Muktamar Pemilihan: Pemimpin PAS Cuba Raih Populariti Dengan Kecam UMNO - pakdin.my

muktamar-pas-lge

Menjelang pemilihan PAS pada Muktamar ke-61 Jun depan, pencalonan dan kempen bermula secara rasmi mulai semalam dengan jangkaan pemilihan kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit bagi semua jawatan termasuk presiden.

Persaingan sengit kali ini ekoran pertentangan golongan ulama dan pro-reformis, yang dilihat lebih mesra rakan sekutu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan.

Beberapa isu yang melingkari PAS seperti pergolakannya dengan DAP, gerakan menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden parti dan penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) disifatkan penganalisis politik sebagai ‘retak menanti belah’.

Selepas perbalahan PAS-DAP yang antara lain menggesa satu sama lain keluar daripada pakatan pembangkang, tumpuan kini beralih kepada isu pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, 18 Mac ini.

Bagi merealisasikan perjuangan melaksanakan hudud, yang jelas PAS tidak lagi boleh mengharapkan apa-apa sokongan daripada DAP. Apa yang boleh PAS harapkan ialah sokongan daripada PKR dan juga Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Selasa lepas dilapor berkata PAS tidak akan bergabung dengan UMNO dan soal itu tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat parti.

Tuan Ibrahim mendakwa berdekad-dekad UMNO menentang hudud dan memperlekehkan hukum Allah dan tidak menggunakan Al-Quran dan Hadis sebagai rujukan tertinggi parti, apakah mungkin tiba-tiba UMNO betul ingin membantu PAS melaksanakannya?

Pada Jumaat, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar pula dilapor sebagai berkata UMNO adalah punca utama perpecahan yang berlaku di dalam kalangan masyarakat jika bertanding dalam pilihan raya.

Mahfuz berkata demikian berikutan pendirian Barisan Nasional, yang ditunjangi UMNO, memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Chempaka pada 22 Mac, yang kosong berikutan kematian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Feb lepas.

PAS tahu bahawa parti itu memerlukan sokongan UMNO untuk merealisasikan impian untuk melaksanakan hukum hudud. Persoalannya, kenapa masih terus menghentam UMNO?

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din melihat kecaman itu adalah sebahagian daripada strategi politik bagi memastikan matlamat pihak tertentu tercapai.

Beliau berkata terdapat tiga strategi politik yang boleh digambarkan mengenai kedudukan PAS dan UMNO ketika ini iaitu pertama mengenai penyatuan kedua-dua parti; kedua kerjasama yang tidak serius atau olok-olok; dan ketiga mahu melihat PAS dan UMNO terus berseteru.

“Jadi pemimpin tersebut akan cuba memainkan isu kerana tidak mahu PAS dan UMNO bersatu. Dalam teori konflik sosial, kita mesti pandai mewujudkan konflik. Konflik luar akan mengurangkan konflik dalaman PAS. Dalam PAS pun kita lihat berlaku perpecahan sehingga wujud beberapa kumpulan iaitu konservatif yang umumnya golongan ulama, PasMa dan Anwarinas yang pro-reformis.

“Jadi untuk PAS melihat anggotanya bersatu, maka mereka perlu mencari musuh yang sempurna dan menimbulkan konflik luaran. Contohnya, jika negara kita diserang, sudah pasti semangat bersatu padu rakyat akan lebih dirasai. Pemimpin sebegini akan cuba mencari 1,001 isu bagi memberikan gambaran kepada umum bahawa PAS dan UMNO adalah berbeza dan ia mesti dimanipulasikan,” katanya.

Mungkin ada yang tersirat di sebalik kecaman yang dilakukan. Apakah ini satu strategi untuk menarik perhatian dan menonjolkan diri menjelang pemilihan parti?

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali tidak menolak bahawa kecaman yang dilemparkan beberapa pemimpin PAS itu antara lain akan menjadi perhatian dan berupaya menggerakkan populariti. Ia juga dapat mengalihkan tumpuan umum daripada isu pokok mengenai keretakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang. “Persaingan dalam PAS pada masa ini agak kuat di kalangan pemimpin untuk merebut jawatan yang dipertandingkan. Dalam politik, kita perlukan isu untuk dimainkan,” katanya.

Adakah UMNO akan menyokong hajat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan selepas dikecam? Mengulas persoalan itu, Mohamed Fadzil berkata UMNO pernah menyatakan kesediaan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai hudud di peringkat kebangsaan.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno ingin bekerjasama dengan PAS untuk memberikan pemahaman kepada semua pihak tentang hudud, tetapi yang penting kedua-dua pihak duduk berbincang dahulu sebelum PAS bertindak membawa usul hudud ke Parlimen.

“Saya memuji sikap UMNO kerana sanggup memberikan ruang dan peluang untuk PAS membentangkan hukum hudud. Politik yang dipamerkan UMNO sangat matang kerana tidak mengkritik membuta tuli tanpa mendengar pembentangannya,” katanya.

Beliau percaya bukan sahaja UMNO, bahkan orang Melayu akan menyokong pelaksanaan hukum hudud kerana ia baik demi kemaslahatan umat Islam.

Che Hamdan pula berpandangan sama ada UMNO akan menyokong atau tidak ia bergantung kepada keikhlasan PAS.

“Jika PAS membentangkan hukum hudud yang benar-benar menepati syariat Islam, saya percaya UMNO tidak akan tolak. Cuma dengan kecaman yang berlaku sekarang ini, saya harap pemimpin kedua-dua parti dapat mengelakkan daripada mewujudkan ketegangan,” katanya.

UTAMAPOLITIKMuktamar Pemilihan: Pemimpin PAS Cuba Raih Populariti Dengan Kecam UMNO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium