Tiada motif atau konspirasi politik sebalik hanya kes membabitkan orang politik.
Itu jawapan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap tohmahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya pendakwaan kes liwatnya bermotifkan politik.
Sebaliknya kata peguam terkenal itu, berdasarkan pengalamannya, Anwar adalah ahli politik yang sering menjadikan alasan kononnya setiap tindakan undang-undang terhadap dirinya adalah bermotif politik.
“Kes ini melibatkan ahli politik tapi kes ini tidak berunsur politik. Setakat apa yang kita maklum, kes ini hanya melibatkan ahli politik,” tegasnya.
Beliau ditemui media selepas berakhirnya prosiding pendengaran rayuan terakhir Anwar terhadap hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Panel lima hakim yang mendengar prosiding itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tarikh untuk mengumumkan keputusan terhadap rayuan tersebut.
Panel tersebut diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Sebelum ini sepanjang prosiding yang berlangsung selama lapan hari sejak 28 Oktober lalu, Anwar secara konsisten menuduh pendakwaan terhadapnya adalah bermotif untuk menghancurkan masa depan politiknya.
Menurut Muhammad Shafee ada seorang ahli politik senior yang bertindak profesional apabila berhadapan dengan tindakan mahkamah.
“Hanya satu kes sahaja yang saya tahu bila berhadapan dengan masalah, beliau tidak pernah cakap pendakwaan yang beliau hadapi itu adalah konspirasi politik.
“Malah, hakim yang lepaskannya berkata, beliau bercakap berdasarkan fakta. Beliau bersikap ‘gentleman’, pertahankan diri mengikut undang-undang dan orang itu adalah Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
“Tetapi semua ahli politik yang saya lihat, bila mereka dalam masalah selalunya akan cakap itu adalah konspirasi,” katanya.