UtamaNASIONALKenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan...

Kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Mengenai #MH370 18/03/14 - pakdin.my

MH370-Hishamuddin-Koridor-Carian

Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, di Sepang, Selangor, Selasa:

Kenyataan pengenalan

Semalam (17 Mac), saya nyatakan bahawa operasi mencari MH370 telah memasuki fasa baharu, yang turut membawa cabaran-cabaran baharu dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.

Hari ini (18 Mac), saya akan memberikan anda perkembangan terkini mengenai aspek logistik dan diplomatik dalam operasi mencari itu.

Operasi mencari dan menyelamat telah memasuki dimensi baharu peringkat antarabangsa. Pencarian masih diselaraskan oleh Malaysia, tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan juga di sektor yang telah dipersetujui bagi operasi mencari. Rakan sejawat saya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan kenyataan lebih terperinci mengenai usaha diplomatik kami pada masa ini.

Daripada segi logistik, dalam tempoh 24 jam lepas kami telah bekerja keras dengan negara-negara lain untuk menjuruskan pencarian di koridor-koridor. Kami memfokuskan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pengawasan satelit, analisis data daripada pengawasan radar, menambah aset udara dan permukaan, dan menambah jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Mengenai pengawasan satelit, saya tidak boleh dedahkan siapa memiliki keupayaan satelit, tetapi saya dapat sahkan bahawa kami telah menghubungi setiap negara relevan yang mempunyai akses kepada data satelit.

Mengenai analisis data radar, di koridor selatan, Australia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengetuai di bahagian masing-masing dalam pencarian di koridor.

Di koridor utara, China dan Kazakhstan telah bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir kesemua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya, termasuk aset dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam. Kami juga meminta rakan antarabangsa yang telah membantu kami untuk meneliti semua data pada radar primer mereka.

1. Perkembangan terkini operasi

Di koridor utara, kami telah membahagikan kawasan pencarian kepada tujuh kuadran. Setiap daripada tujuh kuadran itu adalah 400 batu nautika darab 400 batu nautikal – atau 160,000 batu nautika persegi secara keseluruhannya.

Kami juga membahagikan koridor selatan kepada tujuh kuadran. Sama seperti di utara, setiap kuadran meliputi kawasan 160,000 batu nautika persegi.

Keseluruhan kawasan pencarian kini adalah 2.24 juta batu nautika persegi.

Ini adalah kawasan pencarian yang amat luas. Dan ia sesuatu yang Malaysia tidak mampu lakukan secara bersendirian. Saya dengan ini amat berbesar hati bahawa terdapat begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan terhadap operasi mencari dan menyelamat ini.

Daripada segi penghantaran aset-aset spesifik:

Hari ini (18 Mac), Tentera Laut Diraja Malaysia menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan. Penghantaran ini termasuk sebuah helikopter Super Lynx, yang boleh beroperasi daripada mana-mana dua kapal itu. Ini menjadikan jumlah kapal Malaysia dihantar ke koridor selatan kepada empat buah, dengan dua helikopter Super Lynx.

Hari ini (18 Mac) Malaysia turut menghantar dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia dalam pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain turut menyumbang dengan aset-aset berikut:

Amerika Syarikat menghantar sebuah P-8 Poseidon, dan akan menghantar sebuah pesawat P-3 Orion.

Australia, sepertimana saya sebut semalam, telah menghantar tiga P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

New Zealand menghantar sebuah P-3 Orion untuk membantu usaha pencarian oleh Australia.

Republik Korea menjanjikan sebuah P-3 Orion dan sebuah C-130 Hercules.

Jepun, menjanjikan dua P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream.

UAE menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8.

Aset dari Korea, Jepun, dan UAE kini berada di Malaysia dan sedang menunggu arahan daripada kerajaan masing-masing.

Selain menghantar aset-asetnya ke koridor utara, China juga membuat perjanjian dengan Australia untuk menghantar sebuah pesawat ke koridor selatan.

2. ACARS (Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat)

Saya ingin menjelaskan mengenai apa telah diperkatakan mengenai ACARS dan turutan kejadian sebelum pesawat berpatah balik.

Pada Sabtu, kami menyatakan bahawa – dan saya petik: “Berdasarkan maklumat baharu daripada satelit, kami boleh katakan dengan kepastian tahap tinggi bahawa Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Tidak lama selepas itu, dekat sempadan antara kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.”

Dapatan ini dirumuskan secara bersama dengan wakil-wakil pasukan penyiasat utama antarabangsa, berdasarkan maklumat diperoleh pada waktu itu.

Semalam (17 Mac) , Malaysia Airlines menjelaskan bahawa kami tidak dapat tentukan secara tepat bila ACARS dimatikan, hanya bahawa ia berlaku dalam tempoh waktu spesifik: dari 01:07 – anggaran ketika pesawat itu sampai ke pantai timur Semenanjung Malaysia, dan transmisi terakhir ACARS berlaku – hingga 01:37, iaitu masa pelaporan seterusnya dijadualkan. Ini sebenarnya yang berlaku.

Ini tidak mengubah kepercayaan kami, seperti dinyatakan, bahawa sehingga ke titik ia keluar daripada liputan radar primer tentera, pergerakan pesawat itu adalah konsisten dengan tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat itu. Ini menjadi tumpuan pasukan penyiasat.

Adalah juga penting untuk ditegaskan bahawa masa tepat ACARS dimatikan tidak memberikan tekanan kepada operasi mencari dan menyelamat. Kami tahu bahawa kedudukan terakhir pesawat seperti disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa adalah sama ada di koridor utara atau selatan, yang menjadi fokus usaha mencari dan menyelamat. Keutamaan kami ialah mencari pesawat itu.

3. Siasatan Polis

Saya sedar ramai mengikuti dengan dekat dan mahu mengetahui perkembangan siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap penumpang dan anak kapal MH370. Saya harap anda faham bahawa saya tidak boleh mengulas mengenai butiran siasatan itu, yang masih berjalan.

Saya juga ingin menyatakan bahawa usaha mencari MH370 adalah lebih penting daripada politik. Saya menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan kita dan bersatu dalam waktu sukar ini tatkala kami menumpukan usaha untuk mencari pesawat itu dan 239 orang di dalamnya.

4. Kenyataan penutup

Operasi mencari MH370 terus menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memberikan anda perkembangan terkini operasi ini, termasuk maklumat mengenai aset-aset digunakan, sebaik sahaja maklumat itu diperoleh.

Beberapa hari lepas kami telah menghubungi rakan-rakan kami di kawasan yang menjadi tumpuan operasi mencari. Kerjasama yang kami terima dalam fasa pertama diteruskan dalam fasa baharu ini. Malah, lebih banyak komitmen diberikan kepada kami dalam operasi rumit dan besar ini, melibatkan pelbagai negara.

Pada masa sama, doa kami terus bersama-sama anggota keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal pesawat.

Facebook Comments

Berkaitan

Baca Juga

Bot penyeludup karam: Seorang maut, 35 pendatang asing diselamatkan

SHAH ALAM  -- Seramai 35 pendatang asing tanpa izin berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tangki milik syarikat swasta, manakala seorang lelaki maut apabila bot...

Rakyat M’sia berkahwin di selatan Thailand dinasihat tidak lengahkan pendaftaran perkahwinan

PHUKET -- Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan...

[VIDEO] Ribut terbangkan khemah program Bekwoh Keluarga Malaysia

TUMPAT: Kawasan Pantai Geting, di sini, yang turut menjadi lokasi penganjuran Program Bekwoh Keluarga Malaysia Rakyat Tumpat dilanda ribut malam tadi 6 Ogos 2022. Keadaan...

[VIDEO] Tiga beranak maut kemalangan

KOTA KINABALU: Tiga beranak maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas malam tadi 5...

Remaja parah langgar gajah

Kluang: Seorang pelajar sekolah menengah parah selepas terlanggar gajah di Jalan Kota Tinggi - Kluang berdekatan Taman Seri Impian di sini, kira-kira 10 malam...

[VIDEO] Perahu karam, budak lelaki 10 tahun hilang

KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas apabila perahu yang dinaikinya bersama keluarga karam dalam kejadian di Sungai Rajang, Kapit, di...

Potong rambut panjang, pelajar serang guru guna batang penyapu

HULU SELANGOR: Seorang pelajar Tingkatan Tiga tergamak menyerang gurunya dengan batang penyapu sambil mengugut mahu membunuh mangsa, kerana berang rambutnya yang panjang dipotong dalam...

[VIDEO] Rasuah: Pemilik syarikat agensi pekerjaan antara dua lelaki ditahan SPRM

KUALA LUMPUR -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan dan seorang pemilik syarikat agensi pekerjaan bagi membantu siasatan kes rasuah mendapatkan...

“Hitam Celah Paha Itu Normal” Doktor Pakar Bidas Jualan Produk Pemutih Buat Ibu Mengandung

Pakar perubatan, Dr. Amirah Azlan membidas segelintir peniaga produk kewanitaan yang gemar membuat promosi ‘murahan’ dengan memberi teori-teori kesihatan salah serta menakutkan masyarakat. Seperti yang...

Alat sulit ‘patah’ ketika hubungan intim ganas dengan isteri

JAKARTA – Alat sulit seorang lelaki berusia 50 tahun di Indonesia dipercayai ‘patah’ melakukan hubungan intim ganas bersama isterinya, lapor portal berita MailOnline semalam. Lelaki...

[VIDEO] Mayat mangsa ditemukan 1.5 kilometer dari lokasi dihanyutkan arus deras

BENTONG – Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika memancing di Loji Air Semantan di sini ditemukan kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi mangsa...

[VIDEO] Lori kontena bawa tin sardin terbalik, jalan sesak 3 km

KUALA KANGSAR – Ribuan tin sardin bertaburan di atas jalan selepas sebuah lori kontena membawa muatan itu terbabas sebelum terbalik di Kilometer 265.9, Lebuh...