Sumbangan untuk membiayai portal ini:
Maybank:
158088200693 PayPal: [email protected]

Sumbangan untuk membiayai portal ini: Maybank: 158088200693 PayPal: [email protected]

[VIDEO] Ibu kandung & ‘tomboy’ mengaku tak bersalah aniaya kanak-kanak - pakdin.my

[VIDEO] Ibu kandung & ‘tomboy’ mengaku tak bersalah aniaya kanak-kanak - pakdin.my

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal bersama rakan serumahnya yang juga wanita berperwatakan lelaki, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, sejak bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan rakannya, Awiin Chua, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Kedua-dua tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi diiringi anggota polis, dilihat sentiasa mengalirkan air mata sehingga prosiding selesai.

Turut hadir ke mahkamah dan berada di galeri awam adalah abang kepada Nurul Asyiqin dan abang kepada Awiin yang datang dari Singapura.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung Nurul Asyiqin ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itudibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan tinggi sebanyak RM30,000 terhadap setiap tertuduh dengan beberapa syarat tambahan termasuk dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

“Tertuduh pertama (Nurul Asyiqin) adalah ibu kandung kepada mangsa yang mana dia telah mengambil kanak-kanak itu daripada jagaan datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah sebelum dibawa lari ke negeri ini, tetapi dalam penjagaannya dia gagal menjaga anaknya sehingga terdapat kecederaan fizikal serta diabaikan.

“Tertuduh kedua (Awiin) pula yang juga seorang warga Singapura tinggal serumah dengan tertuduh pertama yang mana walaupun tiada talian darah, tertuduh turut diberi tanggungjawab menjaga mangsa ketika di rumah.

“Kanak-kanak itu kini di hospital dan dijaga bapa saudaranya sementara menunggu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memutuskan hak penjagaan mangsa,” katanya.

Peguam, Abd Rahim Ali, yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih ringan memandangkan kedua-dua wanita itu masih belum didapati bersalah.

Beliau turut membantah kenyataan pendakwaan yang menyatakan tertuduh pertama membawa lari mangsa, sedangkan tempat seorang anak sepatutnya adalah bersama ibu.

“Tiada risiko tertuduh pertama akan mengganggu mangsa kerana hak penjagaan akan ditentukan JKM dan dia juga tidak berisiko melarikan diri kerana kini tidak bekerja sejak dua bulan lalu, dia juga tiada pasport dan mempunyai seorang lagi anak berusia sembilan tahun.

“Bagi tertuduh kedua pula dia masih bekerja di Singapura, tetapi menetap di Pasir Gudang dan mempunyai pasport serta permit yang sah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Asyiqin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki, itu dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Fatimah turut menetapkan syarat tambahan jamin iaitu kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

Berkaitan

Mesti baca