Pengedar ganja yang berpangkalan di beberapa kolej dan universiti tempatan dilaporkan telah menjadikan ‘institusi pengajian tinggi’ sebagai sarang terbaharu untuk kegiatan pengedaran bahan terlarang itu.
Mereka didakwa melakukan pengedaran di kalangan pelajar, sehingga menjadikan bahan terlarang itu mudah diperolehi.
Sebuah portal berita dan gaya hidup remaja, membongkar isu ini apabila wartawannya menyamar sebagai pelajar di beberapa kampus sekitar Lembah Klang dan berhubung dengan seorang pengedar ganja berusia 20 tahun.
“Saya mendapat bekalan daripada seorang pengedar di luar kampus dan kebiasaannya saya membeli bahan terlarang itu untuk rakan-rakan yang lain,” kata pengedar itu yang juga seorang pelajar Ijazah Sarjana – dia membekalkan ganja kepada rakan-rakan di kolej dan universiti sekitar Lembah Klang dengan harga bermula serendah RM50.
Seorang lagi pelajar yang sering menghisap ganja di tempat letak kereta universitinya mendakwa kebanyakan kolej dan universiti terkemuka di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengedar.
“Anda hanya memerlukan seorang pengedar. Pelajar lain akan membeli dan mengedar ganja di kalangan rakan-rakan.
“Semuanya mengenai persahabatan dan perkongsian. Ia budaya yang kami amalkan di dalam kolej pada hari ini. Kami semua membeli ganja dan menghisapnya bersama-sama,” kata pelajar terbabit.
Tinjauan di empat kolej lain turut membongkar jalan cerita yang sama dengan kebanyakan mereka berkata dadah mudah didapati.
“Walaupun kita membantu rakan-rakan untuk mendapatkan ganja dari pengedar di kampus, mereka tidak tahu dari mana kami memperolehinya. Ia adalah perkara yang tidak ditanya dikalangan kami,” kata seorang lagi pelajar.
Malah, situasi sama turut berlaku di Pulau Pinang kata, seorang ejen hartanah yang baharu sahaja menamatkan pengajian di sebuah kolej.
Katanya, ganja di sana lebih segar kerana negeri itu hampir dengan Thailand.
“Adalah menjadi kebiasaan bagi pengedar di Pulau Pinang untuk berhubung terus dengan pengedar di Thailand,” katanya.
Profesor Bersekutu Perdana University Graduate School of Medicine, Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, beliau melihat peningkatan ‘mengejut’ di kalangan pesakit muda yang mendapatkan rawatan berkaitan isu ganja ketika ini.
“Amalan membenarkan (ganja) di Amerika Syarikat (AS) seolah-olah memberi gambaran kepada golongan muda bahawa ganja tidak merbahaya tetapi sebenarnya ia tidak benar.
“Apa yang mereka tidak ketahui adalah penggunaan ganja hanya dibenarkan untuk tujuan perubatan, bukannya untuk sosial,” kata Dr Andrew.
Beliau berkata, kajian terbaharu mengesahkan pengambilan ganja secara berlebihan selama beberapa tahun boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius, termasuk gangguan psikosis.
“Saya amat terkejut bagaimana bahan larangan ini mudah didapati pada hari ini. Beberapa pesakit saya memberitahu terdapat juga tawaran perkhidmatan penghantaran ke rumah,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak berkata ganja kebiasaannya dibawa masuk dari Thailand melalui pintu sempadan utara dan Indonesia melalui Johor.
“Mereka membawa masuk ganja menggunakan bot nelayan kecil melalui hutan paya bakau, jadi operasi menjejaki mereka amat sukar,” kata Wan Abdullah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia, Izhar Abu Talib berkata penagih ganja merekodkan sebanyak 20% kes pemulihan yang mereka tangani dengan majoriti kes melibatkan pelajar.
Seorang pegawai di Kementerian Pendidikan berkata, mereka tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.
Seorang pelajar memberitahu R.AGE bahawa rakannya yang kerap berurusan dengan jumlah ganja yang banyak berdepan risiko dihukum mati sekiranya tertangkap.