Negara miskin bayar lebih untuk makanan - pakdin.my

  • Kos import makanan dunia diramal mencecah AS$1.8 trilion (RM7.9 trilion).
  • Harga tinggi dan kos pengangkutan menyumbang sebahagian besar kenaikan harga makanan berbanding kuantiti yang diimport.
  • Pengeluaran bijirin utama dunia pula dijangka merosot pada tahun 2022.

Negara-negara miskin dijangka paling menderita ketika krisis makanan global menjadi semakin buruk disebabkan perang di Ukraine kerana terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk kuantiti makanan yang berkurangan.

Kos import makanan dunia diramal mencecah AS$1.8 trilion (RM7.9 trilion) tahun ini sekali gus rekod baharu selepas konflik Ukraine mendorong harga bijirin melambung tinggi.

Namun, harga tinggi dan kos pengangkutan menyumbang sebahagian besar kenaikan harga makanan berbanding kuantiti yang diimport, kata Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dalam laporannya.

“Adalah membimbangkan kerana banyak negara terjejas terpaksa membayar harga lebih tinggi tetapi mendapat makanan yang semakin berkurang,” kata laporan tersebut.

Menurut pengiraan FAO, kos import makanan dunia dijangka meningkat sebanyak AS$51 bilion (RM224 bilion) berban­ding tahun 2021 dengan AS$49 bilion (RM215.2 bilion) adalah kos kenaikan harga.

Tambahnya, rantau sekitar Gurun Sahara dan negara-negara membangun yang bergantung kepada import makanan dijangka berbelanja lebih untuk membeli makanan dalam kuantiti berkurangan.

Pengeluaran bijirin utama dunia pula dijangka merosot pada tahun 2022 untuk kali pertama dalam tempoh empat tahun, manakala penggunaan global juga julung kalinya menu­run sejak 20 tahun lalu, kata FAO.

“Disebabkan kenaikan harga, kebimbangan tentang kemarau dan ketidaktentuan pasaran yang makin meruncing  akibat perang Ukraine, ramalan kami menjurus kepada pasaran makanan lebih terhad dengan kos import mencapai angka tertinggi,” kata FAO. – AFP

UTAMADUNIANegara miskin bayar lebih untuk makanan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium