Reformis beri kata dua kepada Anwar - pakdin.my

20101116-ramlan-anwar

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) hari ini memberi kata dua kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berundur daripada dunia politik secara terhormat.

Presidennya, Ramlan Abu Bakar berkata, jika amaran itu tidak diendahkan, beliau dan anggota Reformis sedia melakukan beberapa tindakan radikal termasuk yang boleh mengaibkan Anwar.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan seumpama itu kerana ia bertujuan memastikan keamanan negara dan keharmonian rakyat terus terpelihara daripada menjadi mangsa kerakusan politik Anwar .

”Sekiranya saya dan anggota Reformis hingga pada satu peringkat terpaksa melakukan satu perbuatan memalukan seperti mana cadangan yang hampir kita lakukan demi rakyat miskin di Selangor, kita sedia lakukan.

”Apa yang penting Anwar perlu berundur daripada politik. Reformis sebenarnya malu dengan adanya pemimpin seperti Anwar yang tidak habis-habis dilanda isu moral. Kita tidak mahu Malaysia mempunyai pemimpin-pemimpin seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan beberapa pihak yang memaksa Anwar supaya segera berundur daripada dunia politik tanah air.

Antara pihak yang mahu Anwar berbuat demikian bekas calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Selain Anwar, Zaid turut mendesak Naib Presiden PKR, Azmin Ali berundur daripada PKR kerana kedua-dua mereka dikatakan punca kepada segala masalah dalam parti.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang merupakan ulama non-partisan pada awal bulan ini melalui laman webnya pernah menyatakan sudah tiba masa bagi Anwar bersara kerana banyak rentak politiknya dilihat semakin tidak seimbang.

Ramlan berkata, banyak pihak berpendapat di Anwar di peringkat ini sepatutnya menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang serta kepimpinannya di dalam PKR kepada orang lain sehingga kes liwatnya selesai.

”Namun, berdasarkan pemerhatian saya Anwar lebih mementingkan dirinya sendiri. Beliau nampaknya enggan tunduk dengan desakan-desakan yang dilakukan oleh beberapa pihak ke atasnya.

”Apa yang lebih malang lagi beliau gunakan platform Parlimen untuk survival politiknya. Anwar harus ingat Reformis tidak akan berdiam diri. Kami akan menjatuhkan Anwar seperti mana kami diperalatkan dahulu,” katanya.

Untuk pengetahuan umum beliau berkata, di dalam mesyuarat terakhir Reformis, pihaknya telah merangka beberapa tindakan bagi tujuan memaksa Anwar berundur.

”Bila tiba masanya kita akan menggerakkan semua gerakan serta cadangan yang telah dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta pemimpin di dalam pakatan pembangkang memikirkan semula kerjasama mereka dengan PKR.

”Mereka harus sedar Anwar kini menjadi beban kepada pakatan pembangkang ekoran isu moral yang dihadapinya ketika ini.

”Lebih baik mereka memutuskan kerjasama dengan PKR kerana Anwar hanya memberi imej buruk kepada pihak pakatan,” katanya lagi.

UTAMAPOLITIKReformis beri kata dua kepada Anwar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium