Kempen Senyap, Tunggu & Bertindak Di Pengkalan Kubor - pakdin.my

wpid-prk-pengkalan-kubor-prk.jpg

SEMINGGU dua lalu ramai yang kata Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pengkalan Kubor tidak sepanas cuacanya yang pernah suatu ketika mencecah suhu 41 darjah celcius.

Tapi kini, dua hari sebelum tanggal 25 September, ramai yang sudah merasai bahang, malah sudah terkena percikan ‘api’ kempen pilihan raya ini.

Sebenarnya, tidak keterlaluan dikatakan bahawa naik turunnya suhu kempen pilihan raya di Pengkalan Kubor telah dikawal atau dipengaruhi oleh PAS.

Ini kerana PAS dalam pilihan raya kali ini dilihat mahu jadi pemerhati situasi, sebelum merencana strategi dan bertindak.

Barisan Nasional (BN) pula sedari awal sudah bersiap sedia, sama ada dari segi jentera, aturcara dan gerak kerjanya, dilihat lebih selesa mengambil pendekatan tidak endah akan rentak kempen yang dicetuskan oleh parti lawan.

Panas atau dingin suhunya, kempen BN tetap ‘berjalan’!

Mengimbas kembali senario di Pengkalan Kubor lebih kurang dua minggu lalu, BN yang paling awal mengumumkan calonnya, Mat Razi Mat Ail.

BN tidak menghiraukan siapa calon yang bakal dipertaruhkan PAS, yang mungkin ketika itu masih teraba-raba mencari calon terbaik bagi mewakili partinya.

Malah, ketika hari penamaan calon pun, Mat Razi, bersama pimpinan tertinggi Umno dan BN yang berarak bersama-sama tiba dahulu di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat berbanding PAS.

Ketika itu, ramai yang kata PAS agak lembab dan konservatif, seolah-olah  hanya mahu jadi pemerhati dan mahu mengikut sahaja rentak dan alunan kempen secara sederhana yang dicipta BN.

Tetapi sebenarnya tidak!

Ketika BN dilihat lebih banyak dan terbuka mengatur strategi, PAS juga dalam diam punya percaturannya sendiri, tetapi hanya disedari kini, dua-tiga hari sebelum tamat tempoh berkempen.

Fasa Pertama

Minggu pertama gelanggang kempen dibuka, cuaca politik di Pengkalan Kubor ternyata dingin dan suram.

Ada bendera dan poster biru dan hijau, tapi tidak banyak. Kain rentang dan poster yang memainkan isu-isu tertentu pun ada, tetapi ‘tidak garang’.

Kempen minggu pertama bolehlah dikatakan seperti; PAS masuk ‘gear’ dua dan BN lebih berani, namun cuma berani masuk ‘gear’ tiga. Apa-apa pun di peringkat ini BN dilihat lebih ke hadapan.

Semua sudah maklum BN punya jentera yang kuat di samping jentera dari kerajaan Persekutuan, sama ada untuk membantu atau menganjur program. Jentera sudah ada, mereka cuma perlu gerakkan sahaja.

Pada waktu ini jugalah wajah-wajah ‘pak menteri’ dapat dilihat, termasuklah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering berulang-alik ke Pengkalan Kubor.

Setiap hari menteri dan pimpinan tertinggi BN masuk pekan Pengkalan Kubor, jalan sempit, panas terik pun mereka redah semata-mata untuk jumpa penduduk kampung mahu raih undi.

Modal BN pada masa ini tak lain tak bukan ialah ‘calon’. Mereka optimis dengan calon mereka, jadi mereka gunakan kelebihan itu untuk meyakinkan pengundi.

Sesekali ada juga pihak lawan ‘serang’ calon mereka, tapi mereka tak peduli kerana mereka mahu konsisten berkempen.

Sesekali ada juga mereka ‘menepis’, ‘menangkis’ dan ada masanya hanya ‘menguis’.

Pengarah Jentera PRK DUN Pengkalan Kubor BN, Datuk Mustapa Mohamed dari awal lagi berkata, kempen BN pada kali ini akan memberi lebih tumpuan terhadap penduduk dan di peringkat akar umbi selain ceramah yang dianggap penting bagi penduduk di Kelantan.

Ceramah pula bukanlah ceramah lantang dan mengutuk, tetapi lebih kepada memberi penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan musuh politik.

“Kita akan masuk ke semua kawasan peti undi yang kita kalah, yang kita menang pun kita masuk, kita kena jaga semua,” katanya dalam salah satu sidang media yang diadakan di sini.

Berbeza dengan PAS, tiada nama-nama gah daripada pimpinan tertinggi parti yang turun ke Pengkalan Kubor, sama ada untuk membantu kempen atau berceramah.

Sedih apabila sidang media atau aktiviti kempen PAS hanya dihadiri pimpinan PAS peringkat negeri dan kawasan sahaja. Ditanya mengapa, muktamar dijadikan alasan!

Mujurlah Tok Guru Nik Aziz tidak hadir ke muktamar dan sudi turun padang untuk suntik semangat kepada jentera dan pengundi.

Tidaklah PAS di Pengkalan Kubor terus ‘kering-kontang’ dengan kehadiran pemimpin tertinggi.

Isu atau kenyataan yang ditampilkan pada sidang media PAS pun tidak sekuat mana, walau sidang media diadakan setiap hari, tanpa pernah gagal.

Selain isu royalti dan GST, yang pasti hampir setiap hari kedengaran kenyataan ‘Umno ‘kaki spin’, Umno pelawok (penipu) dan Umno jahat’ diucapkan oleh Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abd Rahim Wan Ismail dalam sidang medianya.

Kedengaran lucu, maka ia telah melekat dan menjadi ‘bahan lawak’ di kalangan pengamal media dalam mengharungi suasana ‘dingin’ kempen.

Pendek kata, pada peringkat ini BN telah menggunakan sepenuhnya kesempatan dan tidak mensia- siakan peluang ketiadaan pimpinan tertinggi PAS untuk menarik perhatian pengundi, manakala PAS pula yang dilihat ‘lembab’ rupa-rupanya secara senyap membuat kerjanya.

Fasa Kedua

Masuk fasa kedua kempen, suhu dingin pada fasa pertama kempen tiba-tiba bertukar kepada suam dan tidak lama kemudian panas.

Sekali lagi, perubahan suhu kempen ini dipengaruhi oleh PAS yang telah selesai muktamarnya di Johor, menyebabkan BN mengambil langkah lebih agresif.

Tamat muktamar, BN tanpa teragak-agak menaikkan ‘banner’ dan poster yang memetik ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar mengenai ‘broker dan ‘barua’ dalam PAS untuk dijadikan modal kempen.

Terdapat juga poster dan banner yang menulis kekecewaan Haron Din apabila keputusan Majlis Syura PAS diperlekeh dan kepimpinan ulama yang diserang bertubi-tubi.

Bagi PAS pula, selepas pimpinan tertinggi mereka ‘berjuang’ di Johor, mereka terus ‘serang’ Pengkalan Kubor.

Kehadiran pimpinan tertinggi PAS bagai memberi semangat baharu kepada jentera dan penyokong-penyokong mereka di Pengkalan Kubor.
Setiap malam ‘ustaz-ustaz’ terkenal dalam parti itu pergi ke rumah-rumah penduduk untuk memberikan ceramah kelompok. Ini belum diambil kira Pemuda PAS dan PKR dan Muslimat PAS, termasuk penyanyi Aishah yang dalam diam menjalankan gerak kerja mereka sejak awal kempen.

Kebangkitan sokongan terhadap PAS paling ketara dapat dilihat melalui ceramah umum oleh Tok Guru Nik Aziz yang diadakan di Pantai Geting, lima hari sebelum hari mengundi yang dihadiri hampir 1,000 orang.

Walaupun muktamar belum selesai, tetapi pada ketika itu sudah ramai pimpinan PAS sudah pulang termasuklah penceramah kontroversi PAS pada PRK Pengkalan Kubor, Datuk Mohd Nasaruddin Daud.

Nasaruddin menjadi tumpuan dalam pilihan raya kali ini sering memberikan ceramah berapi lagi berani mengkritik kerajaan Persekutuan, khususnya dalam isu royalti dan isu perjanjian pendaratan gas di Songkhla antara Malaysia dan Thailand.

Berbanding BN yang mengadakan ceramah umumnya pada malam yang sama, dikatakan ceramah BN itu hanya dihadiri kira-kira 200 orang.

Berdepan jentera PAS yang meningkat dalam sekelip mata, BN tidak panik, malah tetap konsisten dengan rentak sederhananya, dan tidak goyah dari setiap segi. Mereka sudah menjangkakan keadaan ini.

Bagaimanapun, seorang pimpinan tertinggi Umno mengakui agak tergugat melihat perkembangan kempen PAS yang sudah masuk ‘gear’ lima.

“Sebelum muktamar rasa macam kita boleh menang.

“Tapi selepas muktamar dan jentera PAS semua turun ke sini, kita akui tidak mudah untuk kita mempertahankan kemenangan. Sebab dulu ini kerusi PKR, sekarang PAS,” katanya.

Katanya, apa yang menjadi kepentingan bagi BN adalah kemenangan, bukan majoriti yang lebih
besar.

“Kalau majoriti lebih besar itu bonuslah untuk kita,” katanya yang ditemui tiga hari sebelum
hari mengundi.

Secara umumnya, dapatlah dikatakan bahawa kempen pilihan raya di Pengkalan Kubor sebagai ‘lambat panas’ tetapi agak rancak di penghujung.

Boleh juga dikatakan harmoni, dan jika ada ketidakpuasan hati sekali pun, baik dari pihak PAS atau BN, ia dapat dikatakan sebagai rungutan manja yang tidak akan mencetuskan suasana huru -hara.

UTAMAPOLITIKKempen Senyap, Tunggu & Bertindak Di Pengkalan Kubor

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium