Sekalipun Diserang, UMNO Tidak Sabotaj Calon PAS – Penganalisis Politik - pakdin.my

prk-chempaka-calon

Sekalipun dilemparkan dengan pelbagai tuduhan liar, UMNO dilihat tetap profesional apabila tidak bertindak mensabotaj calon PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chempaka yang berakhir semalam.

Pemimpin PAS ketika berceramah semasa kempen PRK itu dilihat telah menyerang UMNO dan kerajaan persekutuan dengan pelbagai tuduhan liar, antaranya berkaitan isu Kelantan kononnya dianaktirikan dari segi peruntukan pembangunan.

Hakikatnya, UMNO tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi fokus kepada pemulihan pasca banjir di Kelantan, yang membabitkan bantuan besar untuk rakyat di negeri ini yang ditimpa musibah.

Seperti dijangkakan, PAS yang meletakkan calon muda, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, menang besar dengan memperoleh majoriti 10,092 undi berbanding 6,500 undi yang diperoleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, penyandang kerusi DUN itu pada pilihan raya umum ke-13.

Para pemerhati politik melihat tindakan UMNO yang tidak mensabotaj calon PAS wajar diberi pujian, malah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut memberi kebebasan kepada anggota parti itu untuk mengundi memilih seorang wakil rakyat baharu.

Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata hasil kajian yang dilakukan beliau sepanjang 12 hari tempoh berkempen pada PRK berkenaan mendapati PAS tetap menyerang Barisan Nasional, terutama UMNO sekalipun parti itu tidak bertanding di PRK berkenaan.

“Bagi saya pujian harus diberikan kepada pemimpin dan anggota UMNO, sama ada di peringkat DUN, bahagian atau negeri, kerana tidak mensabotaj calon PAS.

“Malah, Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa anggota UMNO boleh mengundi mana-mana calon, termasuk calon PAS,” katanya ketika dihubungi.

Malah, Kamarul Zaman yang juga Timbalan Pengarah Institut Kajian Analisis Politk Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, turut mengucapkan terima kasih kepada anggota UMNO yang mengundi calon PAS pada PRK berkenaan.

Beliau berkata selain itu, kemenangan PAS pada PRK berkenaan turut disumbangkan oleh faktor undang-undang hudud apabila Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan dalam persidangan DUN Kelantan Khamis lepas.

“PRK DUN Chempaka ini adalah satu referendum ke atas hukum tersebut dan ternyata rakyat Kelantan, tanpa mengira pegangan politik mereka, memberikan sokongan padu ke atasnya.

“Ia juga dipengaruhi oleh tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno di Kelantan yang turut menyokong undang-undang itu,” katanya.

Semalam, PAS mengekalkan kerusi DUN Chempaka apabila calonnya Ahmad Fathan mengalahkan empat calon bebas, dengan majoriti 10,092 undi.

Ahmad Fathan, Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka memperoleh 10,899 undi, dalam pilihan raya kecil DUN itu semalam.

Calon bebas iaitu bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood mendapat 807 undi; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin (89 undi); bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary memperoleh (51 undi); dan ahli perniagaan Aslah Mamat (27 undi).

UTAMAPILIHAN RAYASekalipun Diserang, UMNO Tidak Sabotaj Calon PAS - Penganalisis Politik

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium