🎦 Analisis: Masa depan politik Muhyiddin Yassin diragui ekoran krisis dalam parti Bersatu - pakdin.my

Bekas perdana menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin kini berhadapan pemberontakan secara senyap-senyap melibatkan beberapa ahli parlimen parti Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terbuka kepada kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pemberontakan politik dikatakan sedang berlaku dalam parti pembangkang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menandakan masalah serius yang dihadapi presiden parti, yang juga bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Empat Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menandakan perpecahan dalam Bersatu, sedang parti itu sendiri berhadapan dengan ketegangan melibatkan pucuk pimpinannya.

Pada mesyuarat kepimpinan tergempar pada Khamis (9 Nov), Muhyiddin dilaporkan menyalahkan krisis itu kepada pihak tidak dikenali yang berniat untuk melemahkan Bersatu, dengan  mendakwa dorongan kewangan telah ditawarkan kepada wakil parlimen Bersatu untuk bertukar taat setia.

Beliau menambah Bersatu akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Perkembangan dalam Bersatu, sebuah entiti politik ultra-nasionalis Islam-Melayu itu, kini diperhatikan dengan teliti kerana peranan utamannya dalam kemelut politik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun ia hanya memiliki jumlah kerusi yang sederhana di Parlimen.

Bersatu dan sekutu utamanya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berhaluan kanan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), memainkan peranan utama dalam mempromosikan jenama populisme melibatkan agama dan kaum. Jenama itu yang juga sering disebut  sebagai “ gelombang hijau” mencetuskan keresahan dalam kalangan pemerhati politik, baik di dalam dan di luar Malaysia.

Apa yang akan berlaku seterusnya susulan kepada krisis dalam Bersatu pada minggu-minggu mendatang bakal membentuk politik Malaysia dalam baki mandat PM Anwar sebelum satu lagi pilihan raya umum pada pertengahan 2027.

“Bersatu sentiasa bergantung kepada PAS dan kini krisis dalamannya menunjukkan parti itu (Bersatu) adalah sebuah wadah (politik) yang berongga,” kata Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ketua pegawai eksekutif Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan, Malaysia.

PERJALANAN BERSATU

Bersatu diasaskan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin pada 2016 selepas kedua-dua ahli politik itu meninggalkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana perselisihan mereka yang mendalam dengan Najib Razak.

Bersatu kemudian memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 2018, dan seterusnya memegang jawatan-jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru.

Dr. Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 bulan, sebelum Muhyiddin mengambil alih kuasa perdana menteri dengan mengetuai sekumpulan anggota Bersatu untuk membentuk kerajaan gabungan baharu dengan puak-puak dalam UMNO dan PAS.

Walaupun terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri selepas 17 bulan, sebagai pemimpin Bersatu Muhyiddin kekal memainkan peranan utama dalam kerajaan sehingga pilihan raya umum pada November 2022 – yang akhirnya membuka jalan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Bersatu kini mempunyai 27 ahli parlimen dalam dewan rakyat yang mempunyai 222 anggota dan pucuk pimpinannya sejauh ini  enggan memecat mana-mana ahli parlimen yang memberontak. Ini kerana kebimbangan bahawa langkah itu boleh menyebabkan lebih ramai wakil rakyat memilih untuk memberikan sokongan mereka kepada kerajaan Anwar.

Keempat-empat wakil rakyat Bersatu itu telah meminta agar mereka diberikan tempat duduk di sebelah penyokong kerajaan, menunjukkan bahawa mereka berhasrat untuk berpisah daripada pembangkang.

Perpecahan terbaru dalam barisan pimpinan Bersatu itu  mencerminkan kegelisahan yang semakin meningkat dalam parti berkenaan, yang kini kehilangan sumber pembiayaan politik. Ia berlaku selepas akaunnya dibekukan oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan salah guna kuasa semasa parti itu dalam kerajaan, disamping adanya kebimbangan terhadap masa depan kepimpinan parti.

Beberapa sumber dalaman Bersatu mengakui bahawa Muhyiddin dan timbalannya, Hamzah Zainuddin, yang kini mengetuai pihak pembangkang di Parlimen, tidak sehaluan dalam banyak isu.

Hamzah, yang berminat untuk mengambil alih kepimpinan Bersatu, dikatakan tidak mempunyai sokongan meluas dalam parti. – ChannelNewsAsia

Masalah yang dihadapi Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu membantu PM Anwar mengukuhkan kedudukan politiknya.

Janngan lupa subscribe

UTAMAPOLITIK🎦 Analisis: Masa depan politik Muhyiddin Yassin diragui ekoran krisis dalam parti...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium