Suspek Dipercayai Tikam Pelajar UiTM Ditahan (video) - pakdin.my

Mangsa kes tikam, pelajar UiTM Lendu, Siti Irina Ridzwan mendengar kata-kata semangat daripada ibunya, Hasnelly Nilis di Hospital Besar Melaka
Mangsa kes tikam, pelajar UiTM Lendu, Siti Irina Ridzwan mendengar kata-kata semangat daripada ibunya, Hasnelly Nilis di Hospital Besar Melaka

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes menikam pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah dalam rompakan di Pangsapuri Dimensi, Lendu di sini Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata lelaki berusia 20 tahun yang berasal dari Melaka itu ditahan di sebuah rumah tumpangan di Kampung Pantai kira-kira 10 malam Khamis.

Beliau berkata, tangkapan berkenaan susulan penahanan dua lagi lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun di beberapa lokasi berasingan di sekitar Alor Gajah bermula 6.15 petang Khamis.

“Ketika siasatan, suspek utama mengaku melakukan jenayah tersebut manakala tiga lagi yang merupakan rakannya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ketika ditahan keempat-empat mereka didapati positif dadah Methamphetamine.

Raja Shahrom berkata, keempat-empat mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan hingga membawa kecederaan.

Beliau berkata, polis juga akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kesemua yang ditahan sama ada terlibat dalam jenayah lain seperti samun.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, Siti Irina Ridzwan, 20, pelajar jurusan Diploma Komunikasi Massa ditikam sebanyak enam kali selepas dikatakan menjerit dan cuba melawan suspek ketika rompakan tersebut.

Sementara itu, Rektor UiTM Melaka, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim berkata, Siti Irina kini berada dalam keadaan stabil dan dijangka keluar dari Hospital Melaka beberapa hari lagi.

Beliau berkata, pelajar semester lima itu juga dijadual menduduki peperiksaan akhir semester yang akan berlangsung pada 23 September ini.

“UiTM telah menyediakan sebuah rumah tamu untuk Siti Irina dan keluarganya berehat dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan tersebut di Lendu,” katanya ketika melawat mangsa bersama Ketua Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Ibrahim Abu Shah di hospital berkenaan.

 

 

UTAMABERITASuspek Dipercayai Tikam Pelajar UiTM Ditahan (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium