Ketua Polis Negara memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak mempolitik penahanan peguam hak asasi kemanusiaan, Eric Paulsen kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara.
Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengingatkan orang ramai untuk mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan atas nama kebebasan.
“Tindakan seperti itu boleh merosakkan kepelbagaian komuniti di negara ini.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang bagi mengawal dan mengekalkan kebebasan supaya rakyat dapat hidup dengan aman tanpa sebarang pengaruh pihak yang mempunyai agenda tersembunyi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Beliau menambah, penahanan Paulsen dilakukan untuk mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama negara ini.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara meminta orang ramai supaya tidak memandang remeh suasana aman negara ini dengan menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
“Tindakan sedemikian boleh membawa implikasi serius.
“Jangan terlalu angkuh ketika menyuarakan pandangan kerana setiap kebebasan itu ada hadnya,” katanya.
Pada Isnin, Paulsen ditahan berikutan tweetnya mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi fahaman ekstremisme.
Dia ditahan di Brickfields pada pukul 9.40 malam. Terdahulu peguam itu membuat laporan polis di sini mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi Twitter dan WhatsApp.
SIARAN MEDIA: PELIHARA KEBEBASAN BERSUARA DEMI KESEJAHTERAAN BERSAMA
Tangkapan yang dibuat ke atas Eric Paulsen… http://t.co/sHBsEeJbwb
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) January 13, 2015