Pelaburan asing: Azmin tipu diri sendiri mengenai darurat - pakdin.my

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membidas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali bahawa keyakinan pelabur asing tidak terjejas dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan pandemik Covid-19 dan pengisytiharan darurat yang menggantung sidang Parlimen.

“Azmin menipu diri sendiri bahawa keyakinan pelabur asing tidak terjejas dengan salah urus pandemik Covid-19 oleh kerajaan PN dan perintah darurat yang menggantung Parlimen. Ini bukan kali pertama Azmin melakukan pembohongan seperti itu.

“Dan sekarang Azmin membuat dakwaan yang tidak bertanggungjawab bahawa keyakinan pelabur tidak terjejas seperti yang terbukti ketika perintah darurat sebelum ini dilaksanakan di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ketika itu pembangkang menyokong perintah darurat untuk mengelakkan pilihan raya kecil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata darurat yang berkuat kuasa 12 Jan lalu bukan untuk mencegah pilihan raya umum atau negeri sebaliknya untuk menggantung Parlimen bagi melindungi kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin yang ketika ini jelas kehilangan majoriti di Parlimen.

“Salah satu sebab utama penurunan penarafan kredit negara Malaysia oleh Fitch Ratings adalah ketidakstabilan politik, dan ketika itu Muhyiddin masih mengekalkan majoriti Parlimen yang tipis.

“Tidak ada alasan untuk pelabur tidak terkesan dengan ketidakstabilan politik kronik seperti itu selepas Muhyiddin hilang majoriti Parlimen dengan hanya 109 Ahli Parlimen menyokongnya daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen,” katanya.

Katanya, peningkatan kadar pengangguran yang menokok sehingga 4.8% pada Nov 2020, dan kemelesetan ekonomi semasa tidak mampu meningkatkan keyakinan pelabur.

“Bolehkah Azmin jawab bahawa tanpa bantuan kewangan tambahan daripada kerajaan PN pada masa depan, bagaimana darurat dapat membantu menghentikan tindakan pemberhentian pekerja, penutupan perniagaan dan kehilangan mata pencarian ekonomi rakyat?” soalnya.

UTAMAPOLITIKPelaburan asing: Azmin tipu diri sendiri mengenai darurat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium