UtamaPOLITIK PAU2022: Ucapan Dasar...

[VIDEO] PAU2022: Ucapan Dasar Presiden UMNO Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi - pakdin.my

Sumbangan untuk memastikan blog ini terus bersiaran: Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]

Yang Berbahagia, Tan Sri Pengerusi Tetap
YB Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
Yang Berhormat / Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden
Yang Berhormat Ketua Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Keluarga besar dan para penyokong UMNO yang saya hormati sekalian

1. Tatkala merenung ke bawah, seawal saya memasuki Dewan Merdeka sebentar tadi, saya melihat wajah-wajah saudara saudari sekalian, terdetik di hati saya, In Sha Allah dengan izin-Mu jua ya Allah, parti keramat ini masih punya masa hadapan yang cerah.

2. Manakan tidaknya, daripada raut wajah saudara saudari sekalian, saya dapat merasakan, parti ini masih didukung oleh para pemimpin akar umbi, yang terpancar ketulusan dan keikhlasan di wajahnya. Walau dibadai tsunami ganas politik, saudara saudari tetap istiqamah dan setia di bawah lembayung UMNO. Terima kasih, terima kasih seikhlasnya daripada saya buat saudara saudari sekalian.

3. Saya zahirkan perasaan ini kerana saya yakin, setiap daripada kita yang hadir, pada Perhimpunan Agung kali ini, datang dengan pengakuan yang sama. Bahawa, semua daripada kita bertanggungjawab atas jatuh bangunnya UMNO.

4. Jika mahu dicari punca, kitalah puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah. Jika mahu dibangunkan semula, kitalah yang mesti menerajuinya.

Saudara saudari sidang perwakilan sekalian

5. Saya memulakan ucapan dengan menzahirkan gejolak rasa, yang ada di hati saya, kerana inilah medan untuk kita berterus terang. Perhimpunan Agung adalah tempat untuk kita merenung sejenak ke belakang, bagi membolehkan kita terus mengorak langkah ke hadapan.

6. Apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO 2022, diadakan dalam suasana negara kini, berada di bawah landskap politik yang baharu. Kita berhimpun pada kali ini setelah melalui perhitungan rakyat, pada Pilihan Raya Umum Ke-15…19 November 2022 yang lalu.

7. Sudah semestinya kita perlu terbuka mentelaah jejak-jejak yang telah kita lalui. Ini bagi menjadi pedoman, untuk kita meneruskan laluan yang pasti ada likunya, ada pendakiannya, ada curamnya dan tidak kurang juga halangan-halangan.

8. Kita berusaha selepas kekalahan pada PRU Ke-14, dengan mula merangka beberapa strategi politik. Kita membaca dan menilai beberapa pendekatan parti-parti seangkatan dengan UMNO, yang pernah jatuh seperti LDP di Jepun, Golkar di Indonesia dan Congress Party di India. Ada yang berjaya kembali ke tampuk kekuasaan, ada yang berada dalam tampuk pemerintahan walaupun tidak memegang teraju dan ada yang sehingga kini tidak berjaya bangkit semula.

9. Sebelum perletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7, pasukan kita amat jitu. Mereka yang terpilih selepas pemilihan parti pada tahun 2018, menjadi barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra parti. Ada yang terus menyepi dan tidak kurang juga melompat lari. Namun pada ketika itu, suara kita satu sahaja. Mewakili UMNO dan Barisan Nasional.

10. Beberapa langkah politik yang kita ambil, merubah landskap dan sudut pandang rakyat terhadap politik. Sedikit demi sedikit, UMNO kembali diyakini. Apatah lagi tanpa perlu kita apologatik, faktor Bossku, Dato’ Seri Najib menjadi antara penyumbang utama, kembalinya sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

11. Walaupun terdapat segelintir pemimpin dalaman kita sendiri, yang cuba menonjolkan diri, ingin menafikan faktor kebangkitan semula UMNO ketika itu. Namun, kita terus bergerak ke hadapan. Tatkala kita memulakan penyatuan ummah, ada pandangan yang menyatakan gerakan politik ini bahaya. Ia dikatakan akan mewujudkan sitiuasi politik yang tidak sihat dan tidak seimbang. Ini memandangkan kita adalah sebuah negara majmuk, pelbagai latar suku dan agama. Kita tidak boleh membentuk gerakan politik yang terlalu kanan (far right).

12. Begitu juga apabila fenomena Bossku melanda negara, kelompok kecil di kalangan kita, terus menadakan suara mempertikaikan Bossku. Diulang-ulang isu mahkamah beliau, walaupun kita tahu, ia adalah pendakwan politik dan terpilih.

13. Ironinya pada masa yang sama, kelompok ini tidak pula mahu bersama kepimpinan parti ketika itu. Mereka menjauhkan diri. Kononnya dengan alasan bertanggungjawab atas kekalahan parti. Tidak kurang juga setelah tewas dalam pemilihan mereka terus menyepikan diri.

14. Ketetentuan Allah, kita dilorongkan menjadi sebahagian dariapda kerajaan pada Mac 2020. Namun sebelum menyertai kerajaan, selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, UMNO terus menuntut agar mandat dikembalikan semula kepada rakyat. Kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan dengan mandat rakyat.

15. Bagaimanapun, atas pertimbangan kepentingan negara dan rakyat ketika itu, serta sesuai dengan titah oleh Yang di-Pertuan Agong bersandarkan Perlembagaan Persekutuan, kita tampil bersama-sama membentuk kerajaan.

16. Saya menyentuh rentetan peristiwa ini bagi mengingatkan, langkah-langkah yang telah kita ambil untuk mengangkat semula parti ke persada. Jangan kita lupa bahawa barisan kepimpinan parti, sentiasa menilai arus politik untuk melonjakkan parti. Ketika itu langkah kita sederap, suara kita sekata dan gandingan kita mantap.

17. Rupa-rupanya ujian kuasa yang diberikan Allah, adalah lebih berat daripada ujian kita kehilangan kuasa. Saya diserang kerana pembentukan kerajaan, turut dibarisi oleh ahli kabinet yang tidak dilihat mewakili gerakan kebangkitan parti ketika itu. Sebagai Presiden, saya tidak bersama kabinet. Itu bukan soal besar kepada saya. Asalkan parti kita kembali berada di Putrajaya.

18. Kejayaan kita membarisi Jemaah Menteri, memberikan semangat baharu kepada parti dan ahli-ahlinya.

19. Namun seperti saya sebutkan, ujian kuasa yang diberikan Allah lebih berat. Ujian ini telah makin melunturkan kesatuan dalaman kita. Langkah kita mula tempang, suara kita juga mula bercabang, keutamaan parti semakin hilang.

20. Ujian ini semakin berat, apabila kita pula menerajui kerajaan, menjelang ambang kemerdekaan negara pada 21 Ogos 2021. Pembentukan kerajaan ketika itu, adalah usaha gerakan dan strategi parti. Kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-8, yang diwarnai dengan kesengsaraan hidup rakyat, menuntut kita menyelamatkan negara dan rakyat.

21. Akan tetapi, harga kejayaan kita merubah kepimpinan negara, rupanya terlalu mahal terpaksa ditanggung oleh parti. Saya tidak berhasrat untuk memperincikannya di sini kerana dalam Taklimat Presiden, saya telah pun berterus terang mengenai perkara berkenaan.

Saudara saudari sekalian

22. Saya nukilkan secara ringkas latar belakang perjalanan kita selepas PRU-14, sebagai ingatan untuk meneruskan langkah, selepas perhitungan rakyat pada PRU Ke-15. Kita perlu sentiasa ingat, walaupun kita berada di Putrajaya, nadi kita tetap di sini, di rumah agam UMNO ini. Setiap langkah yang bakal kita ambil, rumah kita ini jangan kita tinggalkan. Keberadaan kita di Putrajaya, adalah hasil percaturan kita di sini.

23. PRU-15 ditakdirkan kita hanya memperolehi 30 kerusi Parlimen, berbanding 43 kerusi yang kita wakili ekoran pelbagai episod pengkhianatan selepas PRU-14 lalu.

24. Kekalahan ini sudah tentu mengundang pelbagai pandangan dan desakan, malah tidak kurang juga kecaman. Namun apa yang lebih penting kini, bagaimana kita mahu mengorak langkah ke hadapan.

25. Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca, dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.

26. Saya boleh sahaja menggariskan; adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan. Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak pembangkang menyerang UMNO. Boleh juga saya menyebut, poster boy perlu bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU Ke-15.

27. Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan. Maka dengan sebab itu, jangan kita nafikan usaha-usaha parti, dalam menghadapi pilihan raya umum, telah dibuat sebaik mungkin.

Pertama, kesiapsiagaan gerak kerja dan jentera.
Kedua, penyediaan dokumen dan akujanji calon.
Ketiga, persiapan logistik dan kewangan.
Keempat, proses pemilihan calon.
Kelima, perbincangan dan perundingan dalaman serta dengan komponen BN.

28. Saya sebutkan lima perkara utama ini, bagi menjelaskan pelbagai tohmahan, yang dilontarkan kepada parti ekoran kekalahan pada PRU-15.

29. Kelima-lima proses yang saya sebutkan tadi, melibatkan semua lapisan kepimpinan dalam parti.

30. Bermula dengan Timbalan Presiden selaku Pengarah Pilihan Raya, telah bergerak ke seluruh negara, melalui sesi libat urus dengan Perhubungan Negeri dan Bahagian-Bahagian. Selain menilai data-data yang ada, soal kesiapsiagaan diberikan penekanan.

31. Taklimat Akta Anti Lompat Parti kepada Perhubungan Negeri dan keperluan menyediakan dokumen perjanjian calon dengan parti, di samping penyediaan akuan-akuan bersumpah juga diberikan. Tujuan semua dokumen ini disediakan, adalah untuk memperjelaskan bahawa, kerusi yang dimenangi pada pilihan raya adalah merupakan milik parti. Malah akujanji pula, memberikan Ketua Utama Parti, mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan.

32. Proses pemilihan calon, melibatkan Perhubungan Negeri melalui Pengerusi-Pengerusinya.

33. Rundingan dalaman baik di peringkat Top Five, Biro Politik mahupun Majlis Tertinggi sentiasa berjalan.

34. Semua proses ini memperlihatkan, keputusan-keputusan yang melibatkan soal pilihan raya telah melalui proses rundingan. Malah ketika itu, baik di peringkat Top Five, Biro Politik mahupun Majlis Kerja Tertinggi, semuanya berkongsi pandangan, bahawa tiada satu parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Maka dengan sebab itu, rundingan dengan pihak luar perlu diadakan.

35. Pada ketika itu pilihan kita ada dua sahaja. Pertama BN bersama PAS dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak. Kedua, BN tanpa Pas bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

36. Inilah yang menjadi pegangan pucuk pimpinan, dalam soal pembentukan kerajaan pasca PRU Ke-15. Kita telah memikirkan post electoral pact. Oleh yang demikian, adalah tidak adil menuding kononnya, telah ada persefahaman awal dengan Pakatan Harapan, untuk membentuk kerajaan bersama. Kita tidak mempunyai perjanjian sulit, sebagaimana perjanjian sulit yang pernah ditandatangani, tanpa pengetahuan parti sebelum PRU-15. Ini pun tidak perlu saya perincikan, kerana ia telah menjadi rahsia umum.

37. Tidak adil juga tuduhan kononnya dalam soal pemilihan calon, Presiden bertindak bersendirian. Daripada 119 calon UMNO, hanya enam (6) sahaja yang bertukar di saat akhir, atas beberapa pertimbangan. Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan Pengerusi Perhubungan Negeri bersama Top Five.

38. Saya sebutkan dua perkara utama ini, kerana ia secara sendirinya boleh meleraikan segala nista dan cacian yang dilemparkan kepada parti. Khususnya terhadap saya secara peribadi. Apakah dengan usaha yang melibatkan semua struktur kepimpinan parti, boleh dijadikan alasan kononnya saya mengecilkan peluang kemenangan? Apakah dengan menampilkan muka-muka baharu, sebagai satu proses pembaharuan dalaman parti, juga merupakan satu langkah mengecilkan peluang kemenangan? Atau apakah mengurangkan persepsi UMNO adalah parti war lord, juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?

39. Jika muka baharu tewas pada PRU-15, muka lama dengan nama besar juga tewas. Saya sendiri ditentang oleh tokoh dalam Parti Keadilan Rakyat di Bagan Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian sulit dengan Pakatan Harapan? Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada tanya selera.

40. Memilih gabungan parti lain sebagai gabungan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, adalah bersandarkan persefahaman awal di peringkat parti kita, bahawa tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.

41. Saya pernah membayangkan perkara ini semasa Ucapan Dasar Presiden Tahun 2020. Izinkan saya untuk memetik semula bait-bait ucapan berkenaan di para 49, 50 dan 51 ucapan berkenaan. Saya petik:

“Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini? Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.

“UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.

“Untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini”

Itulah ucapan saya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang telah pun diluluskan sebagai dasar parti.

42. Kemudian ada yang bertanya kenapa Pakatan Harapan dan tidak Perikatan Nasional?

43. Pertamanya, kita telah mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, secara berasingan dua hari selepas PRU-15. Dalam perundingan tersebut, kita telah meletakkan beberapa asas utama, termasuk dalam soal Islam / Melayu dan Bumiputera, yang perlu disepakati bersama. Begitu juga dalam soal pembentukan kabinet. Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali sebagai KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.

44. Pakatan Harapan secara bertulis, menyatakan persetujuan, , terhadap perkara-perkara asas utama yang perlu disepakati Bagaimanapun Perikatan Nasional dalam maklum balasnya, hanya menyebut SEDIA MEMPERTIMBANGKAN perkara-perkara yang telah kita usulkan.

45. Keduanya, seperti diketahui umum, penolakan Perikatan Nasional terhadap titah usulan Yang di-Pertuan Agong, untuk dibentuk kerajaan perpaduan. Penolakan ini disebabkan ketua Perikatan Nasional mendakwa, telah mempunyai jumlah Akuan Bersumpah yang mencukupi, untuk membentuk kerajaan. Akuan Bersumpah ini katanya, termasuk 10 daripada wakil Barisan Nasional yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU-15.

46. Ini juga menjadi faktor kenapa kita tidak boleh bersama Perikatan Nasional. Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri. Sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi yang dimenangi adalah milik parti.

47. Atas sebab itu, kita berbincang dan bersetuju, untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dengan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.

48. Apabila keputusan ini dicapai, muncul pula suara-suara dalaman kita dengan hujah, bukankah kita telah buat keputusan No Anwar, No DAP. Namun kelompok yang bersuara ini, tidak pula menyebut Perhimpunan Agung UMNO juga membuat ketetapan NO BERSATU. Dibangkitkan lagi tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan No Anwar, No DAP.

49. Namun sebagai sebuah parti berperlembagaan, kita membuat keputusan sesuai dengan Perlembagaan UMNO. Dalam Perlembagaan kita Fasal 9.1 menyebut “Majlis Kerja Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal UMNO di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Kerja Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung”.

50. Selain itu, pendirian kita adalah selaras dengan perakuan yang kita berikan kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk menerima titah usulan Baginda, supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Pada masa yang sama Pakatan Harapan juga bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebaliknya Perikatan Nasional menolak titah berkenaan.

51. Makanya, sesuai dengan Perlembagaan Parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan prinsip demokrasi. Pakatan Harapan mempunyai jumlah kerusi terbanyak, iaitu 82 berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional. Rakyat telah memberikan mandat lebih besar kepada Pakatan Harapan, dan atas semangat demokrasi, kita memilih jumlah majoriti yang lebih besar. Setelah dibahaskan, Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan untuk memilih bersama Pakatan Harapan bagi menubuhkan KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.

52. Sekali lagi, ini adalah pembuktian bahawa, keputusan yang dibuat adalah secara bersama. Mereka yang berada dalam kerangka kepimpinan parti tahu dan sedar bagaimana keputusan ini dicapai. Walaupun telah ada akujanji. memberikan kuasa kepada Ketua Utama Parti, untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, kita tetap membuat keputusan, bersandarkan semangat musyawarah sesama kita.

53. Kendati pada ketika itu, ada gerakan dibuat, untuk menyingkirkan Pengerusi Barisan Nasional. Malah kita tahu, ada rundingan pintu belakang telah diatur dengan Perikatan Nasional. Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa dan apakah gerakan itu. Kerana bagi saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik peribadi mereka yang terlibat, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti.

54. Dengan penjelasan ini, letakkanlah noktah kepada polemik ini. Saya tahu, perkara-perkara ini, menjadi modal yang terus dimainkan, tambahan pula pemilihan parti semakin hampir. Termasuklah, saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden. Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertanding dan tidak kurang juga mahu ia dipertanding. Sebagai seorang democrat, saya serahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata.

Saudara saudari sekalian

55. Kini parti kita sekali lagi berada di Putrajaya. Walaupun yang dicita kita mahu menjadi dominan berdasarkan jumlah kerusi, namun takdir mengatur kita, menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan.

56. Barang sudah pasti, cabaran di hadapan kita lebih besar. Rakyat ingin melihat kemampuan serta prestasi kita yang mewakili UMNO dalam kerajaan. Apakah kita mampu bersama-sama memulihkan ekonomi negara, memakmurkan negara yang dapat mensejahterakan kehidupan rakyat, serta membawa Malaysia ke arah yang lebih baik, untuk masa hadapan. Semuanya terletak di tangan wakil-wakil kita, yang kini berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Menteri dan Timbalan Menteri.

57. Berbekal rekod perkhidmatan dan pengalaman yang luas, dalam petadbiran kerajaan, kita berperanan besar untuk melengkapkan perjalanan kerajaan hari ini.

58. Kunci kepada berjaya atau tidak kita melaksanakan amanah ini adalah kestabilan. Makanya, dengan Perjanjian Persefahaman yang telah ditandatangani, oleh parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan, ia akan menjadi pedoman yang mengikat semua daripada kita. Kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan, In Sha Allah akan dapat mewajahkan Malaysia yang progresif. Persefahaman ini juga, akan dapat memastikan Kerajaan Perpaduan Malaysia, melengkapkan pentadbirannya bagi tempoh penggal yang ke-15 ini.

59. Bagi menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang telah disepakati, satu sekretariat bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia telahpun dipersetujui untuk beroperasi. Melalui sekreatariat ini, kita akan membincangkan dari semasa ke semasa, perjalanan kerajaan, di samping membincangkan langkah-langkah ke hadapan, termasuk dalam soal kerjasama politik.

60. Di samping sekretariat di peringkat parti, kerajaan juga bersetuju menubuhkan sekretariat bagi mengkaji semua manifesto parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

61. Melalui Pelan Amal dan Usaha atau PADU yang ditawarkan pada PRU-15, kita memberikan aku janji kepada rakyat. Soal kos sara hidup, pendidikan, pembangunan institusi dan pendidikan Islam, peluang ekonomi, alam sekitar, peluang pekerjaan adalah antara yang menjadi tawaran kita. Begitu juga dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, turut mempunyai tawaran-tawaran kepada rakyat.

62. Sehubungan itu, melalui sekretariat di peringkat kerajaan, kita mencari titik persefahaman dan kebersamaan, , bagi menterjemahkan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat. Paling ketara, semua parti menyentuh tentang soal kos sara hidup, yang pada dasarnya boleh dilaksanakan. Ia merupakan manifesti bersama kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan. Kita berharap, usaha penterjemahan manifestasi kesemua agenda pembelaan rakyat, akan dapat dilaksanakan dengan segera.

63. Tambahan pula, pasca pendemik Covid-19, usaha-usaha pemulihan dan perancangan tidak seharusnya, hanya tertumpu kepada aspek-aspek ekonomi semata-mata. Sebaliknya lebih utama adalah soal kesentosaan serta keamanan hidup rakyat.

64. Dalam hal ini, idealisme parti dan idealisme kepimpinan utama bukan hanya bersifat retorik. Terjemahan pelaksanaan dan keberkesanannya, mestilah dapat dirasai oleh rakyat. Perlakuan dan prestasi kita di dalam kerajaan, akan menjadi kayu ukur untuk merubah persepsi rakyat terhadap kita.

65. Antara fokus yang perlu diberikan segera adalah, kita mahu melihat peluang pekerjaan, perniagaan, latihan semula dan nilai tambah kemahiran (reskilling dan upskilling), padanan pekerjaan sesuai dengan kelayakan dilaksanakan. Ini memandangkan ramai graduan yang tidak menjawat jawatan setara dengan kelayakan mereka. Kita juga mahu tumpuan turut diberikan kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah.

66. Maka dengan itu, satu program besar besaran Technical and Vocational Education Training (TVET) hendaklah dilakukan. Ia perlu mengambil kira kelompok miskin desa, separa bandar dan bandar.

67. Dato’ Seri Khaled Nordin sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mahu beliau memberikan keutamaan kepada aspek ini. Sinergi dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia, perlu digembeleng untuk memastikan lepasan sekolah dan graduan kita mempunyai dayasaing dan kebolehpasaran.

68. Penyediaan sumber tenaga mahir dan berkelayakan, penting untuk meletakkan Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, selain daripada faktor kestabilan politik. Kita mahu menggamit semula pelabur-pelabur luar ke negara ini. In Sha Allah, dengan persefahaman yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan, kita mampu menawarkan kestabilan dan dasar yang jelas kepada para pelabur.

69. Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, perlu bingkas mengembalikan citra Malaysia kepada dunia luar. Langkah-langkah drastik menambat hati pedagang-pedagang luar, perlu segera dilakukan. Malaysia yang mesra pelabur dan menawarkan iklim pelaburan yang kondusif, perlu juga digarap segera oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.

70. Limpahan pelaburan asing, sudah tentu akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, di samping menjana peluang pekerjaan baharu buat anak bangsa kita.

71. Walaupun fundamental ekonomi kita kukuh tetapi sentimen terhadap iklim pelaburan kita sebaliknya. Oleh sebab itu soal memberikan tax holiday (cuti percukaian), insentif kredit baharu mesti diberikan.

72. Regim percukaian mesti dirombak dan perlu seiring dengan sistem percukaian dunia, untuk menarik pelaburan langsung asing. Langkah-langkah menyediakan insentif cukai yang mampan dan bersifat semasa, pasti akan meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing. Kita perlu mengembalikan daya saing negara, agar tidak tenggelam dengan kepantasan serta kerancakan ekonomi negara-negara jiran.

73. Datuk Seri Azalina pula, dalam agenda pembaharuan institusi ia perlu dilakukan segera. Kita telah berjaya dalam membawa akta anti lompat parti. Beberapa pembaharuan institusi lain perlu diteruskan pada kadar segera termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

74. Begitu juga dalam soal keamanan dan keselamatan negara. Saya yakin Datuk Seri Utama Timbalan Presiden kita, akan dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Kita mahu negara dijamin keamanannya. Kebajikan anggota keselamatan kita perlu segera ditangani. Kita jangan menyalahkan mereka, walaupun mereka tidak bersama kita pada PRU-15 yang lalu. Kerana kitalah yang seharusnya bertanggungjawab, untuk memastikan kehidupan mereka yang menjadi benteng negara terbela.

75. Bagi kemajuan desa dan wilayah, In Sha Allah saya akan menyinsing lengan untuk mengukuhkan semula asas kekuatan kita di luar bandar. Kita mahu masyarakat di desa tidak terpisah daripada menikmati arus kemajuan. Kita bertekad untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan budaya masyarakat desa. Isu-isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa akan diperkasa.

Saudara-saudari sidang perwakilan

76. Kita juga mahu melihat alam komunikasi baharu. Perkembangan teknologi komunikasi, akan memberikan dampak besar dalam kehidupan rakyat. Liputan 5G umpamanya, yang kini baru mencapai tahap 38 peratus, perlu dikembang luaskan lebih cepat termasuk bagi kawasan-kawasan desa.

77. Perkembangan ini penting kerana ia akan membolehkan kerajaan, menggerakkan sistem pendidikan negara, daripada analog kepada digital. Dalam tawaran manifesto Barisan Nasional, kita mahu pendidikan sekolah dilaksanakan secara digital. Tiada lagi beg sekolah berat kerana buku teks diganti dengan peranti komputer. Perubahan silibus pelajaran juga boleh sentiasa dikemaskini, mengikut perkembangan semasa, kerana ia bersifat digital dan bukannya percetakan buku secara fizikal.

78. Pedagogi pendidikan tradisi perlu diubah mengikut perkembangan terbaharu. Kita tidak mahu pendidikan di sekolah ketinggalan kerana anak-anak sudah terdedah dengan ilmu dan maklumat, yang lebih luas di luar melalui capaian internet.

79. Selain menyediakan pelajar dengan kebolehpasaran mengikut keperluan industri, pendidikan juga perlu kepada jurusan bagi mewujudkan budaya keusahawanan. Perubahan minda perlu diterapkan, bahawa pendidikan bukan hanya untuk melahirkan golongan pekerja sebaliknya juga pengusaha.

Saudara saudari sidang perwakilan sekalian

80. Sebagai parti dalam kerajaan, kita perlu bergerak seiring dan menyatukan pemikiran. Ini memandangkan, kini soal persepsi seolah-olah menjadi penentu pemilihan sesebuah kerajaan. Kita telah melaluinya pada PRU Ke-14 lalu. PRU Ke-15 baru-baru ini, memperlihatkan sikap pengundi yang sudah tidak lagi memilih middle ground. Sebaliknya berdasarkan sentimen dan persepsi. Keadaan ini sudah tentu tidak sihat untuk politik Malaysia, yang terlalu rencam dan pluralistic.

81. Kita berhadapan antara politik berdasarkan rekod perkhidmatan dan agenda praktikal demi rakyat dan negara, berbanding dengan politik persepsi populis yang membuat tawaran singkat. Politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang kukuh, semuanya dikesampingkan. Sebaliknya, para pengundi khususnya pengundi baharu, diasak dengan sentimen perkauman dan persepsi.

82. Bak kata bidalan, panas setahun hujan sehari, segala bakti yang dicurahkan selama bertahun lamanya, hujan sehari menjadi banjir kilat menghanyutkan segala jasa yang ditaburkan.

83. Bayangkan pelapis-pelapis negara kita memulakan langkah politik (political journey) mereka, melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian. Perasaan benci dan prejudis yang melampau ditanam dalam pemikiran anak-anak muda kita, yang baharu sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi.

84. Sementara kita sedar akan perubahan sikap dan pemikiran pengundi baharu pada pilihan raya lepas, kita mesti bersedia mendepani satu lagi gelombang potensi pengundi baharu menjelang PRU Ke-16. Pelajar-pelajar yang kini berada di tingkatan dua, adalah merupakan mereka yang akan menjadi pengundi baharu. Diperkirakan wujudnya kohort 500 ribu, potensi pengundi baharu setiap tahun menjelang 2027.

85. Sudah tentu pemikiran mereka berbeza. Lensa politik mereka juga jauh lebih luas dan pelbagai. Soal-soal pembangunan bukan lagi pertimbangan. Penilaian tidak lagi bersandarkan rekod masa lampau. Landskap politik tahun-tahun mendatang, sudah tentu berubah dengan pantas.

86. Perubahan demografi dalam konteks penempatan, kini menyaksikan lebih 70 peratus pengundi berada di pinggir bandar (sub urban) dan bandar. Ia diiringi pula oleh pertambahan jumlah pengundi baharu daripada anak-anak kita yang kini dibangku sekolah. Perubahan demografi tempat dan umur ini, akan menjadi lebih mencabar, kerana ia turut melibatkan perubahan idea serta pemikiran. Kita tidak harus tenggelam dalam setiap anjakan landskap politik baharu ini.

87. Parti kita perlu berubah sesuai dengan kehendak semasa.

i. Pertama, kita perlu mampu menangkap imiginasi anak-anak muda ini. Kita perlu memahami pola fikir mereka. Pada masa kita ingin mendapatkan sokongan mereka, kita juga bertanggungjawab, mencorak anak-anak muda ini sebagai sumber penting potensi negara.

ii. Kedua, kita perlu mempunyai kemampuan untuk menseimbangkan politik pembangunan dan politik perkhidmatan. Dalam erti kata lain, kita mesti mampu mengimbangi the need of the nation versus interest of the citizen (kepentingan negara berbanding dengan kehendak individu atau kelompok masyarakat); dan

iii. Ketiga, kita mesti menggarap pemikiran serta idea baharu setiap peringkat parti, Wanita, Pemuda, Puteri, kelab-kelab UMNO, parti-parti sahabat dan pemikir-pemikir luar, bagi memastikan parti kita relevan dengan realiti politik semasa.

88. Saya yakin, dengan tekad kita untuk memperbaharui perjalanan parti pada masa hadapan, ada potensi untuk kita mendakap semula, sebahagian besar daripada 74 kerusi, yang terlepas daripada tangan kita sebelum ini.

Saudara saudari sekalian

89. Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak. Kedudukan Sabah dan Sarawak bukan lagi berstatus negeri sebaliknya Wilayah dalam Malaysia.

90. Sehubungan itu, Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, perlu dilaksanakan segera. Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya.

91. Tambahan pula dengan pemindahan ibukota Indonesia ke Kalimantan Timur, kedudukan Wilayah Sabah dan Sarawak, akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

92. Limpahan pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih pesat membangun. Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia.

93. UMNO berpendirian, Sabah dan Sarawak adalah rakan politik strategik. Dengan itu, apa pun bentuk kerajaan Malaysia pada masa sekarang dan masa hadapan, UMNO tetap memilih untuk bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan Malaysia.

Saudara saudari sekalian

94. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggunjawab, UMNO sependapat dengan pelbagai pandangan yang diberikan, agar soal tatakelola kerajaan mesti dijalankan dengan telus.

95. Kita juga mendengar desakan dan tuntutan agar forensic audit terhadap perjalanan kerajaan sebelum ini dilakukan. Ketirisan yang berlaku perlu ditampung segera. Punca ketirisan mesti disiasat. Agensi penguatkuasaan mesti mengambill tanggungjawab. Ini adalah harapan rakyat dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan harapan ini ditunaikan. Perkembangan muktakhir, menyaksikan berlakunya penahanan berhubung siasatan penyalahgunaan dana awam melebihi RM90 billion, adalah permulaan yang baik. Ia adalah isyarat yang jelas akan komitmen kerajaan untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab. Prihatin atau bersih, sama-sama kita tunggu. Apakah prihatinnya demi rakyat atau anak menantu? Bersihnya pula apakah kepada pulangan komisyen yang diperolehi. Sama-sama kita nantikan.

Saudara saudari sekalian

96. Bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan, saya titipkan harapan buat semua. Sesuai dengan perubahan sikap, pemikiran dan landskap politik negara, islah dan tajdid dalam gerakan politik kita perlu berterusan. Cara mana perubahan dan pembaharuan ini boleh dilaksanakan:

Pertama, memugar idea-idea baharu.;

Kedua, memastikan idealisme terus hidup kerana kematian idealisme akan menjerumuskan kita ke lembah penolakan terutamanya dari generasi muda; dan

Ketiga, perubahan dalaman jiwa dan minda setiap daripada kita. Perubahan ini melibatkan watak, sudut pandang, perilaku, nilai dan budaya kerja.

97. Perubahan dan pembaharuan ini, tidak datang dengan sendiri kerana ia datang bersyarat, sepertimana firman Ilahi dalam sebahagian ayat ke 11 surah Ar-Ra’d yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri

98. Dengan harapan itu, marilah kita bersama-sama terus mengorak langkah ke hadapan, kita wajahkan semula Malaysia sebagai sebuah negara yang بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur … negara yang mengumpulkan kebaikan alam dan kebaikan perilaku penduduknya. Atau lebih luas, sebuah negara yang mengumpulkan kebaikan dunia dan akhirat.

99. Mari kita gilap semangat dan idealisme perjuangan parti yang diharapkan rakyat. Daripada latar belakang kaum, kelas dan profesien yang pelbagai, mari kita jalin semangat setiakawan, dan kita bina parti ini dengan kekuatan yang satu.

100. Mari kita jayakan tata kelola politik baharu yang matang dan segar agar UMNO menjadi sebuah parti yang berdisiplin, cekap dan efisien dan harapan yang diberikan rakyat tidak disia-siakan.

Sekian, wabilahhi tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Facebook Comments

Berkaitan

Baca Juga

[VIDEO] Enam maut, lapan cedera van terbabas turun dari Genting Highlands – Bomba

Kemalangan tersebut berlaku pada 1:15 tengah hari semasa van yang dinaiki 14 orang itu sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162266

[VIDEO] Ada perkara tak ikut peraturan dalam perolehan vaksin, kata PM

“sebahagiannya tidak mengikuti peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara”. BACA selanjutnya di https://pakdin.my/162255

[VIDEO] Gempa 7.4 SR gegar Turkiye dan Syria

Wilayah Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis terjejas teruk akibat gempa itu. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162244

[VIDEO] SPRM siasat ‘sedekah’ ketika PRU15, jejaki 90 pengundi

Kami sedang mengenal pasti 90 individu di Terengganu yang dikatakan menerima pemberian wang untuk mengundi sebuah parti politik pada PRU15 BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162224/?amp=1

[VIDEO] Mahkamah Sepanyol tolak rayuan waris Sulu

Azalina berkata, keputusan mahkamah perlembagaan itu mengesahkan pembatalan Stampa sebagai penimbang tara. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162214/?amp=1

[VIDEO] PATI bina penempatan haram lengkap sekolah di Nilai

Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa orang PATI meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162197/?amp=1

Pembersihan UMNO: Tunggu sesi akan datang, kata Ahmad Zahid

Ketika diasak pemberita di Majlis Personaliti Quran di sini pada Isnin, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata: "Tunggulah, dalam sesi akan datang" BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162188/?amp=1

[VIDEO] Tindakan pantas guru selamatkan lebih 20 murid jatuh laut akibat jeti runtuh

Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu dan semua murid serta guru dilaporkan selamat. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162171/?amp=1

Tuntutan waris Kumpulan Sulu: Mahkamah Luxembourg tarik balik perintah sekatan

Azalina juga menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan negara. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162161/?amp=1

[VIDEO] Letupan Masjid di Peshawar, Pakistan: 46 maut, 150 cedera

Perdana Menteri Shebaz Sharif mengatakan letupan itu sebagai serangan bunuh diri. Terdapat sekurang-kurangnya 260 orang di masjid itu BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162150/?amp=1

Gopal Sri Ram, Pendakwa kes 1MDB juga menjadi pembela Firma Guaman yang disaman 1MDB – tidak ada konflik kepentingan?

Orang yang diupah oleh kerajaan untuk mendakwa mereka yang menimbulkan masalah kepada 1MDB juga adalah orang yang sama diupah oleh salah satu firma yang didakwa atas kelalaian sehingga menyebabkan berlaku masalah kepada 1MDB BACA seterusnya di:https://pakdin.my/162140

2 kali gagal singkir pendakwa raya, akhirnya tersingkir sendiri

Terdapat akuan bersumpah dari bekas TS Apandi Ali bahawa Sri Ram pernah datang ke rumah memberitahu bahawa Mahathir meminta beliau bantu untuk membuat tangkapan ke atas DSN. BACA seterusnya di: https://pakdin.my/162129