Pindahan Zon Pencarian #MH370 Bukan Luar Biasa – Amsa (video) - pakdin.my

Tindakan memindahkan operasi pencarian MH370 ke kawasan baharu bukan perkara luar biasa, sebaliknya perkara seperti itu sentiasa berlaku dalam sebarang misi mencari dan menyelamat (SAR).Pengurus Besar Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) bagi Divisyen Respons Kecemasan, John Young berkata langkah itu seiring dengan maklumat baharu yang diterima ketika operasi dijalankan.

“Ini perkara biasa dalam aktiviti SAR kerana maklumat baharu akan muncul dalam analisis dan akan membawa operasi ke kawasan baharu.

MH370-alih-kawasan-carian

“Saya tidak anggap usaha yang terdahulu sebagai pembaziran masa,” katanya dalam taklimat media di Canberra pada Jumaat yang disiar secara langsung oleh saluran berita CNN.

Terdahulu hari ini, Amsa dalam satu kenyataan berkata misi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu dipindahkan ke lokasi baharu kira-kira 1,100 kilometer ke timur laut Perth berdasarkan maklumat terkini yang disalur oleh pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.

Amsa berkata agensi penyiasatan Australia, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah menyemak data itu dan memutuskan maklumat tersebut merupakan petunjuk paling kukuh bagi mengesan kemungkinan serpihan.

Operasi pencarian penerbangan MH370 dipindahkan ke utara di Lautan Hindi selepas petunjuk baharu mendapati pesawat mungkin bergerak lebih laju daripada anggaran asal.

“Maklumat menunjukkan pesawat bergerak lebih pantas daripada jangkaan awal, menyebabkan pembakaran bahan api yang lebih cepat sekali gus memendekkan jarak penerbangan pesawat ke selatan Lautan Hindi,” katanya yang yakin kawasan baharu itu lokasi terbaik untuk usaha pencarian.

Young juga berkata beliau tidak akan menggunakan terma ‘lapangan serpihan’ berhubung imej kira-kira 300 objek yang dicerap oleh satelit memandangkan belum sahih cerapan itu adalah objek.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun pesawat itu hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.

Misi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-21 hari ini dan difokuskan di Lautan Hindi selepas analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan lokasi terakhir pesawat di tengah-tengah lautan berkenaan.

UTAMABERITAPindahan Zon Pencarian #MH370 Bukan Luar Biasa - Amsa (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium