Krisis MB Selangor: PKR pecat Khalid Ibrahim - pakdin.my

wpid-nikaziz-khalidibrahim.jpg

Selangor terus bergolak dan semakin kecoh apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini dikatakan telah membuat keputusan mengejut dengan memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu.

Sumber dalaman PKR menyampaikan berita tidak rasmi itu dari ibu pejabat parti dan disebarkan beberapa bloggers menerusi media sosial petang tadi dan kini menjadi viral paling panas. PKR dikatakan memecat Abdul Khalid daripada parti itu berkuatkuasa serta merta.

Menurut sumber, surat pemecatan Khalid ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Ismail dan dihantar dengan tangan kepada Abdul Khalid di kediamannya.

Dengan pemecatan ini, beliau didakwa hilang kelayakan sebagai menteri besar Selangor dan akan diminta untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang disandangnya sekarang.

Orang ramai tertanya-tanya kenapa pemecatan ini berlaku setelah PKR dan Abdul Khalid dikatakan bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian yang wujud sebelum ini, masih tidak dapat dipastikan. Banyak pihak masih terkejut dengan berita ini dan masih menunggu perkembangan selanjutnya.

Isu pemecatan Abdul Khalid sebenarnya timbul sejak Januari lepas apabila ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali dan juak-juaknya dikatakan mencadangkan pekara itu kepada pimpinan tertinggi PKR.

Ia berlaku rentetan penyingkiran Azmin daripada lembaga pengarah PKNS, namun keributan itu diselamatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak cadangan Azmin.

Pada masa yang sama Anwar juga menolak cadangan kerajaan negeri memecat Azmin daripada PKNS kerana sepatutnya beliau berkhidmat sehingga 2015.

Bagaimanapun, Khalid menjelaskan bahawa beliau ataupun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN atau Exco) tidak pernah membuat keputusan membuang Azmin, sebaliknya ia dibuat oleh Pengurus Besar PKNS.

Sejak itu perjalanan politik PKR Selangor tersangkut-sangkut. Abdul Khalid mengorak langkah meneruskan program pembangunan negeri tanpa merujuk kepada Anwar, Azmin, Saifuddin dan beberapa lagi pemimpin tertinggi PKR.

Abdul Khalid juga tidak merujuk kepada PAS dan DAP ketika membuat keputusan mengenai beberapa isu termasuk penstrukturan air dengan kerajaan Persekutuan membabitkan pembayaran bernilai RM9.65 bilion.

Isu bible versi bahasa Melayu juga menjadi modal menggulingkan menteri besar Selangor namun PAS tidak mudah terpesona dengan kelicikan DAP dalam usaha penyingkiran Abdul Khalid.

PKR dikatakan tidak ada pilihan kecuali memecat Abdul Khalid daripada parti itu dan selepas itu mendesak beliau supaya mengosongkan kerusi menteri besar secepat mungkin untuk diisi oleh Dr Wan Azizah.

Ternyata situasi sebegini akan mendorong Abdul Khalid memohon mengadap Sultan Selangor untuk memperkenan diadakan pilihanraya negeri. Ketika itu Abdul Khalid hanya ada pilihan untuk menyatukan PAS dan UMNO bagi menentang PKR dan DAP yang dijangka mengharungi pertarungan sengit dan seimbang.

Sementara itu, Pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan tiada pemecatan dibuat hari ini oleh pucuk pimpinan PKR dan menyifatkannya sebagai satu lagi insiden penyebaran maklumat palsu.

Sebelum ini, Abdul Khalid dikatakan telah meletakkan jawatan menteri besar di hadapan Sultan Selangor dan disusuli dengan perlantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti. Beberapa jam kemudian kerajaan negeri mengesahkannya sebagai maklumat palsu dan fitnah.

Apapun, kerajaan negeri Selangor semakin caca marba dengan pergolakan politik yang semakin meruncing sedangkan beberapa persoalan pokok berkaitan kemiskinan dan kesengsaraan rakyat Selangor masih jauh dari penyelesaian. Rakyat mula jemu dengan jenaka politik yang tidak berkesudahan.

UTAMAPOLITIKKrisis MB Selangor: PKR pecat Khalid Ibrahim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium