Selisih Faham Jualan Lembu, Seorang Maut, Seorang Lagi Parah Dirempuh - pakdin.my

lembu

SETIU: Gara-gara perselisihan faham berhubung penjualan lembu, seorang lelaki maut manakala rakannya parah dilanggar seorang lelaki yang dikenali mereka dalam kejadian di Kampung Jelapang, Permaisuri di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamad berkata kejadian kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan mangsa Rohadi Yaacob, 44, maut manakala Zakaria Taib, 43, parah selepas dirempuh kereta Proton Gen 2.

Katanya ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya sedang menunggang motosikal secara berasingan pulang ke rumah selepas bertengkar bersama suspek di sebuah kedai kopi di kampung berkenaan.

“Ketika ketiga-tiga rakan tersebut dalam perjalanan meninggalkan kedai berkenaan, suspek yang berusia 40 tahun itu bertindak mengejar dan melanggar dua mangsa itu dengan keretanya.

“Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dan suspek telah bertengkar sebelum seorang rakan mangsa mengajaknya pulang dan ketika mereka meninggalkan kedai kopi tersebut, suspek telah berkata kepada Rohadi ‘aku langgar kamu’,” kata Ab Rahman.

Susulan rempuhan tesebut, kedua-dua mangsa terpelanting ke tengah jalan dan suspek terus bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum sekali lagi merempuh kedua-dua sahabat berkenaan dan terus melarikan diri.

Ab Rahman berkata seorang lagi rakan mangsa yang menyaksikan insiden itu, dengan bantuan orang kampung bergegas membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Setiu.

Bagaimanapun Rohadi yang berasal dari Kampung Bukit Loyat, Setiu maut ketika dalam perjalanan ke hospital manakala Zakaria yang berasal dari Kampung Jelapang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Ab Rahman berkata suspek yang bekerja sendiri itu diberkas 8.20 malam pada hari kejadian dan turut merampas kenderaan yang digunakan melanggar mangsa.

Suspek yang berasal dari Kampung Jelapang itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

UTAMABERITASelisih Faham Jualan Lembu, Seorang Maut, Seorang Lagi Parah Dirempuh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium