Saksi cerita detik cemas kejadian tembak di restoran dekat Jalan Ipoh - pakdin.my

tembak-jalan-ipoh-3

Seorang saksi kejadian kes tembak mati di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini awal pagi ini, berkata dia sempat melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam longkang.

Menceritakan detik cemas itu, adik kepada mangsa yang maut dalam kejadian itu berkata, peluru yang dilepaskan suspek juga hampir mengenainya.

S Vijay, 29, berkata ketika kejadian, dia bersama-sama mendiang abangnya, Saravanan, 38, dan rakan mereka sedang makan di restoran berkenaan.

“Seorang lelaki telah menghampiri kami lalu melepaskan tembakan, saya sempat melarikan diri dan lelaki itu cuba menembak saya namun tembakan itu mengenai bahagian dinding kedai,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Menurutnya, dia kemudiannya terjatuh ke dalam longkang berhampiran restoran itu, bagaimanapun ketika itu dia sempat melihat keadaan fizikal lelaki yang menembak mereka.

“Saya melihat dia bertubuh kurus tinggi dan memakai topi, saya cuba untuk melihat wajahnya namun tidak dapat mengenalinya,” katanya.

Vijay berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah Perodua Myvi berwarna perak.

“Saya bergegas bangun dan melihat abang saya sudah meninggal dunia akibat terkena tembakan manakala empat yang lain mengalami kecederaan, saya mengangkat mendiang abang ke dalam kereta manakala yang lain dibawa ke HKL dengan menaiki ambulans,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti motif sebenar suspek melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Saya dan mendiang abang ada kedai telefon di Sentul sejak dua setengah tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, saudara kepada seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Giva berkata, saudaranya yang cedera bekerja sebagai pemandu peribadi dan mempunyai lima anak.

“Sebaik saja saya mendapat panggilan daripada anaknya, saya bergegas ke HKL untuk melihat keadaannya, sepanjang saya mengenalinya, dia tidak mempunyai musuh,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, ketika dihubungi berkata keenam-keenam mangsa pada ketika itu sedang makan malam di sebuah restoran sebelum dihampiri seorang lelaki yang melepaskan tembakan ke arah mereka dengan menggunakan pistol jenis semi-auto.

“Seorang daripada mangsa berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HKL,” katanya.

UTAMABERITASaksi cerita detik cemas kejadian tembak di restoran dekat Jalan Ipoh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium