MB Selangor: PKR Adakan Mesyuarat Tergempar - pakdin.my

Azmin dikerumuni wartawan selepas dilihat berpatah balik ke ibu pejabat PKR
Azmin dikerumuni wartawan selepas dilihat berpatah balik ke ibu pejabat PKR

Kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergegas ke ibu pejabat parti itu selepas memutuskan perlu diadakan mesyuarat tergempar berhubung perkembangan terkini berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mesyuarat Biro Politik parti itu diadakan selepas satu mesyuarat ‘biasa’ yang dihadiri beberapa pemimpin PKR termasuk Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.

Perkara itu dimaklumkan Azmin yang terpaksa berpatah balik selepas kira-kira 40 minit meninggalkan bangunan itu.

Katanya, ia merupakan mesyuarat biro politik yang akan dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, mesyuarat yang dijangka bermula pukul 5 petang itu akan turut disertai Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan adakan mesyuarat tergempar pukul 5 petang yang akan dipengerusikan oleh presiden… ketua umum (akan hadir)… mengenai perkembangan terkini…,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat PKR di sini, Isnin.

Ditanya adakah perkembangan terkini melibatkan isu menteri besar di Selangor, Azmin berkata: “Ya, ya, ya.”

Bagaimanapun beliau menambah: “Saya tidak tahu… ini mesyuarat khas tergempar pukul 5.”

Antara yang dilihat memasuki ibu pejabat PKR ialah Naib Presiden, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Terdahulu, Azmin menegaskan bahawa beliau masih belum menerima sebarang surat berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pada Isnin, timbul spekulasi mengenai pelantikan Azmin memegang jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis angkat sumpah Menteri Besar Selangor yang baharu akan diadakan di Istana Alam Shah pada pagi Selasa.

UTAMAPOLITIKMB Selangor: PKR Adakan Mesyuarat Tergempar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium