“Dikatakan juga Kabinet hari ini memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan ‘Antilompat’ di masa akan datang.
“Dengan kata lain, perundangan ‘Antilompat’ akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali. Kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Ahmad Zahid, UMNO ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti apabila terdapat Ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas.
Malah, katanya, ada juga dalam kalangan BN ketika itu bernada musuh politik UMNO dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.
“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH (Pakatan Harapan) perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan, membentang dan meluluskan undang-undang ini.
“Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan yang sebenarnya bimbang tidak mampu dan tidak bersedia berdepan PRU (Pilihan Raya Umum) jika Parlimen dibubarkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masa untuk UMNO dalam kerajaan lebih tegas menangani isu berkenaan sebelum menambahkan lagi kemarahan pihak yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan.