MH370: Enam syarikat tempatan bida tender mencari - pakdin.my

MH370-tender

Sekurang-kurangnya enam syarikat tempatan termasuk Petronas, Boustead dan Deftech akan membida tender terbuka bagi mengendalikan pencarian dasar laut untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tender bagi mengendalikan pencarian pesawat Boeing 777-200ER MMAS itu sudah dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dengan syarikat yang terpilih perlu memulakan carian mulai Ogos tahun ini.

Kawasan pencarian MH370 yang hilang juga akan diperluas namun kekal di Koridor Selatan, dan kerajaan akan menggunakan apa juga kepakaran yang ada bagi mencarinya, kata Hishamuddin.

“Kalau tidak jumpa kotak hitam, kita kena cari lokasi baharu dan guna apa jua kepakaran yang ada untuk mengenal pasti lokasi berkenaan. Apa yang penting sekarang lokasi itu kekal di Koridor Selatan, itu yang tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Malah ia telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia. Persoalannya di mana di Koridor Selatan. Ia besar, tapi di situlah kita akan memasuki fasa baharu,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian pesawat MH370 itu di ibu negara, Rabu.

Mengulas hasil mesyuarat hari ini, Hishammuddin berkata ia lebih kepada proses persediaan kementerian yang terbabit dari segi keluarga, aset, pakar-pakar, media dan hubungan dengan negara luar jika pencarian MH370 mengambil masa yang lebih lama.

Terdahulu ATSB dalam kenyataannya berkata, syarikat yang pakar akan diambil sebagai kontraktor utama di bawah arahan ATSB bagi melaksanakan pencarian berkenaan yang dijangka mengambil masa selama 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Tawaran tender terbuka itu boleh dikemukakan melalui sistem tender terbuka kerajaan Australia AusTender dan maklumatnnya boleh didapati menerusi laman web www.tenders.gov.au.

Tarikh tutup permohonan adalah pada jam 5.30 petang waktu Australia (3.30 petang waktu Malaysia), 30 Jun 2014.

Pembida yang berjaya dijangka mengendalikan pencarian membabitkan kawasan sehingga 60,000 kilometer persegi berdasarkan komunikasi terakhir pesawat itu dengan satelit Inmarsat.

Kata ATSB, penetapan kawasan pencarian sedang dibuat oleh kumpulan kerja strategik antarabangsa dan akan dimuktamadkan dalam tempoh dua atau tiga minggu.

UTAMABERITAMH370: Enam syarikat tempatan bida tender mencari

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium