PRU serah kepada Perdana Menteri sebab kuasa pembubaran pada Yang di-Pertuan Agong. Saya sudah sebut sebagai Menteri Kesihatan, wajar kita tangguh dulu.

“Semangat Presiden dan parti betul. Dari segi akar umbi minta awal tapi akhirnya ia terserah kepada Perdana Menteri, yang akan ambil perhatian termasuk dapatkan pandangan pihak pembangkang dan beliau juga mendengar pandangan KKM,” katanya.

UTAMAPOLITIKKKM lihat kesesuaian PRU-15 selepas Aidilfitri

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium