Krisis MB Selangor: PKR Dan DAP Bantah Pemecatan Enam Anggota Exco Selangor - pakdin.my

majlis-tertinggi-pakatan-rakyat

DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari Selasa membantah tindakan Menteri Besar (MB) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu memecat enam exco kerajaan negeri Selangor daripada DAP dan PKR yang tidak menyokong pentadbirannya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar bersama malam ini mendakwa tindakan menteri besar itu boleh dipertikaikan dari aspek perundangan.

“Kita tidak faham bagaimana MB Selangor boleh memecat lebih separuh daripada anggota exco yang kesemuanya berjumlah 10 orang,” kata Lim kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Abdul Khalid dalam sidang media petang tadi berkata arahan pemecatan itu akan berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tiga anggota Exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara anggota Exco daripada PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Abdul Khalid tidak boleh memecat anggota exconya kerana beliau menjadi menteri besar berdasarkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada gabungan PKR, PAS dan DAP.

“Kita minta penyokong Pakatan Rakyat untuk terus tenang dan sabar,” kata Lim dan menambah sebahagian (penyokong) berang susulan kejadian itu.

Lim berkata beliau sudah menghubungi Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk memaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS meminta kesemua empat anggota exco PAS Selangor tidak menghadiri mesyuarat exco esok sebagai tanda solidariti terhadap pemecatan enam exco terbabit.

Sementara itu, Anwar dalam sidang akhbar tersebut, turut berkongsi pendirian sama dengan DAP berhubung isu pemecatan anggota exco berkenaan.

Teng (anggota exco terbabit) yang turut hadir mendakwa Abdul Khalid masih belum mendapat perkenan Sultan Selangor berhubung pemecatan exco itu.

“Pemecatan ini tidak sah dari segi undang-undang. Abdul Khalid sebagai anggota yang dipecat dari parti tidak mempunyai legitimasi untuk memecat anggota kerajaan pakatan,” katanya. Beliau berkata mereka (exco terbabit) akan tetap menghadiri pejabat esok bagi menjalankan tugas masing-masing untuk menyelesaikan kerja-kerja tertangguh.

UTAMAPOLITIKKrisis MB Selangor: PKR Dan DAP Bantah Pemecatan Enam Anggota Exco Selangor

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium