#AirAsia #QZ8501: Mayat Penumpang Tunggal Malaysia Ditemui - pakdin.my

airasia-qz8501-kotak-hitam

Mayat Sii Chung Huei, rakyat Malaysia tunggal yang terbabit dalam insiden AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang terhempas pada 28 Disember lepas, telahpun ditemui dan dikenal pasti oleh pihak berkuasa Indonesia.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata mayat Sii ditemui beberapa hari lepas namun hanya disahkan pada Isnin setelah pihak berkuasa menjalankan ujian DNA pagi tadi di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

“Pihak Kedutaan Malaysia di sini akan menguruskan dan menyerahkan jasad Sii kepada warisnya di Surabaya esok sebelum menguruskan penerbangan ihsan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia untuk membawa mayat itu ke Sarawak pada Rabu,” katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Zahrain berkata beliau sendiri akan menemui waris Sii yang telah lama menunggu dan berada di Surabaya dan seorang pegawai kedutaan akan dihantar untuk mengiringi jasad Sii sehingga ke Sarawak.

Sii, 56, ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta, berada di dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Disember lepas.

Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 100 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga telah menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas.

Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional.

UTAMADUNIA#AirAsia #QZ8501: Mayat Penumpang Tunggal Malaysia Ditemui

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium