MP Tidak Boleh Sertai Sidang Dewan Rakyat Jika Tidak Angkat Sumpah – Speaker - pakdin.my

Kesemua 222 anggota parlimen mesti mengangkat sumpah jawatan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke-13, yang akan bermula 24 Jun ini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata jika ada yang tidak berbuat demikian tanpa sebab kukuh, mereka akan dihalang daripada menyertai persidangan Dewan Rakyat, justeru menjadikan mereka ‘strangers of the House’.

Beliau menjelaskan mengenai Peraturan Mesyuarat Nombor 1 yang menyatakan anggota-anggota parlimen perlu mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan bagi satu penggal baharu itu setelah memilih seorang yang dipertua Dewan Rakyat.

“Jika anda tidak (berbuat demikian), anda memperolokkan peraturan anda sendiri sebagai wakil rakyat, mempersendakan Parlimen, undang-undang dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat bagi anggota parlimen, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai rancangan anggota-anggota parlimen pembangkang untuk tidak mengangkat sumpah jawatan pada hari berkenaan sebagai tanda memboikot keputusan pilihan raya umum 5 Mei lepas.

Mengulas lanjut, Pandikar berkata mereka yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan daripada hari pertama persidangan Dewan Rakyat juga akan lucut jawatan sebagai anggota parlimen secara automatik.

Sebanyak 111 anggota parlimen menghadiri taklimat hari ini termasuk seorang anggota parlimen pembangkang Er Teck Hwa (DAP-Bakri).

Ditanya mengenai ketidakhadiran anggota parlimen pembangkang yang lain, Pandikar berkata kemungkinan mereka mempunyai hal lebih penting kerana kehadiran pada taklimat itu tidak diwajibkan.

Menyentuh mengenai urusan persidangan Dewan Rakyat, Pandikar berkata Parlimen akan memperkenalkan e-Risalat dalam semua urusan mesyuarat mulai penggal ini.

Dengan ini semua penyata rasmi mesyuarat, risalat termasuk Laporan Tahunan Badan-badan Berkanun dan agensi-agensi kerajaan akan diedarkan kepada semua anggota Parlimen dalam bentuk cakera padat (CD) dan boleh dimuat turun di laman web rasmi Parlimen, katanya.

Terdahulu dalam taklimatnya, Pandikar menasihatkan anggota parlimen supaya sentiasa menjaga tatasusila dan kesopanan ketika menyuarakan pandangan atau semasa berbahas pada persidangan.

“Walaupun pilihan raya umum dan tempoh berkempen telah berakhir, tetapi suhu politik di negara kita adalah tinggi. Malah, tiada tanda-tanda bahawa ianya akan sedikit reda. Banyak isu dan permasalah rakyat telah dibangkit dan dibincangkan melalui pelbagai saluran maklumat.

“Memandangkan perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat sering menjadi fokus perbincangan rakyat di seluruh negara, anggota parlimen perlu sentiasa memelihara nilai-nilai sedemikian ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab di Parlimen,” katanya.

Pandikar berkata Parlimen juga telah memohon kepada kerajaan untuk menilai, menyemak dan mengkaji semula kadar saraan bagi anggota parlimen memandangkan kali terakhir semakan saraan dilakukan ialah pada 2004.

Pada majlis itu, Pandikar turut melancarkan e-Buku Profil Parlimen Malaysia yang diterbitkan dalam bentuk CD untuk kegunaan anggota parlimen, yang menerangkan perkara yang berkaitan dengan Parlimen termasuk fungsi, tugas serta kemudahan yang boleh didapati dan digunakan di bangunan Parlimen itu.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah memberi taklimat mengenai prosedur dan perjalanan sidang Dewan Rakyat, dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Lamien Sawiyo menyampaikan taklimat mengenai kemudahan-kemudahan yang terdapat di bangunan Perlimen.

parlimen-malaysia

UTAMABERITAMP Tidak Boleh Sertai Sidang Dewan Rakyat Jika Tidak Angkat Sumpah -...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium