Nasrudin Tantawi dakwa PasMa rancang nak jatuhkan Haji Hadi - pakdin.my

hadi-saman

Hari demi hari yang pasti belum ada langsung tanda-tanda ketegangan dalam PAS dan begitu juga hubungan parti itu dengan PKR dan DAP makin reda.

Buktinya baca sendiri tulisan Ahli Parlimen PAS Temerloh Nasrudin Tantawi dibawah tajuk Pasma: Timbulnya Sebuah Kapal Selam di laman facebooknya petang Ahad.

Baru saja pada pada 9 September ,Nik Abduh anak kepada Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat cetus sensasi di facebooknya menerusi tulisannya ‘Siapa Pengkhianat?‘ dalam isu Menteri Besar Selangor.

Kebetulan kedua-dua mereka ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dan diketahui umum adalah ‘panglima’ Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Kebelakangan ini mereka berdua terus menerus menghalakan senapang kearah gelagat degil PKR dan DAP serta tindak tanduk sesetengah pimpinan PAS yang tidak mahu mendokong pendirian Haji Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor.

Apapun isu ini sudah menjadi bertambah hangat sekarang dengan pendedahan Ketua Angkatan Muka Keadilan (PKR) ,Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai pertemuan beliau bersama Ketua Pemuda PAS dan DAP dengan Haji Hadi pagi Jumaat lalu

Presiden PAS itu bukan sahaja tidak berganjak malah secara terbuka memberitahu mereka beliau merasakan jalan keluar kepada krisis Menteri Besar ini ialah Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan pada jawatannya.

Ini membuatkan ramai pemerhati meramalkan Muktamar PAS yang dijadual berlangsung di Batu Pahat dari 18 hingga 20 September ini pasti hangat dan tegang.

Melihat pada senario yang makin kusut ini mungkin ramai tidak terkejut mendengar dakwaan terbaru Nasrudin.

Dakwaan itu mengambarkan krisis dalaman PAS akibat dari isu Menteri Besar Selangor sudah sampai ke tahap yang serius dan genting.

Semua orang sudah tahu tentang kewujudan PasMa yang didakwa oleh penerajunya cuma sebuah NGO dalaman parti itu.

Sebaliknya Nasrudin secara terbuka mendakwa dalam tulisan di facebooknya bahawa PasMa bukan sebuah NGO yang berorientasikan kebajikan.

“Ia adalah sebuah NGO yang diluncur ke tengah arus politik tanahair dengan sentimen dan agenda politik tersendiri,” dakwanya.

Nasrudin mendakwa satu pertemuan yang diadakan Pasma di Kota Bharu pada 31 Ogos lalu telah membincangkan bagaimana hendak menjatuhkan Presiden PAS.

Dakwanya pertemuan itu sarat dengan perbincangan dan kritikan terhadap Haji Hadi.

Juga dakwanya pertemuan itu membincangkan rancangan untuk menubuhkan sebuah parti baru bagi mengantikan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Beliau mendakwa parti itu barangkali dinamakan Parti Ummah Sejahtera.

Bagaimanapun salah seorang yang mendakwa hadir dalam pertemuan itu menulis komen dalam facebook Nasrudin dibawah tulisan berkenaan menafikan mereka bincang rancangan untuk menjatuhkan Haji Hadi.

Katanya dakwaan Nasrudin itu fitnah dan meminta ia dihentikan.

Orang itu mengakui Presiden PAS dihentam teruk dalam pertemuan itu dan mereka bersetuju kepimpinan PAS termasuk Presiden harus ditukar tetapi tidak sampai peringkat bincang strateji menjatuhkan Presiden.

BERIKUT IALAH TULISAN NASRUDIN TANTAWI DI FACEBOOK BELIAU AHAD 14 SEPTEMBER 2014

PasMa : Timbulnya Sebuah Kapal Selam
Oleh : Nasrudin bin Hassan At Tantawi.

1. Pentas politik tanahair kita semakin menarik dengan lahirnya PasMa. Ia kini menjadi bahan bualan ahli – ahli politik termasuk para penganalisisnya. Justeru PasMa bukanlah sebuah ngo kebajikan yang lahir atas orientasi kebajikan seperti Yayasan AMAL, Muslim Care dan lainnya. Juga bukan sebuah ngo yang diwujudkan untuk memperjuangkan hak rakyat tertindas seperti Royalti (R) , ANAK dan lainnya. Sebaliknya ia adalah sebuah ngo yang diluncur ke tengah arus politik tanahair dengan sentimen dan agenda politik tersendiri.

2. Pertemuan PasMa pada 31 Ogos 2014 di Pustaka Az Zahra Kota Bharu tempohari jelas mempotraitkan rupa wajah PasMa yang sebenar. Pastinya ia bukan pertemuan yang merancang strategi dan aktiviti kebajikan sebagaimana tanggapan setengah pihak terhadap ngo ini. Sebaliknya ia adalah sebuah pertemuan yang sarat dengan perbincangan dan kritikan kepada pucuk pimpinan PAS iaitu Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Malah mereka bincang bagaimana untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden.

3. Pertemuan tersebut turut merencana Plan A dan Plan B sehingga menelurkan idea perlaksanaan konsep 1 Jamaah 2 Parti. Satu idea yang membawa maksud menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan PAS di dalam Pakatan Rakyat setelah mood pertemuan tersebut dibentuk dengan satu persepsi kononnya PAS yang sedang diterajui oleh Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mahu bekerjasama dengan UMNO dan dilabel sebagai Geng UG sementara mereka pula adalah Pro PR. Jika konsep 1 Jamaah 2 Parti itu menjadi kenyataan, barangkali Parti Ummah Sejahtera ( ??? ) akan wujud.

4. Lebih jauh perbincangan mereka ialah strategi untuk menjatuhkan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. Saya difahamkan oleh seorang saksi yang hadhir dalam pertemuan PasMa pada 31 Ogos 2014 tempohari , bagaimana Shaikh Umar Bagharib bin Ali seperti mencabar seorang pemimpin kanan PAS Pusat yang turut hadhir dalam pertemuan itu, betapa 24 orang AJK PAS Pusat yang pro mereka (dari 36 orang keseluruhannya) kenapa tidak boleh menguasai keputusan PAS pusat ? . Menganggap Tuan Guru Presiden PAS sebagai bodoh siasah dan menyebut bahawa Jawatan Kuasa PAS Pusat yang ada pada hari ini boleh turunkan Presiden PAS tanpa perlu pun menunggu muktamar.

5. Seorang peserta yang lain pula menyebut bahawa fokus mesti dialihkan kepada Setiausaha Agung Musthafa Ali untuk dijatuhkan dengan maksud jatuh Musthafa Ali maka lemah dan jatuhlah Tuan Guru Presiden. Fokus dialih kerana disebabkan reputasi Tuan Guru Presiden yang sedang harum dengan perlantikan sebagai Naib Presiden Persatuan Ulamak Sedunia tempohari.

6. Sementara resolusi pertemuan itu disampaikan oleh Ust Mohd Taib Ahmad Setiausaha PasMa. Beliau menegaskan jika AJK PAS Pusat tidak mahu menurunkan Presiden PAS, maka semua AJK PAS Pusat kita turunkan termasuk Mohamad Sabu Timbalan Presiden, Naib – Naib Presiden, Dato’ Mahfuz Omar dan semua AJK PAS Pusat kita turunkan semuanya. Kenyataan beliau berasaskan satu keyakinan bahawa terdapat usaha mahu menubuhkan kerajaan campuran dengan UMNO di Selangor.

7. Menyentuh soal rahsia parti pula, beliau menyebut bahawa baiah yang dibuat oleh pimpinan PAS Pusat boleh dilanggar kerana ia dianggap batil dan melanggar baiah boleh diselesaikan dengan menyembelih seekor kambing ( sebagai membayar kifarah ). Ucapan resolusi PasMa itu juga turut menegaskan bahawa Majlis Syura PAS hanya diperalat oleh Musthafa Ali. Musthafa Ali over rule segalanya, beliaulah Presiden PAS yang sebenarnya.

8. Penjelasan ini adalah sebahagian dari keseluruhan perbincangan yang jelas menggambarkan agenda sebenar PasMa . Pertemuan itu menjadi majlis “membelasah” pimpinan PAS khasnya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang Presiden PAS.

9. PasMa menjadi forum yang akan bergerak secara terbuka ke seluruh negara dengan membawa agenda tersebut. Himpunan mereka di Pustaka Az Zahra’ menyaksikan kesungguhan mereka mendokong agenda yang mengatasnamakan usaha menyelamatkan PAS itu. Antara yang mengambil bahagian berucap dan melontarkan pandangan dalam Perhimpunan

PasMa yang berlangsung di Pustaka Az Zahra Kota Bharu tempohari ialah Ustaz Mohamad Hussin selaku pengerusi dan menyampaikan ucapan alu – aluan, sementara penceramah pertama ialah Yb. Dr Hatta Ramli dan penceramah kedua ialah Dato Phahrolrazi bin Zawawi.

10. Saya melihat tidak mustahil PasMa akan menjadi pintu laluan ke arah penubuhan parti baru atau serpihan PAS yang bakal dianggotai oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan PAS sebagaimana sejarah telah merakamkan penubuhan Hamim dan Berjasa.

INI ADALAH TULISAN NIK ABDUH DATUK NIK AZIZ DI FACEBOOKNYA PADA 9 SEPTEMBER 2014

Siapa Pengkhianat?

Presiden PAS dituduh khianati PR kerana namakan calon MB daripada PAS.

Mari amati kisah pengkhianatan. Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada 2 gerangan yang saling berkerja sama;

1) 2 pengkhianat daripada ADUN PAS yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman PAS.

2) Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam PR apabila menerima pengkhianatan 2 ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

Sebagaimana 2 ADUN itu memutuskan wala’ dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan PAS.

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh presiden PAS apabila;

1) Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.

Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam PAS sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan 2 ADUN ini.

2) Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR- pergolakan dalam PR akibat PAS kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI yang Majlis Syura Ulama PAS putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan presiden? Ada 2 pilihan;

1) Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti PAS ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan Tahaluf Siyasi.

2) Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman PAS dan hubungan dengan PKR dan PR.

Presiden telah memilih pilihan kedua.

Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila PAS melalui mesyuarat 17/8/14, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan 2 nama calon MB baru, termasuk WAWI (yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU).

Lihat, alangkah berjiwa besarnya presiden. Beliau mampu mempengaruhi MSU agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!

Keputusan ’emas’ itu hanya mampu bertahan 5 jam!

Petangnya, tanpa kehadiran presiden PAS, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu WAWI. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula PAS dilabel sebagai parti U-Turn oleh BN.

Presiden kini berhadapan 2 kemelut yang tiba-tiba;

1) Kegagalan wakil PAS ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat PAS. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali RUH keputusan mesyuarat PAS yang telah menetapkan 2 nama.

Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.

2) Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan WAWI. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.

Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi PAS yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.

Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar 5 jam?

Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua MSU. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.

Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu SD timbul.

13 ADUN PAS diasak oleh PKR agar menanda tangani SD menyokong WAWI sebagai Menteri Besar baru. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar PAS.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!

Mesyuarat PAS pada 25/8/14 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. PAS memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.

Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.

Daripada pelabelan awal oleh BN, rakan PR mula turut menamakan PAS sebagai parti U-Turn!

PAS mula dipermainkan rakan-rakannha sendiri.

Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih 2 nama, PR terus gagal untuk bersatu.

Malah, kemelut dipanaskan dengan isu presiden PAS mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;

1) Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada presiden PAS? Tidak bukan?

2) Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan PAS? Tidak bukan?

3) Adakah tindakan budiman presiden PAS berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin PAS yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan 2 ADUN itu? Tidak bukan?

4) Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?

5) Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?

Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

Mari melihat kesimpulan saya..

Hari ini, anda melihat apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa PAS atau presiden PAS telah sampai ke tahap toleransi tertinggi. Selepasnya, jika tidak disambut baik, maka toleransi berakhir dan presiden PAS akan mula bertindak..

Saksikan..

Presiden putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more

Presiden putuskan untuk menangani isu dalaman PAS dengan caranya sendiri.. juga, no more

Akhir daripada saya, jika semalam anda melihat intimnya hubungan beberapa pemimpin PAS dengan rakan PKR dan DAP untuk mematikan langkah presiden sendiri, hari ini pula anda sedang melihat para ulama dan pencinta kepimpinan ulama sedang bersahutan dan bertautan menyokong tindakan baru presiden PAS.

Dan anda telah pun tahu apa sikap saya dan di mana saya. Saya enggan mengelirukan..

Selamat bertarung di ‘KuborMove’.. Jumpa di sana.

UTAMAPOLITIKNasrudin Tantawi dakwa PasMa rancang nak jatuhkan Haji Hadi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium