Ketua Audit: Pengurusan kewangan Sabah cemerlang - pakdin.my

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang

KOTA KINABALU  – Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merupakan antara negeri yang mempunyai rekod pengurusan kewangan yang cemerlang, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini.

Katanya, pengurusan kewangan negeri semakin meningkat sejak beberapa tahun lepas berikutan kepekaan jabatan dan agensi kerajaan negeri terhadap tuntutan dasar tadbir urus kewangan.

“Sabah membuktikan kecemerlangan dalam pengurusan kewangan… tidak mustahil (dicapai) jika serius melaksanakannya.”

“Sudah tentu kejayaan Sabah ini mampu menjadi contoh atau penanda aras kepada jabatan dan agensi kerajaan yang lain,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Pengurusan Kewangan Cemerlang Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara 2011 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri.

Beliau berkata Sabah turut mengekalkan sijil tanpa teguran bagi penyerahan penyata kewangan tepat pada masa selama 12 tahun berturut-turut.

Ambrin turut menasihatkan penjawat awam negeri mempertingkatkan budaya kerja dengan melaksanakan dan memantau projek kerajaan negeri dengan baik dan teliti.

“Kita mesti pastikan pelaksanaan projek berbaloi dengan kewangan yang dilaburkan dan memberi kesan bermanfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Pada majlis itu, sebanyak enam jabatan dan agensi negeri mendapat penarafan empat bintang iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Jabatan Bendahari Negeri, Jabatan Cetak Kerajaan, Lembaga Bandaran Kudat dan Koperasi Pembangunan Desa.

Menurut Ambrin, jumlah jabatan dan agensi negeri ini yang mendapat penarafan bintang tertinggi itu meningkat tahun lepas berbanding tiga jabatan dan agensi pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, 106 jabatan dan agensi negeri diaudit pada tahun lepas dan menunjukkan pengurusan kewangan masing-masing berada pada tahap baik.

UTAMABERITAKetua Audit: Pengurusan kewangan Sabah cemerlang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium