[VIDEO] Suspek terbabit kes pergaduhan guna senjata diburu - pakdin.my

KUALA TERENGGANU: Polis mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata berbahaya di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, setakat ini, polis sudah menahan lapan lelaki berusia antara 23 dan 41 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, pada Khamis lalu, pihaknya menerima maklumat berlaku pergaduhan di luar sebuah kedai makan milik seorang wanita di Kuala Ibai, jam 9 malam.

Susulan itu katanya, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati suasana di kawasan berkenaan, dalam keadaan biasa, dan percaya semua mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah melarikan diri.

“Hasil siasatan dan risikan mendapati dipercayai seramai 15 hingga 20 orang daripada dua kumpulan terbabit dalam pergaduhan itu dengan menggunakan senjata berbahaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan juga mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara seorang lelaki yang juga seorang penyewa rumah dengan seorang lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan mengenai isu parkir yang berlaku pada pagi hari sama di sebuah kawasan perumahan.

“Operasi dijalankan sehingga petang semalam bagi menjejak semua suspek dan setakat ini, (polis) berjaya menahan seramai lapan individu berusia 23 hingga 41 tahun yang dipercayai terbabit pergaduhan itu,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

“Kejadian ini bukan membabitkan isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan orang awam tetapi hanya membabitkan perselisihan faham dan situasi keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat Inspektor Rohaidy di talian 013 9324302 atau bilik gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

UTAMABERITA Suspek terbabit kes pergaduhan guna senjata diburu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium