Lokasi pelancongan bersempadan Malaysia diserang - pakdin.my

Tiada warga Malaysia mangsa letupan bom selang sejam

Keadaan di bahagian belakang Oliver Hotel yang terletak di Jalan Thanon Tanrattanakorn 1, di Danok, Selatan Thailand
Keadaan di bahagian belakang Oliver Hotel yang terletak di Jalan Thanon Tanrattanakorn 1, di Danok, Selatan Thailand

Seramai 24 cedera dalam letupan bom di tiga lokasi berasingan di Selatan Thailand yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis semalam.

Kebanyakan mangsa terkena serpihan dalam letupan yang menggegarkan lokasi tumpuan pelancong di pekan Dannok, sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah, kira-kira jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (1.45 petang waktu Malaysia).

Dalam kejadian itu, bom buatan sendiri dikatakan diletakkan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dan meletup berhampiran Hotel Oliver, di Tanrattanakorn Road.

 Terdahulu, bom diletupkan pada motosikal yang mensasarkan Balai Polis Padang Besar di Pekan Siam, kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia), disusuli letupan di perkarangan Balai Polis Sadao, sejam kemudian.

Selatan Thailand sering bergolak dengan serangan bom dan serangan bersenjata yang menyebabkan lebih 5,000 kematian dan 9,000 cedera di tiga wilayah majoriti penduduk Islam, iaitu Yala, Pattani, Narathiwat serta empat daerah di Songkhla. Kejadian semalam adalah yang terbaru berlaku di Songkhla dan Padang Besar.

Konsul Malaysia di Songkhla, Mohd Rozaimy Haron mengesahkan tiada warga Malaysia terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kita pada awalnya menerima maklumat dua mangsa Malaysia antara lebih 20 yang cedera dalam letupan sekitar Hotel Oliver. Bagaimanapun, selepas disiasat dua mangsa berkenaan sebenarnya warga Myanmar,” katanya.
Tinjauan BH mendapati bahagian bawah Hotel Oliver yang menempatkan kedai makan musnah teruk dengan cermin berselerakan, manakala beberapa premis salun serta spa sekitarnya terbakar dan mengalami kerosakan.

Turut rosak dan musnah sekurang-kurangnya tiga kenderaan yang ditinggalkan di kawasan letupan, selain beberapa gerai makan milik penjaja di perkarangan sebuah kelab hiburan bersebelahan.

Sumber Polis Diraja Thailand (RTP) ketika dihubungi berkata mangsa yang tercedera berada sekitar Hotel Oliver dengan majoritinya sedang menjamu selera di gerai makan dan restoran berdekatan.

Bom buatan sendiri

Pihaknya percaya letupan di pekan Dannok berpunca daripada bom buatan sendiri secara kawalan jauh menggunakan telefon bimbit.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku di kedua-dua lokasi terbabit, namun beberapa motosikal sekitar perkarangan Balai Polis Sadao banyak yang rosak atau musnah,” katanya.

Gabenor Songkhla, Grisada Boonrach, ketika ditemui menyelar kejadian itu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana mensasarkan orang awam sehingga menyebabkan ramai tercedera.

“Kami percaya insiden ini dilakukan pihak yang tidak berpuas hati dengan beberapa perkara tertentu dan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, meminta rakyat Malaysia mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati jika mempunyai urusan di kawasan berkenaan.

“Keadaan terkawal tetapi langkah keselamatan dan pencegahan perlu diambil, termasuk memperketatkan di pintu masuk sempadan. Polis sedang memantau perkembangan semasa,” katanya.

UTAMADUNIALokasi pelancongan bersempadan Malaysia diserang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium