Semangat juang Khairul Anuar tak pernah luntur #LahadDatu - pakdin.my

Khairul Anuar Isa 3

Seorang anggota tentera yang cedera ditembak kumpulan pengganas Kiram dalam pertempuran di Kampung Sungai Nyamuk, Lahad Datu pada Mac lalu memberitahu, semangatnya untuk mempertahankan negara tidak pernah luntur walaupun melalui pengalaman yang hampir meragut nyawanya.

Malah kata Koperal Khairul Anuar Md. Isa, 35, yang cedera di pipi akibat terkena tembakan pengganas, beliau tidak sabar untuk kembali bertugas di Kem Kukusan Tawau, Sabah, sebaik sahaja pulih.

“Saya anggap apa yang berlaku ini adalah satu rahmat dan ujian namun kecederaan ini tidak melunturkan semangat saya untuk bersama dengan pasukan keselamatan bagi terus mempertahankan negara.

“Saya akan kembali bertugas dan berkhidmat kepada negara sehingga ke titisan darah terakhir,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Panglima Markas Divisyen Kedua Infantri, Mejar Jeneral Datuk Azizan Md. Delin dan Panglima Briged Keenam Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat di rumahnya di Kampung Bukit Raya di sini hari ini.

Khairul Anuar Isa

Mengimbas kembali pertempuran pada pagi 12 Mac itu, kata Khairul yang berkhidmat selama 13 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau terkena tembakan ketika melakukan operasi pembersihan di kawasan tersebut.

“Ketika itu saya bersama pasukan lain sedang mengawasi pergerakan musuh sebelum satu tembakan tiba-tiba mengenai pipi kiri yang mengakibatkan rahang saya patah dan terpaksa dibedah.

“Saya mengalami pendarahan yang banyak namun bersyukur kerana terselamat. Saya kini terpaksa menjalani rawatan susulan di Kuala Lumpur sehingga betul-betul sembuh,” katanya yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Zuraidah Zainol, 35.

Beliau pada masa yang sama berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan selain menghulurkan sumbangan bagi membantu keluarga anggota pasukan keselamatan.

Khairul Anuar Isa 2

Dalam pada itu menurut Azizan, semangat juang pasukan tersebut sentiasa membara untuk menentang musuh walaupun ada dalam kalangan mereka yang terkorban dan tercedera ketika pertempuran.

“Selain itu kebajikan anggota keselamatan termasuk balu dan anak- anak kepada wira kita yang terkorban akan terus dijaga dan dibela oleh kerajaan.

“Pelbagai sumbangan akan disalurkan sebagai menghargai jasa mereka yang berjuang mempertahankan negara di Lahad Datu,” katanya.

Sempena lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan RM6,000 yang disalurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada Khairul Anuar.

UTAMABERITASemangat juang Khairul Anuar tak pernah luntur #LahadDatu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium