Serangan Buaya Sungai Saribas – Isteri Harap Temui Jasad Suami - pakdin.my

BERDOA : Isteri Drahman, Latifah Nen, 53, dan anak lelakinya menanti di tebing Sungai Saribas.

BELADIN: Isteri penebang rumbia yang menjadi keganasan buaya di Sungai Saribas di sini, kelmarin reda dengan nasib malang yang menimpa keluarganya, namun berharap jasad suaminya dijumpai dalam keadaan sempurna untuk dikebumikan.

Semalam, selepas 24 jam suaminya hilang dibahan buaya di sungai berkenaan, Latifah Nen, 53, tetap berdoa semoga jasad suaminya, Derahman Chali, 55, dari Kampung Hulu di sini, dijumpai.

“Walau apa keadaan sekali pun, saya menerima kejadian ini sebagai takdir, tetapi amat berharap jasad suami saya akan ditemui,” kata ibu kepada enam anak itu.

Namun, Latifah berkata jauh di sudut hatinya tersimpan perasaan terkilan kerana suaminya tidak sempat menikmati bekalan mi segera dan kuih yang dibekalnya ke tempat kerja.

“Sebelum turun ke tempat kerja kira-kira jam 7 pagi semalam (kelmarin), suami saya cuma sempat meneguk air kopi yang disediakan dan membawa bekal mi segera dan kuih.

“Dia pergi menebang rumbia dan mengikatnya di sungai sebelum dibawa ke kilang dan saya dimaklumkan dia disambar buaya ketika mahu membasuh tangan untuk makan bekalan yang dibawa itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurut Latifah, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10 pagi oleh rakan suaminya, Mohd Noor Bujang, 51, yang menyaksikan kejadian.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Norasiah, 24, berkata dua hari sebelum kejadian, dia berasa pelik apabila melihat ayahnya asyik termenung dan tidak mahu bermain dengan cucu tunggalnya seperti kebiasaan.

“Sebelum ini, ayah suka bermain dengan anak saya, Nuraina Nadirah yang baru berusia setahun empat bulan. Sejak dua hari lalu, dia banyak termenung dan tidak banyak bercakap.

“Ketika makan pun dia termenung. Kami tak sangka rupanya akan ada bencana menimpa ayah,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Derahman yang berpendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari upah menebang rumbia, cuma bekerja pada musim tertentu antara dua ke tiga minggu sebulan untuk menyara isteri dan enam anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun.

Dua daripada anaknya sudah bekerja, melakukan kerja kampung, berikutan mereka tidak bersekolah tinggi dan keciciran dalam pelajaran.

Manakala hanya anak bongsunya, Mohd Kushairy, 7, yang masih bersekolah di Tahun Satu. Sementara itu, Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong, Fakrulrani Ahmad Anuar berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan bagi pertimbangan menyalurkan bantuan. Katanya, jika memenuhi semua kelayakan ditetapkan dan ada pengesahan pihak berwajib, keluarga mangsa boleh menerima bantuan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) maksimum RM20,000.

UTAMABERITASerangan Buaya Sungai Saribas - Isteri Harap Temui Jasad Suami

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium