PRK KKB: Tindakan Ramasamy ajak pengundi KKB tolak PH hanya bersifat dendam - pakdin.my

“Dia bebas nak cakap apa tapi kalau kita ikut cakap dia, kita pun akan jadi sesat

HULU SELANGOR — Tindakan Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P. Ramasamy yang meminta pengundi terutama masyarakat India supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) hanyalah bertujuan untuk membalas dendam kepada DAP dan PH.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata tindakan politik tanpa hala tuju itu dipercayai dibuat selepas namanya digugurkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lepas.

“Suruh pengundi tak undi calon Kerajaan Perpaduan (Pang Sock Tao) tetapi dia ada beri alternatif untuk undi siapa? Dia sendiri pun tak tahu dan tak ada alternatif. Dia kena ingat mengundi itu (adalah) hak warganegara dan kita yakin mereka (pengundi) bijak menilai.

“Dia bebas nak cakap apa tapi kalau kita ikut cakap dia, kita pun akan jadi sesat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan aktiviti kempen bersama Pang yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata tindakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kempen Pang sebaliknya bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendapat respons yang baik setiap kali turun berkempen bertemu penduduk sekitar.

“Parti dalam Kerajaan Perpaduan juga membantu dan memberikan sokongan penuh, malah kita juga akan mula melakukan ceramah mega perdana dengan menampilkan nama-nama besar pimpinan dalam parti Kerajaan Perpaduan bermula Jumaat ini,” katanya.

Pada Ahad lepas (28 April), media melaporkan Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang telah memulakan kempen dengan meminta pengundi di KKB menolak PH.

Dalam pada itu, Loke berkata PH hanya akan berkempen secara matang dengan mempromosikan calon berdasarkan fakta serta kemampuannya tanpa menjatuhkan maruah pencabar lain.

“Contohnya isu kelayakan akademik calon (Perikatan Nasional), bukan kita yang mulakan, netizen yang tanya menerusi media sosial dakwa kelayakan tidak sah, tetapi mereka cuba alih perhatian ramai dengan serang dan tanya kelulusan pendidikan calon kita pula dan kita jawab dengan fakta,” katanya.

Pada PRK berkenaan, Pang ditentang oleh tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

BACA juga:

UTAMAPILIHAN RAYAPRK KKB: Tindakan Ramasamy ajak pengundi KKB tolak PH hanya bersifat dendam

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium