“Songkok Style Tun” Jadi Tumpuan - pakdin.my

songkok-style-tun-luar

Semuanya bermula setelah Sardi Dahar menerima kritikan membina daripada seorang pelanggan hingga tergerak hatinya untuk mencipta songkok yang kemudian menjadi kegemaran seorang bekas Perdana Menteri.

Sardi, 55, yang berkecimpungan dalam perniagaan songkok sejak beliau berusia 18 tahun pernah ditegur oleh seorang pelanggan bahawa songkok yang dihasilkannya tidak mempunyai kelainan dan sama sahaja dengan songkok yang lain di pasaran.

Sejak itu, Sardi nekad untuk menghasilkan songkok yang mempunyai kelainan.

Setelah beberapa percubaan yang gagal, beliau akhirnya tampil dengan satu rekabentuk songkok pada 2002 yang kemudian turut menarik perhatian bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed, yang juga pelanggan tetapnya.

Sejak itu songkok berkenaan dikenali sebagai “Songkok Style Tun“.

JAGA KUALITI BAWA NAMA TUN

Membawa nama Tun yang merujuk kepada Dr Mahathir bukanlah perkara yang senang kerana beliau adalah tokoh negarawan yang tersohor, itulah yang dirasai oleh Sardi dalam mengekalkan kualiti yang baik dalam penyediaan songkok gaya Tun ini.

“Pada tahun 2004, saya terfikir untuk menggunakan gambar Tun yang sedang mengenakan songkok buatan saya di kotak dan beg kertas jenama ‘Songkok Style Tun’. Jadi saya menulis surat kepada beliau bagi mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

“Beliau setuju dengan idea saya kerana ia memberi kelainan daripada songkok lain tetapi beliau berpesan supaya menghasilkan songkok yang berkualiti dan sehingga sekarang saya memang menitik beratkan setiap songkok yang dibuat bagi menjaga nama Tun”, katanya.

Komited dengan kerjayanya, Sardi memasang hajat yang besar untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka kilang bagi membolehkan penghasilan songkok yang lebih banyak berbanding sekarang.

“Sekarang saya bekerja seorang diri jadi hanya dapat hasilkan songkok dalam kuantiti yang sedikit bagi memastikan hasil jahitan yang kemas. Saya yakin ‘Songkok Style Tun’ ini mampu untuk menembusi pasaran Indonesia dan Singapura kerana ia mempunyai jenama tersendiri”, kata Sardi.

WARISI KEMAHIRAN DARIPADA BAPA

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik ini, beliau mula mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia.

“Saya selalu memerhatikan arwah bapa membuat songkok semasa kecil dan pada usia 18 tahun selepas tamat sekolah menengah saya mula berjinak-jinak dalam pembuatan songkok.

“Daripada tujuh adik beradik, saya adalah satu-satunya anak yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada bapa kerana yang lain sudah mempunyai kerjaya masing-masing”, katanya.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata beliau ingin menurunkan ilmu dan kemahiran yang diwarisi itu kepada satu-satunya anak lelakinya yang berumur 30 tahun.

“Sehingga sekarang saya membuat songkok ini seorang diri jadi saya berharap agar anak lelaki saya dapat meneruskan legasi yang telah dibina oleh arwah datuknya”, kata Sardi.

PERNIAGAAN BAGUS MENJELANG RAYA

Sardi berkata, mengikut pengalaman beliau perniagaan yang paling bagus adalah sebulan sebelum Hari Raya.

“Tempahan yang diterima pada bulan Ramadan boleh mencecah sehingga lebih 300 unit… jauh lebih banyak berbanding bulan lain. Saya tidak boleh mengambil tempahan yang banyak kerana takut tidak mampu untuk menyiapkan tempahan kerana bekerja sendirian dan untuk menyiapkan satu unit songkok mengambil masa lebih tiga jam”, katanya.

Beberapa pelanggan tetap beliau yang mengetahui situasi beliau pada waktu perayaan akan membuat tempahan sejak dari awal tahun lagi.

Sardi sendiri akan berhenti daripada mengambil tempahan seminggu sebelum Hari Raya bagi membolehkan beliau menyiapkan tempahan tepat pada waktunya.

KEUNIKAN

songkok-style-tun-dalam

Beliau berkata kelainan dan keunikkan yang terdapat dalam pembuatan songkoknya yang membuatkan ia mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dalam dan luar negara.

“Empat ciri utama yang ditekankan dalam pembuatan ‘Songkok Style Tun’ ini ialah ringan, jahitan halus, boleh dilipat dan tidak mudah kecut. Sulaman yang terdapat pada bahagian dalam songkok pula berbentuk bintang dan terdapat 15 jalur yang dihasilkan menggunakan dua jenis warna bagi memberi kelainan.

“Bahan-bahan untuk menghasilkan songkok ini juga mudah untuk diperoleh kerana hanya menggunakan kain baldu, kapas, kertas minyak, kertas keras dan benang sulaman”, katanya.

Walaupun “Songkok Style Tun” berharga RM120, lebih mahal daripada songkok biasa yang dijual pada harga RM75 seunit, namun ia masih mendapat sambutan yang baik kerana pengguna sedia maklum mengenai kualiti songkok itu sendiri.

Sehingga kini “Songkok Style Tun” turut mendapat tempahan daripada orang kenamaan seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

UTAMAGAYA HIDUP"Songkok Style Tun" Jadi Tumpuan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium