Manifesto Pembangkang Basi – Abang Johari - pakdin.my

ABG-JOHARIKUCHING — Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dibentangkan oleh pembangkang semalam adalah perkara basi dan jelas menggambarkan kecelaruan dalam pakatan mereka, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Menurutnya kandungan manifesto berkenaan seolah-olah dikitar semula daripada agenda Buku Jingga yang dibentangkan oleh pakatan pembangkang sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama pengusaha-pengusaha industri pelancongan di sini, beliau berkata selain gagal memperkenalkan sesuatu yang baharu, pakatan pembangkang ini juga gagal menjelaskan tentang kepimpinan mereka sekiranya mereka dapat membentuk kerajaan.

“Mereka masih bercelaru (tentang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika dapat menubuhkan kerajaan).

“Sekejap mereka katakan (pemimpin pembangkang, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Kemudian orang lain. Bagi mereka, sesiapa sahaja (di kalangan mereka) boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Sarawak mengulas manifesto pakatan pembangkang yang antara lain menjanjikan usaha memerangi rasuah, penurunan harga minyak dan pendidikan percuma.

Di KUALA PILAH, Pengerusi RISDA Tan Sri Dr.Abd Rahim Tamby Chik menyifatkan manifesto pilihan raya pakatan pembangkang itu bukan sesuatu yang luar biasa untuk rakyat terpikat dengannya.

“Kita mempunyai satu sejarah pembangkang di negara kita yang tidak boleh dijadikan asas untuk rakyat memberi kepercayaan kepada janji-janji pembangkang ini.

“Sebagai contoh, di negeri Selangor, banyak janji-janji manifesto yang dibuat dalam tahun 2008 masih lagi tidak dapat disempurnakan.

“Misalnya bantuan kepada warga emas, anak-anak yang bersekolah, kepada ibu tunggal, bantuan air percuma dan macam-macam janji yang telah dibuat tapi tidak dapat ditunaikan,” katanya kepada pemberita.

Rahim ditemui selepas pelancaran Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks 2013 peringkat Kuala Pilah di Kampung Eyor, Air Mawang, oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek.

Rahim berkata berlainan dengan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat tegas dan berani ke depan di mana setiap janji disempurnakan.

“Maka itu, slogan BN ‘Janji Ditepati’ bukan omong kosong atau retorik tetapi satu rekod yang telah pun dibuktikan.

“Oleh itu, saya berharap rakyat tidak akan terpikat dan tertipu dengan janji-janji baharu yang dibuat kerana peristiwa yang sama akan diulang oleh parti pembangkang,” katanya.

Mengulas hasrat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk bertanding di kawasan Parlimen pada PRU13, Rahim berkata beliau menyokong hasrat Mohd Ali itu, bagaimanapun keputusan akhir terletak di tangan Perdana Menteri.

“Kita telah berikrar di dalam Umno misalnya memberikan budibicara dan kuasa yang penuh kepada presiden parti untuk memilih sesiapa sahaja yang dianggap ‘winnable candidate’ untuk menerajui pilihan raya kali ini termasuk di negeri Melaka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata manifesto pakatan pembangkang hanya merupakan janji yang tidak mampu dilaksanakan sama seperti janji dilontarkan mereka pada PRU ke-12.

Beliau berkata, persoalan sekarang ialah bagaimana pakatan pembangkang akan memperolehi sumber kewangan untuk membayar syarikat konsesi tol dan lain-lain.

Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata pendapatan negara adalah sekitar RM200 bilion, dan kos-kos untuk menampung penghapusan tol, pendidikan percuma, kenaikan gaji dan lain-lain janji pembangkang pasti akan melebihi jumlah RM200 bilion dan ia memang sebuah manifesto yang tidak realistik.

“Manifesto pembangkang ini adalah sesuatu yang tidak logik, dan antara langkah yang mungkin diambil pembangkang sekiranya menang pada PRU ke-13 adalah menaikkan cukai pendapatan, ini sudah pasti membebankan rakyat kelak.

“Menerusi langkah menaikkan cukai pendapatan ini akan dapat menampung kos pembayaran kepada syarikat konsesi tol, pendidikan percuma dan pelbagai janji lain yang ditawarkan mereka dalam manifesto mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Orang Asli Kampung Ulu Pareh di Bentong, Pahang.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai Datuk D. Davendran, Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ulu Pareh Ebrahim Sihat, Ketua Kampung Ulu Pereh Batin Dupon dan Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting Malaysia Bhd (Genting Bhd) Datuk Anthony Yeo.

Pada majilis itu, Liow menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada 110 orang penduduk Kampung Ulu Pereh.

UTAMABERITASARAWAKManifesto Pembangkang Basi - Abang Johari

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium