NASIONALAMEnam Pembesar Adat Utama Negeri Sembilan panggil sidang khas DKU bincang kemelut...

Enam Pembesar Adat Utama Negeri Sembilan panggil sidang khas DKU bincang kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat

Mereka menegaskan bahawa permintaan ini merupakan kehendak majoriti ahli DKU

Enam pembesar adat utama Negeri Sembilan telah menghantar notis rasmi kepada Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin, memohon supaya satu sidang khas diadakan bagi membincangkan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat negeri itu.

Menurut surat bertarikh 21 Mei 2026, sidang khas tersebut dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 29 Mei 2026, jam 9.00 pagi di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.

Pembesar adat yang menandatangani notis berkenaan ialah:

– Undang Luak Sungai Ujong, Yang Teramat Mulia Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak Dohak;
– Undang Luak Jelebu, Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirzaman Dato’ Maarof Mat Rashad;
– Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed Abdullah;
– Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim Yasin;
– Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan
– Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, Yang Amat Mulia Dato’ Seri Utama Haji Badarudin Abdul Khalid.

Mereka menegaskan bahawa permintaan ini merupakan kehendak majoriti ahli DKU sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam surat yang sama, rujukan dibuat kepada Perkara 16(1) dan 16(3) yang memberi kuasa kepada DKU untuk membincangkan sebarang persoalan berkaitan adat istiadat serta kewajipan mengikut perlembagaan negeri. Turut disebut ialah Perkara 22(1) dan 22(2) berhubung penyediaan draf peringatan mesyuarat bagi sidang DKU pada 4 Julai 2025, 5 Mac 2026 dan 17 April 2026, serta Perkara 24 sebagai asas memanggil semua ahli DKU menghadiri sidang khas tersebut.

Surat itu juga meminta Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara hadir sebagai pemerhati bebas.

Agenda sidang khas ini adalah untuk membincangkan isu-isu berkaitan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat yang didakwa semakin meruncing di Negeri Sembilan.

Difahamkan, salinan surat tersebut turut dihantar kepada beberapa pihak termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Negeri Sembilan dan Ketua Polis Negeri Sembilan.

 

FOKUS

Zara Qairina

Berkaitan

[VIDEO] 森美兰州选举:国阵发布9大核心竞选宣言,聚焦经济与人民

Terkini:

Mengenai kami