#MH17: Tiada bayaran wang tebusan dalam rundingan - pakdin.my

mh17-muhyiddin

Malaysia tidak membuat sebarang bayaran kepada kumpulan pemisah pro Rusia bagi mengambil semua mayat nahas MH17 yang ditembak pihak tertentu dan terhempas di timur Ukarine, minggu lalu.

Proses rundingan melalui telefon di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua puak pemisah itu, Alexander Borodai hanya terikat kepada tiga perkara iaitu penyerahan mayat mangsa, dua kotak hitam MH17 dan akses penuh kepada pasukan antarabangsa bagi menyiasat kes berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan demikian pada sesi penggulungan ke atas perbahasan usul mengenai tragedi MH17 di bawah Peraturan 27 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimana pun beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak teragak-agak mengheret penjenayah ke muka pengadilan kerana bertindak zalim menembak pesawat MH17.

Amaran keras yang dilengkapi dengan perkataan “Tiada Maaf Bagimu” tanpa mengecualikan puak pemisah pro-Rusia yang diketuai Alexender Borodoi jika mereka didapati bersalah menembak pesawat MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan krew..

Berikut adalah teks penuh penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Dewan yang telah bangun untuk membahaskan dan menyokong usul yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri.

Saya percaya Ahli-Ahli Parlimen Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau haluan politik masing-masing bersepakat menyokong usul ini kerana nahas yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 adalah satu tragedi berdarah yang amat memilukan dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.

Seluruh rakyat mengecam sekeras-kerasnya perbuatan jenayah kejam lagi tidak berperikemanusiaan menjatuhkan pesawat MH17 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kita bersatu dalam kesedihan mengenangkan nasib para penumpang dan anak kapal pesawat malang berkenaan. Di saat yang penuh hiba dan pilu ini, ingatan kita semestinya bersama-sama keluarga dan rakan taulan mangsa yang telah kehilangan insan-insan tersayang.

Secara peribadi, sebagai Ahli Parlimen Pagoh, saya turut bersimpati dengan kehilangan seorang anak Pagoh, Allahyarham Mohd Ali bin Md Salim, yang merupakan seorang penuntut ijazah doktor falsafah dalam bidang neuropsychopathology di Universiti Erasmus Rotterdam, Belanda  yang turut berada dalam pesawat MH17.

Dalam pertemuan singkat ini saya dapat merasai kesedihan yang dialami oleh ibubapa dan keluarga Allahyarham, lebih-lebih lagi Allahyarham adalah satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dan menjadi harapan  ahli keluarga.

Saya ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati yang amat mendalam kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa nahas.

Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan hiba seorang ibu yang kehilangan anak, seorang isteri yang kehilangan suami, seorang anak yang kehilangan ibu dan ayah dalam keadaan yang begitu tragis dan menyayat hati.

Marilah kita bersama-sama berdoa ke hadrat Ilahi agar seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa nahas diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan yang maha hebat ini.

Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh mangsa yang beragama Islam, dan bertafakkur sejenak bagi yang bukan Islam. Al-Fatihah.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin mengambil kesempatan di dalam dewan yang mulia ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri yang telah berjaya berunding dan mencapai persefahaman dengan Alexander Borodai, ketua puak pemisah yang menguasai wilayah Donetsk People’s Republic di mana nahas berlaku. Hasil daripada persefahaman yang dicapai:

JENAZAH

mh17-keretapi-bawa-mayat-mangsa

Seramai 282 jenazah mangsa yang berada di Torez telah dipindahkan ke Kharkiv melalui kereta api dengan diiringi oleh 6 wakil daripada pasukan penyelamat Malaysia. Kesemua jenazah ini telah pun tiba di Kharkiv dan diserahkan kepada wakil pihak Belanda.

Setakat ini sebahagian daripada jenazah (26 beg) telah diterbangkan ke Amsterdam untuk kerja-kerja forensik. Jika ada di antara jenazah berkenaan dikenalpasti sebagai warga Malaysia, kita akan meminta kerjasama daripada pihak Belanda supaya jenazah tersebut dapat dihantar pulang ke tanah air dengan segera;

KOTAK HITAM

wpid-mh17-serah-kotak-hitam.jpg

Kedua-dua kotak hitam telah diserahkan kepada wakil Malaysia di Donestk pada jam 9.00 malam waktu Ukraine hari Isnin  21 Julai 2014. Kotak hitam tersebut kemudiannya telah diserahkan kepada pasukan penyiasat antarabangsa di Kiev dan diterbangkan ke London pada jam 11.30 malam hari yang sama untuk tujuan siasatan. Kedua-dua kotak hitam kini berada di Farnborough, U.K untuk dianalisa oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB) UK.

Tuan Yang Dipertua,

Dalam sesi perbahasan tadi, ahli-ahli Dewan (Permatang Pauh, Lembah Pantai, Ketereh dan Pokok Sena) telah menyentuh mengenai beberapa perkara berkaitan laluan pesawat, penyiasatan nahas dan pendakwaan ke atas pihak yang bertanggungjawab.

LALUAN PESAWAT

Spiegel Online http://www.spiegel.de/politik/ausland/malaysia-airlines-mh17-karte-grafiken-route-flugroute-a-981784.html
Spiegel Online
http://www.spiegel.de/politik/ausland/malaysia-airlines-mh17-karte-grafiken-route-flugroute-a-981784.html

Mengenai laluan pesawat, perkara ini telah pun dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri ketika membentangkan usul. Laluan pesawat MH17 telah perakui selamat dan diluluskan oleh International Civil Aviation Organization (ICAO). Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga telah menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu adalah ruang udara yang selamat. Juruterbang hanya dibenarkan untuk mengubah laluan pesawat atas sebab-sebab yang munasabah.

SIASATAN

Tindakan menembak jatuh  pesawat udara awam merupakan satu  jenayah hina yang kejam lagi zalim. Oleh itu, Kerajaan  berpendirian bahawa jenayah yang dilakukan terhadap MH17 merupakan jenayah berat dan menuntut pembelaan di peringkat antarabangsa.

Setiap usaha akan diambil untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan, sama ada di peringkat domestik masing-masing negara yang berkenaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Asas bagi sebarang tindakan tersebut adalah bukti yang kukuh dan boleh dipercayai. Oleh itu, tindakan yang patut diutamakan adalah siasatan yang menyeluruh atas semua aspek dan pengumpulan segala bukti yang ada.

Untuk tujuan ini, Malaysia akan bekerjasama dengan pasukan penyiasat antarabangsa untuk mengenalpasti punca nahas dan mengumpul bukti-bukti jenayah berkaitan nahas.

Kerajaan akan menubuhkan sebuah pasukan penyiasat khas yang akan dianggotai oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk membolehkan siasatan dimulakan segera.

Malaysia sedar akan hakikat bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan atau tangkapan di mana-mana negara yang lain.  Oleh itu, siasatan ke dalam perkara ini dan bidang kuasa ke atas penjenayah tersebut hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kerjasama dan komitmen sebenar daripada Negara-Negara dan pihak-pihak yang berkaitan.

PENDAKWAAN

Bagi maksud menghadapkan penjenayah yang dikenal pasti ke muka pengadilan, Malaysia akan menggunakan undang-undang jenayah Malaysia yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah (extra-territorial criminal application). Ini termasuklah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984.

Atas nama keadilan dan pembelaan terhadap mangsa-mangsa nahas MH17, sekiranya benar pesawat ditembak jatuh, Malaysia mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah kemanusiaan paling hina ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera dan dijatuhi seberat-berat hukuman. Bak kata pepatah Melayu, hutang darah dibayar darah!

Tuan Yang di-Pertua,

Dua tragedi nahas udara dalam tahun ini memberi impak yang amat besar kepada  industri penerbangan negara. Belum pun selesai insiden kehilangan pesawat MH370, negara dikejutkan pula dengan nahas MH17.

Tragedi ini tentunya mancabar kewibawaan negara kerana tindakan dan proses untuk menanganinya  bukanlah sesuatu yang mudah. Kedua-dua tragedi juga bukan bukan sahaja melibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa rakyat Malaysia tetapi rakyat negara asing. Sebarang tindakan yang diambil oleh Malaysia menjadi perhatian  dan penilaian dunia.

Bagi pihak Kerajaan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin dan masyarakat antarabangsa di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada Malaysia bagi menghadapi tragedi yang malang ini. Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa mengutuk keras perbuatan jenayah yang amat dahsyat ini. Malaysia juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin dunia dalam menyatakan perpaduan mereka bersama Malaysia.

Sehubungan ini, Malaysia juga mendesak agar ICAO mengeluarkan resolusi mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah menjatuhkan pesawat MH17.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua Ahli Parlimen yang telah mengenepikan perbezaan politik untuk bersatu dalam menyatakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap jenayah kemanusiaan yang kejam lagi zalim ke atas mangsa-mangsa nahas MH17.

Kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah bersatu dalam menyatakan kesedihan terhadap tragedi yang berlaku dan bangkit menuntut keadilan buat mangsa-mangsa nahas, saya rakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan.

Kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), daripada pengurusan tertinggi, juruterbang, anak-anak kapal hingga ke kakitangan sokongan, saya ingin mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini untuk menyatakan sokongan berterusan kerajaan kepada syarikat penerbangan pembawa panji-panji negara.

Usah gundah dan gulana. Kuatkan semangat dalam menghadapi ujian demi ujian yang amat getir bagi sebuah syarikat penerbangan. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada MAS untuk memastikan syarikat penerbangan milik negara ini terus terbang tinggi di awan biru.

Atas segalanya, marilah kita bersama-sama bermuhasabah atas tragedi yang menimpa negara kita. Saya percaya di sebalik setiap ujian dan dugaan Allah s.w.t. pastinya ada hikmah untuk kita semua. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Anbiya’, Ayat 35:

Yang bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mengakhiri penggulungan ini dengan menyokong usul Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

UTAMABERITA#MH17: Tiada bayaran wang tebusan dalam rundingan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium