Soal Jawab TV3: Transkrip Jawapan @NajibRazak Mengenai 1MDB, GST, Harga Minyak & Banjir (video) - pakdin.my

 

 Soalan :

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Anda bersama saya Charon Mokhzani dalam Soal Jawab. Harga minyak telah menjunam daripada paras tertinggi minyak mentah Brent pada bulan Jun 2014 sebanyak 115 dolar Amerika setong harganya telah turun lebih 50%. Nilai ringgit Malaysia telah merosot daripada harga tertinggi tahun lepas pada 28 Ogos iaitu RM3.15 untuk 1 dolar Amerika kepada RM3.61 semalam. Nilai ringgit berbanding dolar Amerika telah turun 15%. Pagi semalam di dalam perutusan khas Perdana Menteri mengenai ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menerangkan bagaimana kerajaan akan menangani isu-isu ekonomi yang disebut tadi. Di luar negara pula, insiden di Paris, Perancis pada 7 Januari lalu, walaupun ia tidak berkaitan dengan Malaysia, telah menimbulkan persoalan, bolehkah sesuatu yang sebegitu terjadi di sini? Sepanjang siaran kali ini kita mengupas beberapa membabitkan ekonomi semasa. Usaha-usaha kerajaan untuk menangani penurunan harga minyak mentah dan nilai ringgit serta apakah erti sebenar kejadian di Paris. Untuk membincangkan isu ini malam ini saya mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Razak. Selamat datang Yang Berhormat dan terima kasih kerana sudi menjawab soalan di sesi Soal Jawab malam ini. Yang Amat Berhormat, sebelum kami berbincang mengenai isu minyak dan nilai mata wang, boleh saya minta Perdana Menteri menerangkan sedikit prestasi dan ekonomi Malaysia sebelum harga minyak turun?

Najib - Soal Jawab TV3
Najib – Soal Jawab TV3

Jawapan:

Sepanjang tahun 2014, malah untuk tempoh 9 bulan pertama tahun 2014, pertumbuhan ekonomi Malaysia merupakan kadar pertumbuhan yang tertinggi di kalangan negara-negara Asean. Kita telah mengambil dasar-dasar, atau melaksanakan dasar-dasar yang telah membawa keyakinan kepada pihak pelabur dari luar, dalam negeri.

Tahun 2013 umpamanya kita telah mencatat FDI, kadar FDI, Foreign Direct Investment yang tertinggi dalam sejarah Malaysia, sebanyak RM38.2 bilion.

Kita lihat nilai pasaran bursa merupakan tertinggi dalam sejarah yang telah dicapai pada tahun 2014. Jadi kita tengok indicator-indicator nya, memberi kita kesimpulan, boleh membuat kesimpulan bahawa sebenarnya kita berada di landasan yang betul.

Dan fundamentals kita, asas kita semakin lebih kukuh. Namun apa yang sesuatu yang kita tak duga sama sekali ialah kejatuhan harga minyak secara begitu drastik. Inilah cabaran, inilah dugaan yang sedang kita hadapi.

Soalan:

Ya Dato’ Sri, ramai yang tak sangka yang harga minyak akan jatuh dan sebegitu cepat dan sebegitu jauh jatuh harganya. Tapi sekarang setelah harga minyak jatuh ramai yang bertanya-tanya jikalau kemampuan kerajaan untuk, kemampuan kerajaan memandangkan yang hasil daripada minyak dan oil and gas lebih kurang 30% daripada pendapatan kerajaan. Apa agaknya yang kerajaan boleh buat untuk menangani kejatuhan harga minyak ini?

Jawapan:

Ya sebab itu saya telah mengambil keputusan untuk membuat perutusan khas semalam, pagi semalam, di mana saya telah menggariskan keadaan yang sebenarnya. Yang perlu kita fahami bahawa ini bukan satu krisis. Malah ini bukan boleh disifatkan sebagai kegawatan seperti mana yang kita pernah alami dulu.

Keadaan ini adalah satu keadaan di mana kita perlu menyesuaikan, membuat perubahan, penyesuaian kepada bajet negara, kepada langkah-langkah fiskal dan mikro, supaya kesan daripada kejatuhan harga minyak yang telah jatuh dengan begitu mendadak sekali itu dapat kita tangani supaya kita akan dapat kadar pertumbuhan yang agak masih, boleh dikatakan masih baik, ataupun masih menggalakkan.

Dan yang paling penting sekali ialah usaha kita untuk membela rakyat, meningkatkan kesejahteraan rakyat akan terus dapat kita laksanakan. Saya telah terangkan bahawa setelah kita mengkaji segala-galanya, kesan daripada kejatuhan harga minyak ini, kesimpulannya, yang kedua saya nak sebutkan, selain daripada ini bukan merupakan krisis ekonomi, ialah bahawa peruntukan untuk pembangunan negara, lebih kurang 48.5 bilion itu akan kita pertahankan. Maknanya kita tak kurangkan sama sekali.

Apa yang kita akan buat penyesuaian ialah dari segi operating expenditure, ataupun perbelanjaan mengurus. Dan ini kita akan kurangkan sebanyak Rm5.5 bilion, supaya kita dapat menampung pengurangan hasil. Kita akan menerima kesan, pertama kesan dari segi pengurangan hasil, tetapi kita jimat dari segi tak perlu lagi kita mengeluarkan subsidi untuk minyak dan diesel.

Tetapi kalau kita campur kedua-duanya, bererti kita masih ada defisit dalam lebih kurang RM8.3 bilion. Dan ini kita akan tampung melalui tindakan-tindakan seperti saya sebut tadi, mengurangkan OE dan juga menambahkan hasil negara melalui usaha-usaha tertentu yang saya telah umumkan semalam.

Soalan:

Terima kasih Dato’ Sri. Maknanya harga minyak dah turun, pendapatan kerajaan sudah turun, tetapi walaupun pendapatan sudah turun, ada usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan dan juga untuk mendapat hasil dari tempat lain. Tapi dari soal harga minyak ni, tak boleh kah kerajaan membuat sesuatu mengenai harga minyak?

Jawapan:

Kalau boleh kita akan buat. Tak ada negara yang boleh, kalau negara yang lebih besar daripada kita pun tak mampu, misalnya negara Russia, lebih besar daripada kita, pengeluaran minyaknya 9-10 juta tong sehari.

Negara Russia pun tak boleh buat apa-apa. Negara OPEC pun ambil keputusan untuk tak buat apa-apa. Masakan Malaysia yang merupakan pengeluar minyak yang kecil sebenarnya, tentu sekali adalah luar daripada kemampuan kita sama sekali.

Soalan:

Maknanya harga minyak ni harga pasaran dunia?

Jawapan:

Ini harga pasaran dunia yang luar daripada kawalan kita.

Soalan:

Dato’ Sri, ada juga yang mengatakan mereka risau mengenai ekonomi Malaysia kerana harga minyak telah turun maka pendapatan Malaysia, negara Malaysia, bukan sahaja kerajaan tetapi negara akan berkurang oleh kerana harga minyak telah turun. Tetapi mengikut taklimat yang diberi oleh Dato’ Sri semalam, sebenarnya ini tak benar ya, yang pendapatan Malaysia akan berkurangan?

Jawapan:

Pendapatan kita akan berkurangan, tetapi kita boleh tampung melalui pengurangan perbelanjaan yang saya sebutkan tadi, tambahan hasil kerajaan dan keputusan kita ambil untuk membuat satu reality check.

Reality check itu ialah dari segi sasaran defisit fiskal kita. Yang kita unjurkan 3% untuk tahun 2015 ini, berkurangan daripada 3.5% pada tahun 2014, di mana sasaran tersebut telah dicapai oleh kita.

Kita terpaksa menerima hakikat bahawa tak mungkin kita mencapai 3%. Sebab itu saya umumkan sasaran baru yakni 3.2%. Namun apa yang mustahak ialah bahawa trend tu. Trend itu ke arah pengurangan daripada 3.5% kepada 3.2% meskipun tak dapat capai 3%- unjuran asal kita.

Namun, kalau kita lihat pada jangka panjangnya sasaran kita ialah untuk mencapai balanced budget. Bajet yang berimbang menjelang tahun 2020.

Soalan:

Sasaran bajet yang seimbang 2020 tu masih menjadi sasaran?

Jawapan:

Masih jadi sasaran lagi dan kita akan cuba sedaya upaya untuk mencapai sasaran tersebut.

Soalan:

Tapi dari segi imbangan perdagangan atau balance of trade, Malaysia suatu negara pengeksport minyak dan juga mengimport minyak, jadi secara bersihnya, Malaysia bukan negara yang mengimport minyak.

Jawapan:

Ini mesti mesti lihat keseluruhannya, kalau kita ambil kira minyak crude oil yang kita keluar, yang dikeluarkan Malaysia dan kita ambil crude oil yang kita import, kita masih merupakan negara surplus walaupun kecil.

Namun, kalau kita ambil kira refined petroleum products dan kita campur kedua-dua sekali, kita merupakan negara pengimport bersih jadi sangkaan atau persepsi rakyat bahawa Malaysia merupakan negara pengeluar minyak yang surplus, yang ada lebihan, tidak tepat. 

Keadaan sudah berubah namun kita masih merupakan nett exporter ia ini pengeksport surplus lebihan kalau kita ambil kira LNG.

Soalan:

LNG?

Jawapan:

Ya.

Soalan:

Tapi harga gas tidak turun sebanyak seperti harga minyak mentah?

Jawapan:

Tidak, ia tak tetapi trendnya adalah menjadi lebih rendah lagi

Soalan:

Sebab tadi dalam soal persepsi ini, Dato’ Sri, memanglah persepsinya di antara orang ramai dan boleh dikatakan pelabur asing juga, adalah Malaysia bergantung kepada harga minyak tapi nampaknya tidak sebegitu bergantung pada harga minyak, yang menjadi persepsi.

Jawapan:

Ya, tak sebab kita telah buat kepelbagaian sebenarnya untuk kita diversify our economy, mempelbagaikan ekonomi kita sebagai sesuatu yang kita lakukan secara terancang.

Pada tahun 2009, bila kita perkenalkan Dasar Transformasi Negara- ETP, GTP, kita telah tetapkan misalnya bidang keberhasilan utama negara dan National Key Economic Areas di mana melalui tumpuan-tumpuan focus areas tu, kita dapat melihat bahawa ekonomi kita ni, hari ini lebih diversified. Kepelbagaian ini merupakan sesuatu kekuatan kepada kita.

Kekuatan dalam erti kata kalau sesuatu luar daripada dugaan berlaku, misalnya kepada sektor minyak- luar daripada dugaan kita, kita dapat tampung melalui pertumbuhan dalam sektor-sektor yang lain.

Dari segi hasil umpamanya, kalau kita lihat, pada tahun 2009, minyak, sumber minyak untuk hasil negara dalam lingkungan 40%- lebih kurang tapi untuk tahun 2014, ia telah menurun kepada 26%. Jadi maknanya, bukan sahaja dari segi aktiviti ekonomi, tetapi dari segi kebergantungan kepada hasil negara telah juga kita telah dapat kita mempelbagai dan sekarang ni kita terima dari banyak sumber-sumber yang lain.

Soalan:

Maknanya ekonomi kita tidak bergantung lagi kepada minyak dan sumber pendapatan kerajaan pun bergantung kesemuanya kepada harga minyak

Jawapan:

Tidak tetapi sektor minyak ini masih merupakan suatu sektor yang strategik untuk negara kita. Itu saya tak dapat nafikan tetapi kebergantungan, tahap kebergantungan telah dapat kita kurangkan.

Soalan:

Dari segi nilai mata wang, Dato’ Sri, kita mendengar tadi bahawa nilai mata wang Ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika telah turun. Tetapi negara lain pun juga telah turun. Negara Asia, negara Rusia teruk sekalilah jatuh nilai mata wang mereka. Tetapi apa kaitannya, nilai mata wang Malaysia dengan harga minyak?

Jawapan:

Ini merupakan reaksi market kepada kejatuhan harga minyak dan sentimen, jadi bila mereka merasakan bahawa hasil negara akan berkurangan dan mungkin kadar pertumbuhan kita akan menurun, sedikit sebanyak akaun dagangan kita juga mungkin menerima tekanan maka akan berlaku juga penyusutan pada nilai mata wang kita tetapi apa yang penting ialah kita mesti sedar bahawa penyusutan ini tidak bererti bahawa ia menolak hakikat bahawa kita berada ataupun kita mempunyai asas fundamental yang kukuh.

Yang penting, jangan kita react kepada keadaan jangka pendek tetapi terus memberi tumpuan to our strong fundamentals.

Lambat laun kalau fundamentals kita ni kukuh dan kita dapat mantapkan lagi misalnya kita dapat kurangkan fiscal deficit kita umpamanya, kita dapat terus menarik pelaburan dari luar dan sebagainya, kita akan melihat bahawa nilai mata wang kita akan melalui proses adjustment mengikut kepada fundamentals dan sentimen yang saya percaya akan menjadi lebih positif lagi.

Soalan:

Dari segi fundamental, ekonomi Malaysia masih kukuh walaupun harga minyak telah turun dan nilai mata wang Malaysia walaupun turun sebegitu banyak, pada pendapat Dato’ Sri, apakah nilai yang sepatutnya?

Jawapan:

Itu tak boleh saya nak katakan sebab ini ditentukan oleh pasaran dan kita tak boleh melihat atau menjenguk dari segi spekulatif. Ini bukan tugas kerajaan. Tugas kerajaan adalah untuk memberi tumpuan kepada asas ataupun fundamentals dan fundamental inilah yang Insya-Allah akan kita terus perkukuhkan lagi.

Selingan:

Terima kasih Dato’ Sri. Kita akan berehat seketika. Teruskan bersama soal jawab dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selepas ini.

Bertemu kembali dalam soal jawab. Dato’ Sri tadi kita berbincang mengenai harga minyak dan nilai mata wang. Boleh tak kami berbincang sekarang mengenai harga barangan kos sara hidup- sesuatu yang sememangnya kesemua rakyat Malaysia perlu tahu apa jawapannya. Jikalau harga mata wang telah turun, adakah ini bermakna yang kos sara hidup akan meningkat di Malaysia?

Jawapan:

Kita telah mengkaji perkara ini dengan mendalam dan kita membuat unjuran untuk tahun ini inflasi akan menurun sebenarnya. Kita jangkakan inflasi akan dalam lingkungan 2.5% hingga 3.5% termasuk juga waktu kita melaksanakan GST. Salah satu daripada sebab ialah pengurangan harga minyak ia ini harga RON97, RON95 dan Diesel.

Bila kita ambil kira bahawa pengurangan ini bererti bahawa pengguna-pengguna di Malaysia akan dapat disposable income yang lebih. Maka ini akan membantu mereka dari segi kemampuan mereka untuk membeli dengan nilai yang lebih besar lagi.

Dari keseluruhannya, yang kita sebut dari segi GST yang kita nak laksanakan, kepada 1 April ini, inilah masa yang terbaik sekali sebenarnya- bila kadar inflasi agak rendah dan apabila negara memerlukan hasil tambahan.

Maknanya bila dalam keadaan yang kita lihat harga minyak dah menjunam, kita perlu tampung daripada sumber-sumber yang lain. Salah satu daripada sumber ialah GST kerana GST akan memberi kita pendapatan yang lebih berasaskan kepada broadbased income tax dan bersifat progresif.

Jadi pada hemat saya, ini membuktikan bahawa keputusan yang dibuat kerajaan adalah kena pada tempat dan kena pada masanya.

Soalan:

Dato’ Sri, ada dua soalan, satu mengenai impak GST ke atas harga dan satu lagi impak keturunan harga minyak dan ketiganya impak daripada nilai mata wang Malaysia. Dari segi nilai mata wang Malaysia sememangnya ada harga yang naik tetapi oleh kerana harga minyak telah turun dan turun lebih maka harga itu takkan naik. Dari segi GST ada yang mengatakan bahawa patut ditunda ke tahun lain tetapi ini tidak…

Jawapan:

Sebaliknya kerajaan berpendapat inilah masa yang terbaik sekali untuk kita perkenalkan GST. Tentu sekali di mana kita selalu sebut lebih 160 buah negara telah pun melaksanakan GST.

Yang kedua kita punya income, kita punya pihak yang membayar cukai pendapatan cuma seorang daripada 12 orang yang bayar cukai. Ini bererti bahawa tax base kita terlalu sempit bila tax base kita tidak menyeluruh sifat, bererti bahawa hasil negara akan terencat ataupun terjejas.

Bila hasil negara terjejas kita akan mengalami keadaan di mana mungkin defisit negara akan bertambah mungkin kita terpaksa menambah hutang untuk perbelanjaan dan sebagainya.

Tetapi kalau hasil kita terus bertambah, ekonomi kita akan lebih kukuh. Bila ekonomi kita lebih kukuh, dalam keadaan yang luar daripada dugaan, kita akan lebih bersedia untuk menanganinya.

Soalan:

Dari segi penurunan harga adakah kerajaan akan membuat sesuatu supaya harga memang akan turun. Kalau harga minyak naik 10 sen, barang naik 10 sen, tapi bila harga minyak turun 40 sen, harga barang tak turun.

Jawapan:

Betul, Soal ini soal pihak yang terlibat dalam supply chain sebenarnya. Mereka ini tidak mengambil keputusan untuk mengurangkan harga kalau sekiranya kos mereka berkurangan seperti harga minyak turun. Tetapi kalau harga minyak naik, cepat mereka menaikkan harga.

Ini yang jadi satu tambatan kepada ekonomi negara terutama sekali dari kesan kepada pengguna, sebab itulah apa yang kita perlu ialah penguatkuasaan yang lebih berkesan dan juga pengguna yang lebih berhemah lagi ataupun lebih discerning consumers yang tahu membuat penilaian yang tidak akan membeli misalnya daripada kedai-kedai yang tidak mengurangkan harga ataupun mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna.

Sebaliknya mereka pilih tempat di mana mereka akan dapat harga yang adil.

Soalan:

Dari soal eksport, satu-satu yang disebut Dato’ Sri dalam perutusan, Malaysia patut mengeksport lebih dan erti kata itu tahun ini Malaysia menjadi pengurus AEC dan juga ada perjanjian pedagang lain yang Malaysia sedang menghadapi misalannya TPPA. Apa kaitan AEC, ASEAN dan sebagainya dengan eksport?

Jawapan:

AEC merupakan satu modal regional integration di mana kita akan melihat pada satu pasaran di mana tarif kita kurangkan, kebanyakan zero tariff ataupun hampir zero. Dan kita boleh melihat pada satu pasaran(single market) dengan single production base bererti bahawa kita mesti sekarang melihat bukan sahaja domestic market tetapi Asean sebagai pasaran kita.

Sebab itulah dalam perutusan saya semalam saya katakan bahawa kita mesti melihat dan berani mengambil langkah secara positif untuk mengeksport barangan kita ke negara- negara Asean. Sebab inilah peluang bagi kita untuk mendapat pasaran yang lebih besar.

Hampir 600juta manusia dan ini merupakan satu peluang keemasan bagi kita. Saya harap semua enterprise besar termasuk PKS juga supaya lebih agresif lagi untuk menjadi pengeksport di kalangan Asean sebagai satu economic community. Kalau sebut tentang TPP merupakan satu bentuk regional integration yang melihat kepada market excess.

Tetapi TPP ini ada lagi peruntukan tentu yang mana kita belum lagi boleh menerima. Sebab itu pendirian kita nak TPP tapi nak TPP berdasarkan pada terma kita. Based on our terms and conditions.

Soalan:

Balik kepada KDNK, di dalam perutusan Dato’ Sri semalam disebut bahawa jikalau dulu dianggarkan di antara 5% & 6% sekarang sudah ditukar kepada 4.5% sehingga 5.5%, apa sebab?

Jawapan:

Antaranya ialah kesan daripada kejatuhan harga minyak dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Bila kadar pertubuhan global growth telah pun dikaji semula oleh World Bank & IMF, menetapkan kadar yang lebih rendah.

Kita lihat ekonomi dunia yang terbesar seperti negara China pun dijangka akan pertubuhannya mencapai 7.4%. Walaupun tinggi kalau kita pada kebanyakan negara, tetapi dengan negara China, dianggap sebagai slow down meskipun mencapai 7.4%.

Jadi dengan senario seperti ini kita terpaksa mengkaji semula kalau China menjadi rakan dagang kita yang terbesar, kalau China menghadapi ekonomi slow down. Kita tentu sekali eksport kita, kemampuan mereka untuk beli eksport kita akan berkurangan.

Soalan:

Slow down di China kerana pertumbuhan sekarang telah 7.4% dan bukan 8% tapi dari segi rakyat Malaysia & pekerja- pekerja di Malaysia adakah slow down ini bermakna mereka akan mendapat pendapatan yang lebih rendah oleh kerana ekonomi tidak berkembang?

Jawapan:

Saya tidak berfikir akan berlaku retrenchment, pengurangan pekerja, ataupun pendapatan mereka akan berkurangan, tetapi ini mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit.

Mungkin dari segi perniagaan ataupun dari segi jumlah pekerjaan baru yang ditawarkan mungkin ada sedikit pengurangan tetapi bukan bererti bahawa kita mengalami krisis atau kegawatan dan bilangan pekerjaan tetap bertambah, cuma kadar pertubuhan itu nanti mungkin sedikit sebanyak kesan daripada pengurangan pertubuhan ekonomi global.

Soalan:

Dato’ Sri, 1MDB, banyak cerita mengenai 1MDB keluar dalam media masa. Boleh Dato’ Sri beri sedikit ulasan mengenai 1MDB?

Jawapan:

1MDB merupakan satu investment company kerajaan untuk menambahkan lagi strategic investment untuk Malaysia termasuk juga rakan-rakan daripada luar negara. Ramai yang tak sedar bahawa keraajan hanya menyumbang 1 juta ringgit sahaja dari segi saham, modalnya. 

Tetapi hari ini 1MDB mempunyai aset melebihi RM50 bilion.

Di samping itu memang mereka mempunyai hutang yang agak besar, tetapi hutang itu kalau kita kira aset dengan liabiliti, aset melebihi liabiliti. Itu perlu kita sedar. Yang kedua ialah bahawa kita memang ada perancangan untuk memantapkan lagi 1MDB. Misalnya perancangan kita untuk menerbitkan IPO.

Bila IPO diterbitkan nanti dalam keadaan pasaran yang mudah-mudahan, positif, sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam energy company yang dimiliki oleh 1MDB. 

Di samping itu 1MDB ada tanah yang besar, bandar Malaysia seluas 550 ekar dalam tengah-tengah bandar KL, nilainya besar. 

Begitu juga TRK yang kita nak buat pusat kewangan yang baru. Itu pun merupakan nilai yang besar. Kalau kita dapat merealisasikan aset-aset ini sudah tentu ia akan beri nilai pulangan yang besar.

Saya masih yakin dengan lembaga pengarah, kepimpinan yang ada. Lebih lagi yang baru. Dalam 1MDB bahawa jangka panjang 1MDB memberi banyak manfaat kepada negara kita.

Soalan:

Dari segi jangka panjang maknanya 1MDB akan teruskan membuat di dalam bahagian elektrik jana kuasa dan tanah?

Jawapan:

Ya.

Soalan:

Sebelum kami berehat, boleh saya bertanya sikit mengenai keadaan banjir di pantai timur dan apa yang boleh dibuat oleh kerajaan?

Jawapan:

Keadaan banjir yang telah menimpa negeri-negeri pantai timur memang pada kali ini begitu serius dan amat membebankan rakyat. Saya berasa begitu sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir pada kali ini lebih dahsyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.

Justeru kerajaan akan mengambil langkah-langkah membantu mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai kita dah umumkan kadarnya tapi lebih daripada itu mereka memerlukan kalau rumah mereka dah musnah sama sekali kita akan bina rumah baru untuk mereka.

Kita sedang merumuskan bentuk rumah baru ini dan insya-Allah pada 29 hari bulan ini nanti saya dijadualkan melancarkan Program Pembinaan Rumah di Kuala Krai negeri Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baru yang kita akan laksanakan nanti.

Di samping itu, macam-macam bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, sektor swasta, GLC dan orang-orang perseorangan dan sebagainya. Kita lihat bahawa memang ramai yang nak bantu mangsa-mangsa banjir tapi satu yang tidak dapat dinafikan bahawa kos dari segi kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, hospital, masjid, balai raya dan sebagainya.

Kalau jalan, jambatan, kalau kita hitung semua setakat ini tafsiran kita ialah sebanyak RM2.9 bilion. Itu merupakan kerugian yang besar.

Selingan:

Terima Kasih Dato’ Sri. Kita akan berehat sebentar. Teruskan bersama soal jawab bersama YAB Perdana Menteri selepas ini.

Soalan:

Kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi. Sekarang, boleh kita berbincang sedikit mengenai apa yang telah terjadi di Paris. Bolehkah perkara sebegitu terjadi di tanah air, apa yang boleh kita mempelajari mengenai insiden itu?

Jawapan:

Tidak mustahil sebab kita dah dapat kesan pada masa ini mengikut apa yang kita ketahui terdapat 39 orang rakyat Malaysia yang telah memasuki IS di Syria dan Iraq. Di Malaysia pun kita dah tangkap beberapa orang yang ditahan kerana mereka disyaki terlibat dalam kegiatan militan sudah pun disahkan 2 orang rakyat Malaysia yang telah menjadi pengebom mati diri atau ‘suicide bomber’.

Dan mereka telah mengakibatkan ramai yang lain terkorban. Dalam keadaan sedemikian, maka, kerajaan pada akhir tahun sudah mengambil keputusan untuk membentangkan satu kertas putih di dewan parlimen dan memaklumkan pada parlimen dan rakyat bahawa ini merupakan satu ancaman yang serius sebab itulah bila kita sudah katakan kita sudah tentukan bahawa ini satu ancaman yang serius maka kita kena lihat apa yang boleh dan patut kita lakukan.

Antaranya kita mesti ada undang-undang baru dan undang-undang sedia ada diperkukuhkan undang-undang baru anti-keganasan akan kita bentangkan bulan Mac yang akan datang di dewan parlimen untuk memberi kita kuasa yang lebih untuk menangani ancaman seperti ini. Yang pokok, pada saya ialah untuk membuat sesuatu sebelum satu kejadian itu berlaku.

Misalnya di Sydney dan di Paris ia sudah berlaku baru mereka bertindak. Tetapi apa yang kita nak ialah kuasa untuk melakukan sesuatu untuk menghalang sesuatu bentuk tindakan keganasan berlaku. Inilah yang kita perlu lakukan.

Perkara-perkara lain yang patut kita lakukan ialah untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang apa dia Islam yang sebenar. Konsep Islam umpamanya pengertian jihad yang sebenarnya untuk difahami dan dihayati rakyat Malaysia. Aspek-aspek lain boleh memberi panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan propaganda IS ini. Kita juga mesti ambil tindakan supaya ada rasa saling hormat-menghormati antara kaum dan agama dalam negara kita.

Antaranya kita mesti memahami ‘sensitiviti’ antara agama supaya kita tidak buat sesuatu yang boleh menghina ataupun boleh menimbulkan kemarahan mana-mana penganut agama.

Sebab itu dalam konsep kebebasan, saya mengajukan kebebasan yang tidak ada had ataupun mutlak tidak sesuai, sebaliknya kita mesti ada kebebasan tetapi kebebasan yang ada batasnya supaya kita tidak membuat sesuatu dari segi perbuatan, segi percakapan yang menghina agama lain bukan sahaja agama Islam tapi agama lain bila kita faham perkara ini. Saya percaya bahawa kita boleh mengelak daripada mereka yang akan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sepatut mereka lakukan.

Soalan:

Dan soalan kebebasan ini, di negeri-negeri barat ini mereka kata orang ramai patut mengadakan kebebasan untuk bersuara tanpa batasnya. Di Perancis, mereka kata kebebasan untuk menghina agama lain dan menghina orang lain. Tapi itu yang dipercayai di barat. Tetapi di Malaysia, kebebasan apakah yang patut kita ada? Sememangnya kami tidak patut menghina agama orang lain tetapi dalam soal lain daripada menghina agama, adakah kebebasan itu perlu diberi kepada rakyat Malaysia?

Jawapan:

Ini timbul satu persoalan yang besar apakah semua yang difahami dari dianuti dari negara-negara barat itu baik sekali ataupun wajar dijadikan contoh, ikutan bagi kita ataupun sebaliknya kita harus memikirkan apa bentuk cara pemerintahan dan apa bentuk undang-undang serta nilai-nilai yang paling sesuai untuk kita sebab matlamatnya pada saya ialah untuk menjaga keamanan dan keharmonian serta kestabilan negara kita.

Kalau berlaku sesuatu dalam negara kita, maka ia adalah serius. Bagi sesetengah negara itu sebab mereka tiada perbezaan kaum, sesuatu yang berlaku tidak jadi satu bentuk konflik perkauman, tidak berbentuk ‘racial in nature’. Tapi Malaysia ini, kalau sesuatu berlaku dia cepat jadi berbau racial dan ini boleh mencetuskan konflik antara kaum.

Sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan akta hasutan umpamanya. Sebab akta hasutan ini bukan untuk orang Islam, orang Melayu sahaja, untuk semua. Dan saya yakin kemungkinan besar akta hasutan ini melindungi mereka yang bukan beragama Islam juga sebab kalau berlaku konflik antara kaum, biasanya kumpulan minoriti yang menjadi mangsa.

Jadi kita mesti pastikan tak berlaku apa-apa perbalahan secara serius antara kaum dalam negara kita. Ini komitmen kerajaan, dan saya nak tegaskan sebagai Perdana Menteri tanggungjawab saya dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia. Itu dia yang sentiasa menjadi perhatian saya. Bukan mana-mana pihak di luar Negara untuk rakyat Malaysia. Saya akan lakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Soalan:

Kebelakangan ini, mengikut akhbar di barat, yang menceritakan apa yang terjadi di Perancis dan di Sydney. Dan soalannya berbalik semula kepada hak bersuara. Dan seperti yang Dato’ Sri terangka tadi di sini, hak bersuara mesti ada batasannya kalau tidak boleh jadi merbahaya. Tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbahas mengenai perkara lain? Adakah rakyat Malaysia boleh bersuara mengenai perkara lain yang tidak kena mengena dengan agama?

Jawapan:

Ya, boleh. Banyak perkara. Mereka bebas untuk mengkritik kerajaan. Kalau kita tengok pada social media, banyak yang membuat komen-komen yang negatif terhadap kerajaan. Bererti bahawa kebebasan di Malaysia ini masih berlaku secara terbuka, demokrasi masih berjalan secara sihat.

Hendak buat ucapan mana tempat pun asalkan dapatkan kebenaran dan sebagainya tidak menjadi masalah. Jadi, siapa kata tidak ada demokrasi di Malaysia? Jadi Malaysia ini merupakan satu Negara yang mengamalkan demokrasi. Tetapi jangan sampai kebebasan mutlak itu menjadi kita melakukan suatu yang akhirnya menimbulkan konflik dalam negara kita.

Soalan:

Terima kasih Dato’ Sri. Dato’ Sri menyebut tadi tentang ISIS, lebih kurang Dato’ Sri kata-kata 40 orang Malaysia telah masuk ke ISIS. Tetapi adakah ini sesuatu minoriti orang Malaysia yang sanggup pergi ke Syria dan masuk ISIS. Atau pun ini adalah satu masalah yang lebih besar daripada itu?

Jawapan:

Itu masih merupakan satu kumpulan yang kecil dalam negara kita. Tetapi, walaupun kecil, tetapi kita jangan biarkan dia jadi macam api dalam sekam. Dan dalam keadaan yang kita lihat, walaupun kumpulan kecil, tetapi boleh melakukan tindakan dalam bentuk keganasan yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh dan harta benda musnah seperti mana kita lihat di Paris baru-baru ini.

Walaupun yang bertindak itu cuma 3 orang sahaja, tetapi kesan daripadanya adalah besar. Jadi, kita pernah dengar istilah ‘Lone Wolf’ misalnya. Itu pun, kalau seorang melakukan sesuatu dalam bentuk tindakan keganasan, kesannya buruk sekali kepada negara kita, pada rasa keyakinan, kemungkinan rakyat merasai kebimbangan sentimen terhadap Malaysia berubah dari luar.

Jadi kesannya semua agak buruk kepada negara kita. Jadi macam mana pun, kita selalu sebut, Malaysia ini merupakan sebuah negara yang aman, sebuah negara yang harmoni. Inilah imej yang mesti kita pelihara. Kita mesti pertahankan.

Soalan:

Anggapan dunia luar terhadap Malaysia dari segi ekonomi pun memang ada kesannya. Dato’ Sri, kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi, berbincang mengenai masalah ISIS dan kebebasan bersuara. Adakah perkara lain yang Dato’ Sri ingin mengutarakan kepada penonton-penonton kami pada petang ini?

Jawapan:

Saya melihat bahawa kita jangan hilang arah dan fokus kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersama-sama sebab apabila kita sebut cita-cita kita nak Malaysia ini sebagai sebuah negara advance ekonomi, negara maju menjelang tahun 2020. Ini merupakan satu shared vision.

Bukan sahaja visi kerajaan, tetapi mesti dikongsi bersama oleh segenap lapisan malah semua individu, semua rakyat Malaysia perlu berkongsi bersama untuk merealisasikan visi ataupun impian tersebut. Dan inilah yang saya kata, apa yang berlaku dalam jangka pendek ‘short term adjustment’ ini, tidak bererti kita lari daripada objektif jangka panjang.

Kita telah tentukan landasannya. Dan landasannya saya yakin adalah landasan yang benar, cuma dalam perjalanan ini, kadang-kadang kita kena buat perubahan sedikit dalam perjalanan kita seperti mana kita pandu kereta, kalau ada sesuatu yang terjatuh di depan kita mengelaknya daripada kita buat adjustment sebagai pemandu, kita buat adjustment tetapi kita mesti sedar bahawa destinasi kita itu, kita jangan hilang dari segi panduan kita untuk macam mana pun, destinasi, matlamat, objektif itu mesti kita capai.

Soalan:

Terima kasih Dato’ Sri. Untuk mengulas kembali pada mulanya, Dato’ Sri berkata walaupun harga minyak telah jatuh, nilai ringgit telah turun tetapi ini bukan satu krisis, ini bukan gawat. Tetapi, pada sayalah, saya berharap Dato’ Sri bersetuju bahawa rakyat Malaysia pun mestilah berjaga-jaga tentang keadaan ekonomi global ini bukan sesuatu yang boleh di forecast ataupun senang diketahui, harga minyak pun kita tidak tahu ke mana akan pergi. Apakah ‘advise’ atau pesanan yang Dato’ Sri ingin beri kepada rakyat Malaysia menjelang tahun 2015 dan ekonomi global yang tidak boleh dijangkakan?

Jawapan:

Sebagai rakyat Malaysia, kita kena bertindak secara berhemah. Kalau kita ini sebagai pengguna umpamanya, buatlah keputusan sebagai pengguna yang bijak. Umpamanya kalau kita boleh jimat belanja, jimatlah perbelanjaan kita. Dan kalau kita boleh beli daripada sumber yang beri nilai yang lebih pada kita, ‘value’ yang lebih, buatlah keputusan sedemikian.

Supaya kita akan dapat menentukan apa juga pendapatan yang ada pada hari ini, ianya akan dapat kita gunakan dengan manfaat yang sebesar se-maksimum mungkin. Dan saya juga berharap rakyat Malaysia ini, atas ikatan kita berpegang pada pendirian ‘moderation’, ‘wassatiyyah, kesederhanaan, ‘balance’, berimbang dan kecemerlangan.

Ini ketiga-tiga unsur ini. Maknanya apabila kita sebut ‘moderation’, sederhana bukan sederhana dari segi pencapaian, tidak. Sederhana bererti bahawa kita ini seimbang ‘balance’. Dan juga di samping itu, kita tetap merupakan seorang insan yang inginkan kecemerlangan dunia dan akhirat.

Penutup:

Terima kasih Dato’ Sri. Terima kasih Yang Amat Berhormat kerana sudi meluangkan masa untuk bersama kita di dalam sesi di soal jawab ini. Apa yang diterangkan oleh Yang Amat Berhormat sangatlah bermakna untuk kita semua. Sehingga kita berjumpa lagi minggu hadapan, saya Charon Mokhzani. Salam hormat dan Assalamualaikum.

UTAMAEDITORIAL1MDBSoal Jawab TV3: Transkrip Jawapan @NajibRazak Mengenai 1MDB, GST, Harga Minyak &...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium